Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Batalkah puasa sekiranya menelan semula makanan yang keluar dari perut (seakan muntah yang sikit) dengan sengaja atau tak sengaja? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu kewajipan kepada umat Islam yang cukup syarat-syarat wajib untuk berpuasa. Ia merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”
(Surah al-Baqarah: 183)
Berdasarkan pandangan al-Maraghi, kewajipan berpuasa dan melaksanakan amalan dalam bulan Ramadhan, serta menahan nafsu syahwat, bertujuan untuk mempertingkatkan rasa takwa kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/68)
Nabi SAW bersabda:
بُنِيَ الإسْلَامُ علَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللَّهِ، وإقَامِ الصَّلَاةِ، وإيتَاءِ الزَّكَاةِ، والحَجِّ، وصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara: “Mengucap bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan.”
Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)
Dari sudut bahasa, puasa bermaksud menahan diri daripada melakukan sesuatu, seperti makan, minum dan bercakap. Manakala, puasa dari sudut Syarak pula bermaksud menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula daripada terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/69)
Hal ini juga sepertimana disebut oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri ketika menjelaskan makna puasa yang ditakrifkan oleh Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi: “Yang dimaksudkan adalah menahan daripada perkara yang membatalkan sepanjang siang hari bermaksud bermula daripada terbit matahari sehingga terbenam matahari.”(Lihat Hasyiah al-Bajuri ‘ala Syarh al-Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi, 1/427)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa sebahagian makanan yang naik ke mulut kemudian ditelan tanpa sengaja tidak membatalkan puasa. Namun, jika ditelan dengan sengaja sedangkan boleh diludah, maka terbatal puasa tersebut dan wajib menggantikannya semula (qadha). Begitu juga, batalnya puasa jika sebahagian makanan sampai ke kerongkong kemudian ditarik semula dan ditelan dengan sengaja. Tetapi, jika ditelan tanpa sengaja, puasa itu masih dikira sah.
Yang demikian sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Hasyiah al-Jamal (2/316) bahawa: jika berlaku sendawa sehingga terjeluak ketika dia berpuasa, hendaklah dia meludahkannya dan membasuh mulutnya, dan ia tidak membatalkan puasanya walaupun perkara tersebut berulang kali terjadi, seperti orang yang muntah secara tidak sengaja.
Selain itu, al-Buhuti menyebutkan bahawa: Jika muntah itu menguasainya, iaitu jika muntah itu berlaku tanpa dapat dikawal atau tiba-tiba ada makanan dalam mulutnya, lalu dia meludahkannya, iaitu dia mengeluarkannya, maka tidak batal puasanya. Begitu juga jika sukar baginya untuk meludahkannya lalu dia menelannya bersama air liur tanpa sengaja, maka perkara tersebut tidak membatalkan puasa. Namun, jika makanan itu terpisah dari air liurnya dan dia menelannya dengan sengaja, maka batal puasanya. (Lihat Roud al-Murbi’ bi Syarhi Zad al-Mustaqni’, 2/25 )
Justeru, berdasarkan pandangan yang telah disebutkan di atas, dapat kita fahami bahawa sekiranya seseorang termuntah ketika berpuasa dan menelan kembali makanan yang terkeluar tersebut dengan sengaja, maka puasanya terbatal dan wajib menggantikannya semula. Namun, sekiranya menelan tanpa disengajakan, ia dimaafkan dan tidak membatalkan puasa yang dikerjakan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahua’lam