#6238: Kelompok Thumamiyyah (الثمامية)

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kongsikan penjelasan berkenaan satu kelompok yang dipanggil dengan gelaran Thumamiyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mereka ialah pengikut Abu Ma’an Thumamah bin al-Ashras al-Numairi. Dia seorang yang memiliki pandangan yang tajam. Dia bukanlah seorang zahid seperti Abu Musa Al-Mardar dan Al-Ja’faran, tetapi seorang yang mementingkan urusan duniawi. Dia sering hadir di istana khalifah, mempercantik majlis mereka dengan kata-kata indah dalam sastera dan debat tentang isu-isu Mu’tazilah dan non-Mu’tazilah. Buku-buku sastera dipenuhi dengan percakapannya yang menarik dan anekdot lucunya.

Dia ialah seorang yang sangat mengejar kemewahan dunia dan selalu berulang-alik ke istana sehingga berjaya mendekati Khalifah Harun al-Rashid dan menemaninya ke Makkah. Akan tetapi, Harun al-Rashid terus bertindak ke atas Thumamah setelah terdedah penyelewengannya.

Malangnya, dia berjaya mempengaruhi Khalifah al-Ma’mun sehingga baginda bertukar menjadi penganut Mu’tazilah. Sehinggakan, Thumamah dilantik menjadi seorang yang penting dalam kerajaan, lebih tinggi daripada kedudukan jemaah menteri.

Antara iktikadnya ialah:

  • Bahawa orang-orang kafir Musyrikin, Majusi, Yahudi, dan Nasrani pada Hari Kiamat nanti akan menjadi tanah. Begitu juga binatang-binatang dan kanak-kanak orang Islam.
  • Makrifat itu lahir daripada berfikir.

Akhirnya, Thumamah dibunuh di tempat sai di antara Safa dan Marwah oleh kabilah Bani Khuza’ah. Mayatnya dikeluarkan dari Tanah Haram dengan tidak ditanam, tetapi dibiarkan begitu sahaja sehingga dimakan oleh burung-burung. (Lihat Sejarah Mazhab Aqidah dan Firqah Umat Islam, hlm. 147)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)