Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah di sana terdapat jihad tanpa kekuatan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada al-Husain bin ‘Ali R.A, katanya:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: إِنِّي جَبَانٌ، وَإِنِّي ضَعِيفٌ. قَالَ: هَلُمَّ إِلَى جِهَادٍ لَا شَوْكَةَ فِيهِ، الْحَجُّ
Maksudnya: Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah seraya mengadu dan berkata: “Sesungguhnya, aku adalah seorang yang penakut dan lemah.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Bersegeralah menuju jihad tanpa ada kesulitan di dalamnya, iaitu haji.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (4/309). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (7044)
Al-San’ani berkata: Al-Radhi berkata: Daripada apa yang datang secara muta’addi dan lazim ialah perkataan halumma yang dengan maksud bersegeralah atau marilah. Kalimah ini muta’addi dengan ‘ila’, iaitu ke arah jihad yang tiada kesulitan di dalamnya. Maksudnya tanpa senjata dan peperangan. Kemudian diterangkannya dengan ucapan Baginda SAW iaitu haji. Ini kerana, padanya seolah-olah kesudahan jihad atau jihad yang lain bagi orang yang dha’if dan juga perempuan. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir oleh al-San’ani, 1/24)
Al-Munawi berkata: Maksud tiada peperangan padanya dan sebarang kesulitan peperangan serta kedahsyatannya berlaku pada haji. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan hadith Anas, katanya kepada Umar ketikamana Hurmuz datang bertemu dengannya, bahawa aku meninggalkan selepasku ramai orang dan peperangan yang dahsyat serta kekuatan yang zahir. (Lihat Masabih al-Tanwir ‘ala Sahih al-Jami’ al-Saghir, 1/492)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”