#6243:  Zakat Anak ‘Aqil Baligh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum, apakah hukum mengeluarkan zakat bagi anak yang sudah ‘aqil baligh ? Benarkah, perlu minta izin daripadanya untuk bayar zakat fitrah mereka? Apakah hukumnya jika sudah bayar sekiranya memang betul perlu minta izin? Mohon penjelasan Dato’.  Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Zakat fitrah adalah salah satu jenis zakat yang diwajibkan orang Islam membayarnya setiap tahun. Ia mula difardhukan pada tahun ke dua hijrah ketika difardhukan puasa Ramadhan. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan pelaksanaan zakat fitrah dengan segantang tamar, atau segantang barli ke atas hamba dan orang yang merdeka, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua, daripada kalangan Muslimin, dan baginda menyuruh agar ditunaikan sebelum manusia keluar menuju solat (Hari Raya).”

 Riwayat al-Bukhari (1503)

Imam al-Nawawi menyatakan:  Di sisi ulama mazhab Imam al-Syafi‘i, pendapat yang paling sahih tentang penentuan kadar dan jenis zakat fitrah adalah mengikut غالب قوت البلد (jenis makanan ruji bagi majoriti penduduk). (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 6/132)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Zakat Fitrah telah ditetapkan kadarnya, wajib dikeluarkan ketika matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat yang ditetapkan, bagi setiap mukallaf dan orang yang dibawah tanggungan nafkahnya.

Syarat-syarat wajib bagi menunaikan zakat fitrah adalah:

  • Al-Islam, diwajibkan juga kepada orang yang murtad selepas ia memeluk islam.
  • Waktu, sesungguhnya telah ditetapkan waktu diwajibkannya. Iaitu ketika terbenamnya matahari pada hari yang terakhir bulan Ramadhan
  • Berkemampuan untuk mengeluarkan zakat fitrah ketika waktu diwajibkan zakat. Sekiranya kemampuannya itu selepas waktunya maka tidak diwajibkan. (Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/95-98)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa diwajibkan bagi seseorang yang mempunyai tanggungan dan kewajipan nafkah mengeluarkan zakat bagi setiaop individu di bahawa tanggungannya.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan jika anak-anak ini tidak mampu untuk memenuhi keperluan asas mereka seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, dan ubat-ubatan, serta mereka tidak mempunyai wang atau pendapatan yang mencukupi, maka kewajipan nafkah terletak pada bapa mereka. Oleh yang demikian, adalah diwajibkan juga bagi ketua keluarga mengeluarkan zakat bagi pihak mereka. Diriwayatkan daripda Ibn ‘Umar bahawa:

أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَدَقَةِ الفِطْرِ عَنِ الصَّغِيرِ وَالكَبِير ِوَالحُرِّ وَالعَبْدِ مِمَّنْ تَمَونَونَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan zakat fitrah bagi orang yang kecil dan besar, merdeka dan hamba, dari kalangan mereka yang berada di bawah tanggungan kamu.”

Diriwayatkan daripada Daruqutni (3/67). Syeikh al-Bani menilai hadith ini sebagai Hasa dalam Irwa’ al-Ghalil (hlm.835)

 Hal ini juga sebagaimana sebuah kaedah yang menyebutkan:

كُلُّ مَن تَلْزَمُهُ نَفْقَةُ غَيْرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ

Maksudnya: Sesiapa yang wajib menafkahi seseorang, wajib juga menunaikan zakat fitrah bagi tanggungannya.

Telah dinukilkan dalam al-Taqrirat al-Sadidah (Hlm. 419) bahawa: jika seseorang itu menafkahi (menanggung) seseorang atas sebab nikah (isteri, anak-anak), kaum kerabat (ibu ayah, saudara) dan khidmat (hamba) maka wajib juga seseorang itu membayarkan zakat fitrah bagi tanggungannya.

Ibn Rusyd juga menyebutkan bahawa: Ulama  bersepakat bahawa zakat fitrah wajib atas seseorang untuk dirinya sendiri, dan ia adalah zakat badan bukan zakat harta, serta ia wajib atas anak-anaknya yang masih kecil jika mereka tidak mempunyai harta. (Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, 2/41)

Oleh yang demikian, dalam isu ini termasuk juga zakat anak yang sudah ‘aqil baligh, ia menjadi kewajipan ayahnya sekiranya mereka tidak mampu untuk menafkahi diri mereka sendiri.

Berkaitan dengan memohon keizinan pula pada asalnya  zakat adalah ibadah yang memerlukan niat daripada orang yang mengeluarkannya. Oleh itu, sesiapa yang mengeluarkan zakat bagi pihak orang lain yang tidak diwajibkan ke atasnya, wajib memberitahu orang tersebut supaya dia berniat untuk mengeluarkan zakat. Ini kerana Allah SWT berfirman:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.”

(Surah al-Bayyinah:5)

Imam al-Qurtubi mentafsirkan ayat ini dengan ayat yang lain iaitu: Firman Allah SWT:    ‘قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ’ (“Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”). [Surah al-Zumar:11] Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Ini kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 20/144)

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’(6/158 )menyebutkan bahawa:  Tidak sah mengeluarkan zakat kecuali dengan niat, dan inilah pendapat Malik, Abu Hanifah, al-Thauri, Ahmad, Abu Thaur, Daud, dan majoriti ulama. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Sahih Muslim (1907)

Namun,  jika seseorang menanggung nafkah orang lain sepanjang bulan Ramadhan, maka zakat fitrah orang tersebut wajib ke atasnya. Jika zakat fitrah itu wajib ke atasnya, maka niat orang yang dikeluarkan zakat fitrah tidak diperlukan.

Justeru, berdasarkan penjelasan tersebut, dapat disimpulkan bahawa sebagaimana seorang anak yang masih berada dalam tanggungan bapanya dan belum mampu untuk menanggung keperluan dirinya sendiri, maka menjadi tanggungjawab bapanya untuk membayar zakat bagi pihak anak tersebut walaupun mereka sudah ‘aqil baligh . Dengan itu, tidak perlu bagi penanggung nafkah untuk mendapatkan kebenaran daripada mereka yang ditanggung sebelum membayar zakat bagi pihak mereka.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”

Wallahua‘lam