#6244: Berhentinya Talbiah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bilakah sepatutnya berhentinya talbiyah haji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Ayat di atas bermaksud lakukanlah kedua-duanya dengan sempurna. Dalam ayat di atas, digunakan kalimat perintah pada haji dan umrah yang menunjukkan kepada kefardhuan kedua-duanya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/315).

Rasulullah SAW ditanya tentang haji yang paling afdhal, lantas Baginda bersabda:

اَلْعَجُّ وَالْثَجُّ

Maksudnya:  “Mengangkat suara dengan bertalbiah dan berkorban.”

Riwayat al-Tirmizi (827) dan Ibn Majah (2924)

Menjawab persoalan di atas, tiada khilaf di kalangan ulama’ bahawa jemaah haji hendaklah tawaqquf daripada talbiyah pada hari Raya, tetapi mereka khilaf, bilakah berhentinya talbiah?

  • Jumhur berpendapat, talbiah berhenti selepas selesai melontar di Jamrah Aqabah pada hari Raya
  • Sebahagian ahli ilmu seperti Malikiyyah berpendapat talbiah berhenti pada hari Arafah sebelum berwukuf
  • Talbiah hendaklah berhenti selepas gelincirnya matahari yakni masuknya waktu zohor pada hari Arafah

Para ulama’ berpendapat, hal ini adalah perkara sunat daripada sunat haji dan diberi kebebasan untuk beramal dengannya. (Lihat Mausu’ah al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 335)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”