#6246: Keampunan untuk Orang yang Melaksanakan Haji dan Mereka yang Didoakan Olehnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Allah SWT mengampunkan orang yang melaksanakan haji, dan orang haji yang beristighfar untuknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْحَاجِّ وَلِمَنِ اسْتَغْفَرَ لَهُ الْحَاجُّ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah orang yang menunaikan haji dan orang yang jemaah haji memohon keampunan untuknya.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (8/266), al-Hakim (1612), al-Baihaqi (10682) dan Ibn Khuzaimah (2516). Hadith ini dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (1177).

Al-Munawi berkata: Ucapan Nabi, ‘اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْحَاجِّ’ (Ya Allah, ampunilah orang yang menunaikan haji) yakni haji yang mabrur, ‘وَلِمَنِ اسْتَغْفَرَ لَهُ الْحَاجُّ’ (dan orang yang jemaah haji memohon keampunan untuknya,”) dan Baginda menyebutnya sebanyak tiga (dalam riwayat yang lain). Ini adalah satu penghormatan besar bagi orang yang menunaikan haji, sehingga permintaan ampun daripada orang yang mengerjakan haji dipastikan untuk dimasukkan dalam doa Nabi Muhammad SAW. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/101)

Al-San’ani berkata: Ucapan Nabi, ‘اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْحَاجِّ’ (Ya Allah, ampunilah orang yang menunaikan haji), yakni sama ada ia haji yang wajib atau sunat, ‘وَلِمَنِ اسْتَغْفَرَ لَهُ الْحَاجُّ’ (dan orang yang jemaah haji memohon keampunan untuknya,”) iaitu pada waktu menunaikan haji atau sesudahnya. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 3/88)

Terdapat beberapa hadith yang menunjukkan jemaah haji diampunkan dosa seperti bayi yang baru lahir dari perut ibunya apabila sempurna hajinya dan memenuhi syarat mabrurnya. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji kepada Allah tanpa mencampurnya dengan perkataan kotor dan perbuatan fasik, nescaya dia akan kembali dalamo keadaan bersih daripada dosa-dosanya sepertimana ketika dia baru sahaja dilahirkan.”

Riwayat al-Bukhari (1521), Muslim (1350), al-Tirmizi (811) al-Nasa’ie (2627), Ibn Majah (2889) dan Ahmad (9311)

Hal ini kerana, dengan menghadap Allah SWT dalam keadaan demikian dan berjuang dalam manasik-manasik tersebut dengan cara yang disyariatkan, maka dapat menghapus bekas-bekas dosa dari dalam jiwa dan memasukkan jiwa ke kehidupan yang baru. Dan dalam kehidupan yang baru itu, setiap jiwa akan mendapat pahala dari kebajikan yang diusahakannya dan mendapat seksa dari kejahatan yang dikerjakannya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/432; Tafsir al-Manar, 2/183)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”