#6247: Mengerjakan Haji Ketika Masih Bergelar Pelajar 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya masih belajar di Universiti, dan saya sudah cukup wang untuk menunaikan haji, saya ada kerisauan tidak cukup masa untuk pergi haji semasa masih belajar tetapi saya sudah mampu? Bagaimanakah caranya Dato’? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali Imran: 97)

Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, menyebut bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, perlaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Selain itu, Allah SWT berfirman:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji.”

(Surah al-Hajj: 27)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, maksudnya adalah beritahu kepada mereka mengenai ibadat haji tersebut, dan ajaklah mereka kepadanya. Sampaikan kepada mereka sama ada orang yang dekat dan jauh tentang kewajipan haji dan keutamaannya. Hal ini kerana jika kamu telah memanggil mereka, pasti mereka akan datang kepadamu sebagai orang-orang yang mengerjakan haji atau umrah. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/536).

Seterusnya, Nabi SAW turut menegaskan berkenaan hal tersebut melalui sabdanya:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba-Nya dan utusan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat Muslim (16)

Muhammad al-Amin al-Harari ketika menjelaskan lafaz “وَحَجِّ الْبَيْتِ” menyatakan, tujuannya adalah untuk mengerjakan ibadah khusus, bagi mereka yang mampu untuk menunaikannya. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 2/132).

Malah para ulama telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun dalam kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/115).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan antara syarat wajib haji ke atas seseorang individu adalah istita’ah iaitu berkemampuan baik dari segi pengangkutan, wang ringgit, bekalan makanan dan lain-lain yang berkaitan dengan kelangsungan ibadah haji. Allah SWT berfirman:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

 (Surah ali-Imran: 97)

Lafaz ‘الاسْتِطَاعَةُ’ yakni berkemampuan, yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani semata-mata. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Lihat al-Muhalla, 7/54; Subul al-Salam, 2/180)

Imam Ibn Kathir  berkata: “Adapun الاسْتِطَاعَةُ (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/364)

Diriwayatkan hadith daripada Umar R.A, bahawa seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW seraya berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan.”

Riwayat al-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896)

Dapat difahami melalui hadith di atas, bahawa kadar kemampuan yang mewajibkan seseorang tersebut untuk mengerjakan haji adalah apabila dia mempunyai bekalan makanan dan juga kenderaan untuk pergi dan pulang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/457)

Maksud berkemampuan dengan sendirinya ialah:

  • Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan.
  • Mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik.
  • Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.
  • Sihat tubuh badan.
  • Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj, 1/96; al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)

Justeru, dalam konteks ini, kami katakan bahawa jika saudara memiliki kemampuan kewangan dan telah mendapatkan kuota untuk menunaikan ibadat haji, maka menjadi kewajipan saudara untuk melaksanakannya. Mengambil kira situasi saudara, kami mencadangkan agar saudara membuat permohonan cuti kepada pihak pengurusan universiti dalam tempoh satu atau dua minggu untuk tujuan menunaikan haji, supaya dapat dipertimbangkan oleh pihak universiti. Dengan cara ini, saudara dapat menunaikan ibadat haji tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

Pengalaman kami sebagai pelajar dalam melaksanakan ibadat haji jelas menunjukkan amat ramai pelajar-pelajar yang menunaikan ibadat haji semasa mereka dalam pembelajaran. Antaranya daripada Mesir, Jordan, Syria, Kuwait, England, Amerika dan beberapa negara lain. Alhamdulillah, mereka juga mempelajari Fiqh dan Manasik Haji serta bertemankan mutawwif yang layak untuk menerangkan acara ibadat haji dengan sesempurnanya. Justeru, tiada alasan untuk kita mengelak haji kecuali jika tidak mungkin berkompromi dalam melaksanakan ibadat haji kerana jadual yang berbetulan dengan peperiksaan atau tidak dapat dielakkan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahua‘lam