#6248: Kebenaran Isteri Pertama Untuk Poligami

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Perlukah kita mendapat kebenaran isteri pertama bagi menikahi isteri kedua?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Poligami menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat merujuk kepada  amalan beristeri lebih daripada satu orang pada masa yang sama.[1]

Islam mengharuskan bagi lelaki yang memenuhi syarat-syarat tertentu untuk berpoligami, sebagaimana disebutkan dalam firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya: “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Keharusan ini tidaklah dibiarkan secara mutlak, bahkan ia lelaki yang ingin berpoligami disyaratkan supaya berlaku adil kepada kesemua isterinya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan firman Allah SWT (فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا) berkata, jika seseorang lelaki takut untuk tidak memperlakukan dengan adil dan dia khuatir tidak memenuhi hak-hak para isteri jika berkahwin dua, tiga atau empat, maka berpada baginya seorang sahaja atau mana-mana hamba perempuan yang dia miliki agar dia tidak menzalimi mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 163)

Renunglah ancaman yang telah Rasulullah SAW sebutkan sebagai balasan buat mereka yang tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ امْرَأَتَانِ، يَمِيلُ لِإِحْدَاهُمَا عَلَى الأُخْرَى، جَاءَ يَوْمَ القِيَامَةِ أَحَدُ شِقَّيْهِ مَائِلٌ

Maksudnya: “Siapa yang mempunyai dua isteri, dan dia memberatkan salah seorang ke atas yang lainnya, maka dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan satu bahunya senget.”

Riwayat Abu Daud (2133), al-Tirmizi (1141), al-Nasa’ie (3942), Ibn Majah (1969), dan Ahmad (7936)

Syihabuddin Ibn Ruslan al-Ramli al-Syafi‘i berkata dalam Syarh Sunan Abi Daud (9/453), hadith ini dijadikan hujah kewajipan seorang suami untuk berlaku sama rata terhadap isteri-isterinya dalam sebarang pembahagian hak. Ini juga berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Kebenaran Isteri Pertama

Pada dasarnya, kebenaran isteri pertama bukanlah satu kelaziman yang mesti diperoleh terlebih dahulu sebelum suami dibenarkan untuk berpoligami. Meskipun begitu, ini tidak bermakna sudut pandang dan hati perasaan mereka boleh diketepikan sewenang-wenangnya.

Dalam pada itu, akta yang telah ditetapkan oleh undang-undang Malaysia memberikan kuasa kepada mahkamah untuk memastikan sama ada suatu permohonan poligami itu dibenarkan atau tidak, dengan melihat pelbagai aspek penting termasuklah keizinan dari isteri-isteri yang lain. Kami bawakan sebagai contoh, akta berkenaan poligami yang disebutkan dalam Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) Tahun 1984, di bawah seksyen 23 (1):

“Tiada seorang pun lelaki, semasa wujudnya sesuatu perkahwinan, boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain atau perkahwinan yang dikontrakkan tanpa kebenaran sedemikian boleh didaftarkan di bawah Akta ini:

Dengan syarat Mahkamah boleh jika ia ditunjukkan bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syara‘, memerintahkan perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada seksyen 123.”

Kemudian, dinyatakan pula di bawah subseksyen (3):

“Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu. pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.”

Perintah ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW dalam hadith Abu Hurairah R.A:

وَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا؛ فَإِنَّهُنَّ خُلِقْنَ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلاَهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا

Maksudnya: “Dan terimalah pesananku untuk berbuat baik terhadap wanita; sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk, dan sesungguhnya tulang yang paling bengkok pada rusuk ialah bahagian atasnya, jika engkau berusaha untuk meluruskannya dengan kasar, nescaya engkau akan mematahkannya, dan jika engkau meninggalkannya nescaya ia akan tetap dalam keadaan bengkok; maka terimalah pesananku untuk berbuat baik terhadap wanita.”

Riwayat al-Bukhari (5185) (5186) dan Muslim (47)

Imam al-Nawawi berkata, hadith ini merupakan galakan untuk berlemah-lembut dengan para wanita dan banyak bersabar dengan mereka. Abu al-‘Abbas al-Qastalani pula menyatakan, berbuat baik yang dimaksudkan ini adalah memenuhi hak-hak wanita tersebut. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/58; Irsyad al-Sari, 8/78)

Kemudian, apa sahaja keputusan yang dilakukan oleh isteri bukanlah bersifat mutlak dan muktamad, sebaliknya ia tetap akan berada di bawah penilaian mahkamah dalam menentukan sama ada kebenaran diberikan atau tidak. Sebarang kebenaran yang dikeluarkan oleh mahkamah pula bukan atas dasar berat sebelah, sebaliknya ia kembali kepada beberapa syarat yang ketat. Ini jelas disebutkan dalam subseksyen seterusnya:

“Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam mahkamah tertutup, dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuas hati:

  1. bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri- isteri yang sedia ada.
  2. bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syara‘, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu.
  3. bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syara‘.
  4. dan bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.”

Sekiranya isteri tetap tidak bersetuju dengan poligami tersebut, mahkamah masih membuka ruang untuk diutarakan sebarang rasa ketidakpuashatian. Disebutkan dalam subseksyen (6):

“Mana-mana pihak yang terkilan atau tidak puas hati dengan apa-apa keputusan Mahkamah boleh merayu terhadap keputusan itu mengikut cara yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran bagi rayuan dalam perkara sivil.”

Ini membuktikan kepada kita betapa pemerintahan Islam di Malaysia ini amat menitikberatkan soal mental dan psikologi seorang isteri, bahkan kebenaran berpoligami dari seorang isteri itu sememangnya diteliti terlebih dahulu untuk ditimbang-tara semula permohonan suami. Kerajaan Malaysia juga telah mencari alternatif bagi memastikan mana-mana suami yang mempunyai kehendak berpoligami untuk melalui proses ini. Sekiranya dia melakukan poligami tanpa kebenaran mahkamah, dia akan dikenakan denda sebagaimana yang disebutkan dalam subseksyen (7):

“Hendaklah membayar dengan serta-merta semua jumlah mas kahwin dan pemberian yang kena dibayar kepada isteri atau isteri- isteri yang sedia ada, dan jumlah itu, jika tidak dibayar sedemikian, boleh dituntut sebagai hutang.”

Kesimpulan

Mengakhiri perbincangan ringkas ini, kami tegaskan sekali lagi bahawa kebenaran isteri pertama untuk berpoligami itu pada asalnya bukanlah suatu kewajipan. Akan tetapi, demi memastikan rumahtangga yang dibina itu kekal harmoni, dahulukan keizinan mereka terlebih dahulu agar tidak berlaku sebarang ketegangan pada masa akan datang. Tindakan pemerintah sudah tentu mereka melihat kepada maslahat bagi kedua-dua belah pihak, terutamanya isteri agar berlaku keadilan dan haknya tidak terjejas. Benarlah kaedah menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Ingatlah bahawa tujuan sebenar perkahwinan itu untuk mengecapi sakinah, mawaddah dan rahmah. Allah SWT berfirman:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

(Surah al-Rum: 21)

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa n menjaga hak-hak mereka para isteri daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A:

اتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kalian dengan kalimah Allah… dan menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”

Riwayat al-Nasa’ie (9135)

Perkahwinan itu matlamatnya bukanlah membahagiakan satu pihak sahaja bahkan semua pihak yang terlibat. Berbincanglah sebaiknya antara pasangan agar dapat dikecapi kehidupan poligami yang lebih bahagia, dan hindarilah sebarang helah agar dapat dijauhi kehidupan poligami yang membawa sengsara. Semoga Allah SWT memberikan kita kebahagian di dalam rumahtangga dan memberikan kita kefahaman dalam memahami dan mengamalkan agama ini. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=poligami. Diakses pada 5 Julai 2024.