#6250: Menasabkan Anak kepada Ibu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah menasabkan anak kepada ibu jika berlaku li’an?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Li’an

Al-Li’an dari sudut  berasal dari kalimah arab   لاَعَنَ-يَلَاعِنُ yang membawa maksud buang dan menjauhkan contohnya seperti “لَعَنَهُ الله ” iaitu Allah SWT membuang dan menjauhkannya.

Dari segi syara’ pula li’an bermaksud: Sementara dari segi syara’, li’an bermaksud perkataan-perkataan yang dijadikan hujah oleh suami yang terpaksa menuduh isterinya kerana mencemari rumahtangga dan menyebabkan `aib kepada suami. Perkataan tertentu ini dinamakan li’an kerana ia mengandungi perkataan al-La’nu (اللَّعْنُ). Begitu juga kerana suami isteri yang berli’an akan berjauhan antara satu sama lain. (Lihat Fiqh al Manhaji, 4/150)

Dalil Li’an

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ ‎﴿٦﴾‏ وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; – Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.

(Surah al-Nur:6-7)

Begitu juga hadith, daripada Sahl bin Sa’d RA bahawa:

أَنَّ رَجُلاً مِنَ الأَنْصَارِ جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ رَجُلاً وَجَدَ مَعَ امْرَأَتِهِ رَجُلاً، أَيَقْتُلُهُ أَمْ كَيْفَ يَفْعَلُ؟ فَأَنْزَلَ اللَّهُ فِي شَأْنِهِ مَا ذَكَرَ فِي الْقُرْآنِ مِنْ أَمْرِ الْمُتَلاَعِنَيْنِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَدْ قَضَى اللَّهُ فِيكَ وَفِي امْرَأَتِكَ. قَالَ: فَتَلاَعَنَا فِي الْمَسْجِدِ وَأَنَا شَاهِدٌ

Maksudnya: “Seorang lelaki daripada kaum Ansar telah menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu jika seseorang mendapati isterinya bersama-sama lelaki lain? Adakah perlu dibunuh lelaki itu atau bagaimana?” Maka Allah menurunkan ayat al-Quran berkenaan dengan masalahnya tentang perkara li’an. Nabi SAW bersabda: “Allah telah menurunkan hukum tentang engkau dan isteri engkau.” Sahl bin Sa’ad berkata: “Lelaki Ansar dan isterinya pun melakukan li’an di dalam masjid dan aku menyaksikannya.”

Riwayat al-Bukhari (5003) dan Muslim (1492)

Dalam menjawab persoalan di atas, dalam satu riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَجُلًا لاَعَنَ امْرَأَتَهُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَانْتَفَى مِنْ وَلَدِهَا، فَفَرَّقَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَهُمَا، وَأَلْحَقَ الوَلَدَ بِالْمَرْأَةِ.

Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki pernah meli’an isterinya pada zaman Nabi SAW dan tidak mengakui itu adalah anaknya. Lalu Nabi SAW memisahkan keduanya dan menasabkan si anak kepada si wanita.”

Riwayat al-Bukhari (6748)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Maksud ‘ أَلْحَقَ الْوَلَد بِأُمِّهِ’ yakni, Baginda menjadikan anak itu milik ibunya sahaja dan menafikannya daripada suami, maka tidak ada perwarisan antara mereka. Sebaliknya, ibunya akan mewarisi daripada anaknya apa yang telah ditetapkan oleh Allah, seperti yang dinyatakan secara jelas dalam hadis Sahl bin Saad, seperti yang telah dibincangkan sebelum ini dalam penjelasan hadisnya di bahagian akhir.” (Lihat Fath al-Bari, 15/161)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”