#6252: Nasab Anak kepada Suami yang Sah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah anak dinasabkan kepada suami yang sah? Contohnya, seorang perempuan mempunyai suami, tetapi dia telah berzina dengan seseorang, semasa dia masih menjadi isteri orang tersebut dan menjadi suaminya yang sah.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَٰكِن رَّسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Maksudnya:  “Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Ahzab:40)

Selain itu, diceritakan juga bahawa ketika Zainab bin Jahsy R.Anha diceraikan oleh suaminya, kemudian setelah tamat tempoh ‘iddahnya, Rasulullah SAW telah berkahwin dengannya. Baginda memberi makan kepadanya dengan roti dan daging (yakni jamuan ketika pernikahannya). Tatkala beliau masuk untuk bertemu dengan Rasulullah SAW, Baginda telah bertanya kepadanya: “Apakah namamu?” Beliau menjawab: “Barrah.” Lalu Baginda menamakannya sebagai Zainab. Begitu juga apabila Nabi SAW menikahi Zainab bin Jahsy R.Anha, orang-orang munafiq mula bercakap-cakap mengenai perkara tersebut. Mereka mengatakan: “Muhammad mengharamkan isteri-isteri anak (untuk dikahwini oleh bapa) tetapi dia berkahwin dengan isteri anaknya. Lalu Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan ayat:

مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَٰكِن رَّسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Maksudnya:Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-Ahzab: 40)

Begitu juga firman Allah SWT:

ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ

Maksudnya: Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri.

(Surah al-Ahzab: 5)

Sejak hari itu, beliau dipanggil sebagai Zaid bin Harithah, yang mana sebelumnya beliau dipanggil sebagai Zaid bin Muhammad. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1849-1850).

Menjawab persoalan di atas, benar. Daripada `Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ عُتْبَةُ عَهِدَ إِلَى أَخِيهِ سَعْدٍ: أَنَّ ابْنَ وَلِيدَةِ زَمْعَةَ مِنِّي، فَاقْبِضْهُ إِلَيْكَ، فَلَمَّا كَانَ عَامَ الفَتْحِ أَخَذَهُ سَعْدٌ، فَقَالَ: ابْنُ أَخِي عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ ، فَقَامَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ، فَقَالَ: أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي، وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ، فَتَسَاوَقَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ سَعْدٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ابْنُ أَخِي، قَدْ كَانَ عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ، فَقَالَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ: أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي، وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هُوَ لَكَ يَا عَبْدُ بْنَ زَمْعَةَ، الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ» ثُمَّ قَالَ لِسَوْدَةَ بِنْتِ زَمْعَةَ: «احْتَجِبِي مِنْهُ» لِمَا رَأَى مِنْ شَبَهِهِ بِعُتْبَةَ، فَمَا رَآهَا حَتَّى لَقِيَ اللَّهَ.

Maksudnya: “Utbah pernah berpesan kepada saudaranya, Sa’ad: Sesungguhnya anak lelaki daripada hamba perempuan Zam’ah adalah daripada (nasab)ku, maka ambillah dia mengikutmu. Kemudian pada saat penaklukan Makkah, Sa’ad pun mengambil anak tersebut, lalu Sa`ad berkata: Dia adalah anak kepada saudaraku, aku telah dipesan mengenainya. Maka Abd bin Zam’ah berdiri lalu berkata: Dia adalah saudaraku, anak daripada hamba perempuan ayahku yang lahir di atas tempat tidurnya (yakni berdasarkan hubungan yang sah). Lalu mereka berdua mengadukan kepada Nabi SAW. Sa’ad berkata: Wahai Rasulullah, dia adalah anak kepada saudaraku, aku telah dipesan mengenainya. Abd bin Zam’ah berkata: Dia adalah saudaraku, anak daripada hamba perempuan ayahku yang lahir di atas tempat tidurnya (menidurinya secara sah). Maka Nabi SAW bersabda: Dia milikmu wahai Abd bin Zam’ah. Anak adalah dinasabkan kepada pemilik tempat tidurnya (terhasil melalui hubungan yang sah di antara suami dan isteri), sedangkan bagi penzina tidak ada hak (atau hanya mendapat kehinaan). Kemudian beliau bersabda kepada Saudah binti Zam’ah: Berhijablah engkau daripada anak itu. Ini kerana Baginda melihat kemiripannya dengan Utbah, maka anak itu pun tidak pernah melihat Saudah sampai akhir hayat anak itu.”

Riwayat al-Bukhari (6749)

Kami kemukakan beberapa fiqh hadith daripada kitab Fath al-Bari (12/32-40) oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani seperti berikut:

  • Perkataan (عَهِدَ إِلَى أَخِيهِ) memberi maksud ‘ia telah mewasiatkan kepada saudaranya.’
  • Perkataan (وَلِيدَةِ) memberi maksud ‘hamba perempuan yang dikatakan beliau daripada Yaman’. Perkataan (وَلِيدَةِ) atas wazan fa’ilah adalah daripada wiladah iaitu kelahiran. Al-Jauhari berkata, ‘Iaitu anak perempuan kecil dan juga hamba perempuan. Ia dikatakan nama lain bagi Ummu Walad.
  • Perkataan (زَمْعَةَ) boleh dibaca dengan zama’ah iaitu zai dibaris atas atau zam’ah dengan baris mati. Imam al-Nawawi berpendapat dengan
  • Perkataan (عَاهِرِ) dengan makna penzina sedangkan makna (حَجَرُ) pula dengan dua makna iaitu kerugian dan pendapat yang kedua dengan makna direjam dengan batu. Tetapi pendapat ini lemah.
  • Perkataan (فِرَاشِ) pula dengan maksud lelaki yang mempunyai isteri atau hamba perempuan menjadi hamparan baginya. Dengan makna, anak yang lahir daripadanya menjadi anaknya.
  • Dalam mazhab Syafie dan Malik, seseorang hamba perempuan menjadi فِرَاشِ dengan sebab wati’ bukan semata-mata pemilikan.
  • Ketahuilah hadith ‘Abd bin Zam’ah ditanggung bahawa sabit hamba ayahnya sebagai firash kepada Zam’ah. Dengan sebab itu, Nabi SAW menisbahkan anak kepadanya. Sabitan ini samada dengan bukti atas ikrarnya atau pengetahuan Nabi SAW. Ini menjadi dalil kepada mazhab Syafie dan Maliki.
  • Hadith ini menunjukkan dalil bagi mazhab Syafie berkenaan menasabkan anak kerana Imam Syafie berpendapat, harus menasabkan waris dengan syarat ia berhak menerima pusaka. Begitu juga yang dinasabkan anak bagi si mati dan syarat yang tidak diketahui nasab selain daripadanya. Begitu juga hendaklah yang menasabkan dibenarkannya jika dia berakal lagi baligh. Ini syarat semuanya, wujud bagi anak ini sehingga Nabi SAW menasabkannya kepada Zam’ah.
  • Bagi yang berzina, maka jika ibu mengiktiraf bahawa ia daripada penzina maka hendaklah dinasabkan kepadanya. Kemudian Islam datang membatalkan. Dengan sebab itu, nasab anak dengan sebab perkahwinan syarie. Tatkala berhujah ‘Abd bin Zam’ah dan Sa’d bin Abi Waqqas, Rasulullah SAW memberikan hak kepada ‘Abd bin Zam’ah.
  • Hukum melalui penyerupaan yang nyata atau qafah hanya dikira jika tiada sebarang dalil yang kuat seperti perkahwinan kerana Nabi tidak menghukum dengan penyerupaan semata-mata dalam kisah Li’an.
  • Hadith ini juga menunjukkan bahawa hukum hakim atau keputusan mahkamah tidak melihat kepada yang batin.
  • Manakala dalam al-Minhaj Syarh Muslim (10/39), Imam al-Nawawi (w.676H) rahimahullah menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh Saudah untuk berhijab adalah sebagai langkah berhati-hati dan hukumnya sunat.

 Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”