#6254: Cara Iman Dicabut

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar orang beriman tidak berzina dan juga beberapa kelompok yang lain? Persoalannya, bagaimana iman seseorang itu dicabut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Takrif Iman

Iman pada bahasa ialah al-tasdiq (membenarkan). Menurut Ibn Manzur, pengertian ini (al-tasdiq) telah disepakati oleh majoriti ilmuan Islam, seperti al-Asfahani, al-Qadhi Iyadh dan al-Tabari juga bersependapat bahawa makna iman dari sudut bahasa ialah membenarkan. Hal ini juga seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir bahawa iman pada bahasa ialah membenarkan atau semata-mata membenarkan. (Lihat Lisan al-’Arab, 3/141; Mufradat Alfaz al-Quran, hlm. 91)

Imam Ahmad berkata: “Iman adalah perkataan dan amalan, boleh bertambah dan berkurang. (Lihat al-Sunnah, 1/207) Imam al-Bukhari dalam awal kitab sahihnya menyebut bahawa: “Iman itu perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.” Kemudian beliau berkata lagi: “Cinta kerana Allah dan benci kerana Allah adalah sebahagian daripada iman.” (Lihat Sahih al-Bukhari, dalam kitab al-Iman).

Ibn ‘Abd al-Bar dalam kitabnya al-Tamhid berkata: “Iman menurut ulama’ Ahlus Sunnah di mana mereka adalah Ahlul Athar daripada ulama fiqh dan hadith, – mereka telah bersepakat, iman itu perkataan dan perbuatan dan tidak ada amalan kecuali dengan niat. Iman menurut Ahlus Sunnah bertambah dengan ketaatan dan berkurang kerana maksiat. Segala ketaatan termasuk bahagian daripada iman.” (Lihat al-Tamhid, 9/238)

Ibn Kathir berkata: Iman menurut pengertian Syar’i tidak wujud kecuali dengan adanya keyakinan (i’tiqad), perkataan dan perbuatan. Demikian definisi yang disampaikan oleh kebanyakan ulama. Bahkan Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal serta Abu ‘Ubaid, serta ulama yang lain juga bersepakat bahawa iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan berkurang.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim pada tafsiran surah al-Baqarah, ayat 2).

Syeikh Abd al-Rahman Habannakah menyatakan bahawa iman adalah membenarkan dengan hati atas setiap apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. (Lihat al-Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha, hlm. 80)

Justeru, iman menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah adalah ikrar dalam hati, diucapkan dengan lisan dan diamalkan dengan anggota badan.

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith seperti riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَزْنِي العَبْدُ حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلاَ يَسْرِقُ السَّارِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلاَ يَشْرَبُ حِينَ يَشْرَبُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلاَ يَقْتُلُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ». قَالَ عِكْرِمَةُ: قُلْتُ لِابْنِ عَبَّاسٍ: كَيْفَ يُنْزَعُ الإِيمَانُ مِنْهُ؟ قَالَ: هَكَذَا، وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ، ثُمَّ أَخْرَجَهَا، فَإِنْ تَابَ عَادَ إِلَيْهِ هَكَذَا، وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ.

Maksudnya: “Tidaklah seorang hamba berzina, ketika dia berzina sedangkan dia berada dalam keadaan beriman (dengan iman yang sempurna), dan tidaklah seorang (hamba) yang mencuri, ketika dia mencuri, sedangkan dia berada dalam keadaan beriman (dengan iman yang sempurna), dan tidaklah seseorang (hamba) meminum arak, ketika dia meminum arak sedangkan dia dalam keadaan beriman (dengan iman yang sempurna), dan tidaklah seseorang (hamba) membunuh sedangkan dia dalam keadaan beriman.” ‘Ikrimah berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: “Bagaimanakah keimanan dicabut daripada dirinya (ketika dia bermaksiat)? Beliau menjawab: “Begini..” – lalu beliau menjalinkan jari-jemarinya kemudian melepaskannya – “…maka sekiranya dia bertaubat, dia akan kembali seperti ini,” lalu beliau kembali memasukkan jari-jemarinya antara satu sama lain.”

Riwayat al-Bukhari (6809)

Al-’Aini berkata: Ungkapannya, ‘كَيْفَ يُنْزَعُ الإِيمَانُ مِنْهُ’ (“Bagaimanakah keimanan dicabut daripada dirinya?) Ia merujuk kepada situasi di mana seseorang melakukan salah satu dari perbuatan yang telah disebutkan – zina, pencurian, minum arak, atau membunuh nyawa orang. Dan ungkapannya: ‘فَإِن تَابَ’ (sekiranya dia bertaubat), ia merujuk kepada pelaku perbuatan-perbuatan tersebut, di mana iman akan kembali kepadanya.” (Lihat ‘Umdah al-Qari, 23/289)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”