#6255: Pahala Sedekah Orang Tidak Solat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Kita tahu jika Seseorang yang melakukan Amal kebaikan seperti suka bersedekah dan memberi makan kepada orang miskin, namun dia tidak mendirikan solat sedangkan dia Islam, setiap amalan tersebut tiada ganjaran pahala . Adakah setelah dia berubah dan menjadi seorang Islam yang taat dan mendirikan solat, setiap Amal kebaikan nya yang lalu Akan diberikan pahala dan akan diterima oleh Allah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Bersedekah merupakan amalan yang dituntut di sisi Allah SWT, Allah berfirman:

لَن تَنَالُوا۟ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا۟ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَیۡءࣲ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِیمࣱ

Maksudnya: “Kamu tidak akan memperoleh pahala kebajikan yang sempurna sehingga kamu menginfakkan sebahagian daripada harta yang kamu sayangi. Apa jua yang kamu infak, maka sesungguhnya Allah mengetahui tentangnya.”

(Surah Ali ‘Imran: 92)

Dalam masa yang sama, solat juga merupakan tiang yang membina agama di dalam diri seseorang. Sesiapa yang tidak bersolat, maka dia telah merobohkan agamanya dan melakukan perbuatan orang-orang kafir.

Daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ ‏”‏ الصَّلاَةُ لِوَقْتِهَا ‏”‏ ‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏”‏ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏”‏ ‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏”‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏”‏ ‏

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan amalan apakah yang paling afdhal, lalu Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.” Kemudian aku bertanya lagi, apakah amalan yang seterusnya? Jawab Baginda: “Berbakti kepada kedua ibu bapa.” Kemudian aku bertanya, apakah lagi seterusnya? Jawab Baginda: “Berjihad di jalan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (85) dan Muslim (85)

‘Umar bin al-Khattab R.A meriwayatkan bahawa:

جَاءَ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ! أَيُّ شَيْءٍ أَحَبُّ عِنْدَ اللهِ فِي الْإِسْلَامِ؟ قَالَ: الصَّلَاةُ لِوَقْتِهَا، وَمَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ فَلَا دِينَ لَهُ، وَالصَّلَاةُ عِمَادُ الدِّينِ

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW kemudian bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah amalan di dalam Islam yang paling Allah sukai?” Baginda menjawab, “Solat pada waktunya, sesiapa yang meninggalkan solat, maka tiada agama baginya. Solat itu tiang agama.”

Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu‘ab al-Iman (2807). Dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami‘ (170).

Perincian Hukum Orang Yang Meninggalkan Solat

Orang yang tidak menunaikan solat, hukumnya terbahagi kepada dua:

  1. Sekiranya dia meninggalkan solat kerana malas semata-mata, maka dia seorang Muslim berdosa besar (fasik) dan bermaksiat (‘asi), masih belum jatuh kafir.
  2. Jika dia meninggalkan solat kerana mempertikaikan kewajiban solat, dan menganggapnya tidak wajib, maka barulah dia dihukum sebagai kafir.

Hal ini berdasarkan perincian Imam Ibn Qasim al-Ghazzi seperti berikut: “Orang yang meninggalkan mana-mana solat daripada solat fardu lima waktu, terbahagi kepada dua:

  • Jika seorang mukallaf meninggalkannya dalam keadaan tidak beriktikad akan kewajibannya, maka hukumnya adalah hukum orang murtad.
  • Jika seseorang tidak menunaikan solat hingga keluar waktunya kerana malas, namun dia masih beriktikad bahawa solat itu wajib, maka dia masih Muslim yang berdosa besar.

Dianjurkan untuk mengarahkannya bertaubat dan melaksanakan solat semula, jika dia enggan, maka pemimpin boleh menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya, atas dasar hukuman hudud, bukan kerana dia murtad. Hukumnya masih lagi hukum kaum Muslimin dari sudut pengurusan jenazah dan pengebumiannya.” (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, hal. 292)

Sedekah, Namun Tidak Solat

Seorang Muslim yang banyak bersedekah namun dia meninggalkan solat kerana malas dan culas, dia masih dinilai sebagai seorang Muslim. Namun, dia merupakan seorang Muslim yang bermaksiat (‘asi) dan berdosa besar (fasik).

Pahala sedekahnya masih dicatatkan dan dikira, walaupun demikian, dosa besar meninggalkan solat kerana malas dan culas juga akan disertakan dalam buku catatan amalannya.

Semua amalan, baik yang kecil mahupun yang besar, pasti dicatat dan dikira dalam buku amalan setiap manusia. Allah SWT berfirman:

وَوُضِعَ ٱلۡكِتَـٰبُ فَتَرَى ٱلۡمُجۡرِمِینَ مُشۡفِقِینَ مِمَّا فِیهِ وَیَقُولُونَ یَـٰوَیۡلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا ٱلۡكِتَـٰبِ لَا یُغَادِرُ صَغِیرَةࣰ وَلَا كَبِیرَةً إِلَّاۤ أَحۡصَىٰهَاۚ وَوَجَدُوا۟ مَا عَمِلُوا۟ حَاضِرࣰاۗ وَلَا یَظۡلِمُ رَبُّكَ أَحَدࣰا

Maksudnya: “Dan apabila kitab amalan diletakkan di hadapan mereka dan orang-orang yang zalim itu merasa takut akan diri nasib diri mereka seraya mengatakan: “Aduhai! Betapa celakanya diri kami. Kitab apa ini? Tiada suatu pun amalan yang kecil mahupun yant besar melainkan ia terkandung di dalamnya. Dan mereka akan mendapati amalan mereka akan dibentangkan di hadapan mereka. Dan Tuhanmu sama sekali tidak pernah menzalimi sesiapa pun.”

(Surah al-Kahfi: 49)

Sesiapa yang melakukan amalan baik atau buruk walau sebesar zarah pun, pasti dia akan melihat amalan tersebut dicatat dan dibalas. Allah SWT berfirman:

فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَیۡرࣰا یَرَهُۥ ۝٧ وَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةࣲ شَرࣰّا یَرَهُۥ ۝٨

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal dengan kebaikan sebesar zarah pun, pasti dia akan mendapatinya (tertulis dan dibalas) [7] Sesiapa yang beramal dengan keburukan sebesar zarah pun, pasti dia akan mendapatinya (tertulis dan dibalas).”

(Surah al-Zalzalah: 7-8)

Maka, semua amalan, sama ada kecil mahupun besar, sedikit atau pun banyak, pasti akan dicatat dan dikira, juga pasti akan diperlihatkan dan dibalas tanpa terkecuali.

Murtad Masuk Islam Semula

Seandainya seseorang itu telah diputuskan murtad oleh ulil amri (pemimpin), kemudian dia masuk Islam semula. Adakah pahala-pahala amalan yang dilakukan ketika masih Islam sebelum murtad dahulu akan kembali diberikan semula?

Kami cenderung menyatakan pahala amalan tersebut akan dikembalikan semula dan dicatatkan di dalam kitab amalannya berdasarkan pendirian ulama mazhab al-Syafi‘i tentang seorang yang murtad kemudian masuk Islam semula dan dia pernah melaksanakan Haji ketika masih Muslim dahulu, apakah dia wajib mengulang ibadat Haji selepas masuk Islam sekali lagi?

Ulama mazhab al-Syafi‘i menyatakan dia tidak perlu mengulang ibadat Haji tersebut, pahala tersebut masih ada dan belum gugur. Usul ini dinyatakan oleh Imam al-Isnawi.

Berbeza dengan mazhab Hanafi, Imam Abu Hanifah berpendapat wajib melaksanakan ibadat Haji sekali lagi, kerana ibadat Haji yang lepas itu telah lupus dan terhapus pahalanya akibat murtad. Mereka berdalilkan firman Allah SWT:

وَمَنْ يَكْفُرْ بِالْإِيمَانِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjadi kafir selepas beriman maka segala amalannya akan terhapus dan dia termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi di akhirat kelak.”

(Surah al-Ma’idah: 5)

Imam al-Isnawi berkata: “Mazhab Hanafi mengatakan apabila seseorang murtad sahaja, amalan pahalanya dahulu terus gugur dan terhapus. Ulama mazhab al-Syafi‘i mengkritik pemahaman ini, dengan mengatakan amalan seseorang hanya akan gugur dan terhapus jika dia mati dalam keadaan kafir. Hal ini berlandaskan firman Allah SWT:

وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang murtad keluar daripada agamanya dalam kalangan kalian kemudian dia mati dalam keadaan kafir, maka mereka itulah orang-orang yang akan dihapuskan amalannya di dunia, dan di akhirat kelak dia akan masuk ke dalam neraka, mereka kekal di dalam neraka selama-lamanya.”

(Surah al-Baqarah: 217)

Imam al-Isnawi mengujarkan: “Oleh yang demikian, usul mazhab al-Syafi‘i menyatakan bahawa pahala kebaikan seorang Muslim hanya akan terhapus keseluruhannya dan gugur hanya sekiranya dia mati dalam keadaan kafir. Adapun jika dia sempat bertaubat dan masuk Islam semula, maka pahalanya masih ada dan bernilai.” (Lihat al-Muhimmat fi Syarh al-Raudhah wa al-Rafi‘i, 4/203)

Kesimpulan

Khulasatulkalam, orang yang suka bersedekah dan memberi makan kepada orang miskin, namun dia tidak mendirikan solat sedangkan dia seorang Muslim, masih mendapat ganjaran pahala sedekahnya itu. Pahala tersebut akan tetap diperlihatkan dan dibalas di akhirat kelak. Begitu juga dengan dosa meninggalkan solat, ia tetap akan dihukum kelak sekiranya belum bertaubat.

Hal ini kami nyatakan berdasarkan usul mazhab al-Syafi‘i yang mengatakan bahawa pahala kebaikan seseorang hanya akan gugur jika dia mati dalam keadaan kafir.

Kami menasihatkan kita bersama agar:

  1. Memelihara perlaksanaan solat khususnya solat fardu lima waktu, kerana solat merupakan tiang agama dan pemisah antara Muslim dan kafir.
  2. Melazimi amalan sedekah, infak dan membantu orang yang dalam kesusahan
  3. Menuntut ilmu untuk memperbaiki diri, bukan menilai/menghukum orang lain.

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman yang baik serta kefaqihan dalam beragama kepada kita semua. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى شُكْرِكَ، وَذِكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, bantulah kami untuk mensyukuri nikmat-Mu, sentiasa mengingati-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan cara yang terbaik.”

Riwayat Ahmad (7969)

Wallahu a‘lam.