#6257: Isteri Berkasar Dengan Suami

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya nak tanya apa hukum isteri suka bercakap kasar dengan suami dan suka bermasam muka dengan suami ketika suami menegur perbuatan yang salah. Terima kasih, Ustaz.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan gaulilah mereka (isteri-isteri kalian) dengan makruf (kebaikan).”

(Surah al-Nisa’: 19)

Imam Ibn al-Rif‘ah menukilkan bahawa Imam al-Syafi‘i menafsirkan ayat ini dengan mengatakan: “Bergaul dengan makruf (baik) antara pasangan suami isteri adalah saling menahan diri daripada melakukan perkara yang dibenci oleh kedua-dua pihak, memenuhi tuntutan asasi dan fitrah serta keperluan masing-masing, tanpa menzahirkan sebarang rasa benci atau enggan dalam melaksanakannya. Hal ini kerana sikap demikian itu merupakan suatu penundaan terhadap hak, dan penundaan perlaksanaan hak adalah suatu kezaliman.” (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 13/330)

Sepertimana suami wajib menggauli isteri dengan baik, maka isteri juga wajib melayan suami dengan penuh baik, penghormatan dan kesantunan.

Petanda Nusyuz

Hukum isteri suka bercakap kasar dengan suami dan suka bermasam muka dengan suami ketika suami menegurnya adalah haram dan berdosa. Perbuatan buruk ini bakal mendedahkan si isteri berhampiran ke dalam kesalahan nusyuz. Meskipun ia bukanlah nusyuz namun ia merupakan petanda-petanda nusyuz.

Nusyuz berasal daripada kalimat nasyaza (نَشَزَ) yang bermaksud terangkat, kata seertinya juga adalah nasyasa (نَشَصَ) yang bermaksud: setiap sesuatu yang tinggi dan terangkat daripada tanah; dalam konteks rumahtangga, nusyuz ialah keadaan si isteri mengangkat tanggungjawab mentaati suami daripada dirinya atau menghalang dirinya daripada memenuhi hak suami.

Syeikh Muhammad Nawawi Jawi berkata: “Nusyuz itu bermakna seorang isteri menghalang dirinya daripada melaksanakan kewajiban dirinya terhadap suaminya, iaitu tidak memenuhi hak-hak suami; seperti mentaatinya, bergaul bersama suami dengan baik, menyerahkan dirinya kepada suami, melazimi rumah suaminya dan lain-lain perkara yang semisal dengannya.” (Lihat Qut al-Habib al-Gharib Tausyih ‘ala Fath al-Qarib, hal. 328)

Suami Haruslah Menasihati

Imam ‘Ali al-Syabramallisi berkata: “Jika si isteri memukul suami atau bercakap kasar dengannya (seperti memaki hamun suami); itu belum dikira sebagai nusyuz.” (Lihat Hasyiah al-Syabramallisi  ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 6/380)

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Apabila telah ada tanda-tanda nusyuz pada si isteri seperti kekasaran dalam kata-kata selepas selama ini si isteri itu berkata secara lembut, atau bermasam muka selepas selama ini wajahnya ceria dan mesra, atau berpaling dan enggan selepas selama ini si isteri sentiasa suka dan rela; maka sunat ke atas suami untuk menasihatinya.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/390)

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَٱلَّـٰتِی تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهۡجُرُوهُنَّ فِی ٱلۡمَضَاجِعِ وَٱضۡرِبُوهُنَّۖ فَإِنۡ أَطَعۡنَكُمۡ فَلَا تَبۡغُوا۟ عَلَیۡهِنَّ سَبِیلًاۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِیࣰّا كَبِیرࣰا

Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang kalian takuti mereka melakukan nusyuz, maka nasihatkanlah mereka, atau pisahkanlah mereka daripada tempat tidur, atau pukullah mereka (dengan pukulan yang ringan dan tidak mencederakan). Sekiranya mereka kembali mentaati kalian maka janganlah kalian mencari jalan untuk menzalimi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

(Surah al-Nisa’: 34)

Berdasarkan ayat di atas, nasihat adalah langkah permulaan bagi kesalahan nusyuz. Maka apatah lagi, bagi kesalahan yang tidak termasuk di bawah nusyuz seperti ini. Sudah tentu, nasihat adalah langkah yang paling terbaik dan selayaknya diusahakan.

Jika si isteri yang telah melakukan nusyuz, haruslah dikenakan tindakan seperti berikut:

  • Dinasihati dengan lembut dahulu, jika tidak berkesan, maka hendaklah dengan keras dan sentakan.
  • Atau, dipisahkan daripada tempat tidur suami
  • Atau, dipukul dengan pukulan ringan yang tidak mencederakan, di bahagian selain muka.

Wajib mendahulukan nasihat berbanding hukuman yang lain. Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan lagi: “Si suami hendaklah menasihatinya dahulu tentang hukuman dan akibat duniawi seperti takut-takut dirinya nanti boleh dipukul oleh suami (dengan pukulan yang tidak mencederakan), serta gugur kelayakan dirinya menerima nafkah dan sebagainya; begitu juga dengan ancaman azab di akhirat kelak ke atas isteri yang nusyuz dan derhaka.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/390)

Jika keengganannya berulang dan si isteri masih berdegil, maka barulah suami boleh pergi kepada mana-mana hukuman yang seterusnya seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas, berdasarkan tahap kesalahan dan kesesuaian keadaan. Itu pun, sekiranya suami tahu hukuman-hukuman itu akan mendatangkan kemaslahatan kepada keadaan rumah tangga mereka. Jika tidak, maka ia tidak dibenarkan.

Imam Abu al-Qasim al-Rafi‘i berkata: “Jika kesalahannya semata-mata berkasar dalam kata-kata dan bermasam muka dalam keadaan sebelumnya si isteri merupakan yang lembut dan mesra, maka tidak boleh dipukul atau dipisahkan dari tempat tidur. Hendaklah menasihatinya sahaja.

Adapun jika ia dilakukan berulang kali dalam keadaan degil, maka barulah boleh dinasihati secara keras, dipisahkan tempat tidur dan dipukul dengan pukulan ringan yang tidak mencederakan. Itupun melihat kepada kesesuaian, dan tahap kesalahan. Wajib dilihat manakah hukuman yang sesuai dengan keberatan salah tersebut. Inilah pendapat yang sahih dalam mazhab.” (Lihat al-Syarh al-Kabir atau al- ‘Aziz Syarh al-Wajiz, 8/389).

Suami wajib menentukan hukuman mana yang paling terbaik, iaitu yang paling mendatangkan kesedaran dan keinsafan kepada si isteri yang nusyuz. Bukan hukuman yang paling menderitakan atau mencederakan. Demikian itu bertentangan dengan hukum Allah.

Ini merupakan langkah-langkah hukuman bagi isteri yang nusyuz, maka apatahlagi bagi isteri yang belum menggapai martabat kesalahan tersebut. Nasihat dengan lemah-lembut dan kasih-sayang sentiasa wajib dan harus diutamakan.

Dalam keadaan sentiasa menasihati isteri dengan lembut atau tegas, apapun, memaafkan si isteri adalah yang paling utama. Imam al-Ramli berkata: “Yang lebih utama (aula) adalah memaafkan isteri yang berkasar.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/390)

Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani berkata: “Jika penjaga memukul budak di bawah tanggungannya (anak) untuk mengajarnya, yang lebih utama adalah tidak memaafkannya dan kekal menghukumnya kerana itu adalah demi maslahat dan kebaikan budak tersebut. Manakala, si isteri yang telah melanggar hak suami, dia melanggar kemaslahatan peribadi suami. Maka, dianjurkan untuk suami memaafkannya. Demikianlah penjelasan Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari dalam syarah al-Raudh.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 6/390)

Kesimpulannya

Kesimpulannya, isteri yang bercakap kasar dan bermasam muka dengan suami tanpa alasan yang munasabah mempunyai tanda-tanda nusyuz dan berkemungkinan besar boleh terjerumus ke dalam kancah kesalahan nusyuz.

Si isteri wajiblah segera bertaubat dan kembali mentaati suami, melayan suami dengan baik dan memenuhi hak-hak suami yang begitu besar. ‘Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ أَمَرْتُ أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، وَلَوْ أَنَّ رَجُلًا أَمَرَ امْرَأَتَهُ أَنْ تَنْقُلَ مِنْ جَبَلٍ أَحْمَرَ إِلَى جَبَلٍ أَسْوَدَ، وَمِنْ جَبَلٍ أَسْوَدَ إِلَى جَبَلٍ أَحْمَرَ، لَكَانَ نَوْلُهَا أَنْ تَفْعَلَ

Maksudnya: “Jika aku boleh mengarahkan sesiapa untuk sujud kepada manusia, nescaya aku akan arahkan agar isteri sujud kepada suaminya. Sekiranya suami mengarahkan isterinya untuk memindahkan batu dari bukit merah ke bukit hitam, dan kemudian kembali memindahkan batu di bukit hitam itu ke bukit merah semula, maka wajib ke atas isteri untuk melaksanakannya.”

Riwayat Ibn Majah (1852)

Semoga Allah mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama dan kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah isteri-isteri dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin dalam kalangan orang-orang yang bertakwa.”

Wallahu a‘lam.