#6259: Suami Kedekut, Beri Nafkah Wajib Sahaja

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Maaf saya ingin bertanya apakah hukum apabila T20 suami yang kedekut dan berkira dengan isteri dan anak-anak? Si suami hanya beri nafkah yang wajib sahaja walhal dia sangat mampu untuk beri lebih, namun dia lebih gemar gunakan duitnya bagi belanja kawan-kawan atau adik beradik dia tanpa berkira. Jazakallahu khairan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah mengarahkan para suami untuk melayan isteri dan menggauli mereka dengan baik. Allah SWT berfirman:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan gaulilah mereka (isteri-isteri kalian) dengan makruf (kebaikan).”

(Surah al-Nisa’: 19)

Jabir bin Abdullah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah dalam urusan wanita, kerana kalian memiliki mereka dengan amanah daripada Allah, dan kalian menghalalkan faraj mereka dengan kalimah Allah. Kalian wajib memberi makan dan pakaian kepada mereka dengan kebaikan.”

Riwayat Abu Daud (1905)

Nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri sepertimana yang dijelaskan oleh al-Khatib al-Syirbini ketika beliau menjelaskan: “Hak-hak isteri yang wajib suami tunaikan ada tujuh perkara iaitu:

  • Makanan ruji,
  • Lauk pauk dan daging,
  • Pakaian,
  • Alat-alat membersihkan diri,
  • Barang-barang perkakas rumah,
  • Rumah/Tempat tinggal,
  • Pembantu rumah (khadam), jika isteri itu memerlukannya.”

(Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 5/151)

Semua ini perlu diberikan oleh suami kepada isteri menurut kemampuan dan taraf kehidupan dirinya. Allah SWT berfirman:

وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”

(Surah al-Baqarah: 231)

Imam Ibn Kathir pula menyatakan bahawa perkataan bil ma‘ruf (بِالْمَعْرُوفِ) di dalam ayat di atas menunjukkan adat kebiasaan yang dilakukan oleh si isteri mengikut negeri asalnya dengan tidak melampau atau berlebihan, serta tidak membebankan si suami. Pemberian ini mestilah berdasarkan kemampuan dan taraf ekonomi si suami sama ada dia kaya, sederhana atau miskin. (Lihat Tafsir Qur’an al-‘Azim, 1/634)

Jika suami kedekut dalam pemberian nafkah wajib, maka si isteri boleh mengambilnya secara rahsia dengan kadar yang mencukupi untuk dirinya dan anak-anak sahaja untuk memenuhi ketujuh-tujuh perkara di atas.

Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Hind binti  ‘Utbah R.Anha datang bertemu Rasulullah SAW kemudian mengadukan tentang suaminya yang kedekut:

يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ، لَا يُعْطِينِي مِنَ النَّفَقَةِ مَا يَكْفِينِي وَيَكْفِي بَنِيَّ إِلَّا مَا أَخَذْتُ مِنْ مَالِهِ بِغَيْرِ عِلْمِهِ، فَهَلْ عَلَيَّ فِي ذَلِكَ مِنْ جُنَاحٍ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «خُذِي مِنْ مَالِهِ بِالْمَعْرُوفِ مَا يَكْفِيكِ وَيَكْفِي بَنِيكِ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan itu seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberikan nafkah yang mencukupi buat diriku dan juga anak-anakku kecuali apabila aku mengambil sebahagian daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah saya bersalah jika melakukan sedemikian rupa?” Rasulullah SAW menjawab: “Ambillah daripada hartanya setakat yang mencukupi untuk keperluan asas dirimu dan anak-anak sahaja.”

Riwayat al-Bukhari (2211) dan Muslim (4574)

Menurut Kemampuan Suami

Semua ini mesti dipenuhi oleh suami menurut kemampuan dirinya, sekiranya suami merupakan seorang kaya (mencapai martabat T20), maka suami wajiblah menurut kemampuannya:

  • Menyediakan makanan seperti beras yang mahal dan berkualiti tinggi
  • Menyediakan lauk pauk yang mahal dan berkualiti seperti daging, sayur-sayuran, rempah-ratus yang lengkap.
  • Menyediakan pakaian yang mahal dan berjenama; iaitu tudung, jubah, kasut dan selendang yang berjenama, serta pakaian yang sesuai pada musim panas, dan pakaian yang sesuai pada musim sejuk seperti kot tebal.
  • Menyediakan alat-alat membersihkan diri (buat wanita dan anak-anak) yang berjenama dan berkualiti tinggi.
  • Menyediakan barangan rumah yang lengkap untuk kelengkapan hidup bersama seperti alat membersihkan rumah, perabot dan kemudahan asas rumah seperti katil, bantal, selimut, sofa berjenama dan berkualiti tinggi.
  • Menyediakan tempat tinggal yang selesa, besar dan luas.
  • Menyediakan pembantu rumah yang cukup untuk membantu si isteri menyelesaikan kerja-kerja rumah, sekiranya isteri terbiasa dibantu.

Adapun jika si suami tidak kaya sama ada berada pada tahap sederhana atau miskin, maka dia diwajibkan untuk berusaha memberi semua ini dengan setakat kemampuannya, terutamanya makanan dan minuman serta pakaian dan tempat tinggal.

Allah SWT berfirman:

لِیُنفِقۡ ذُو سَعَةࣲ مِّن سَعَتِهِۦۖ وَمَن قُدِرَ عَلَیۡهِ رِزۡقُهُۥ فَلۡیُنفِقۡ مِمَّاۤ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُۚ لَا یُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا مَاۤ ءَاتَىٰهَاۚ سَیَجۡعَلُ ٱللَّهُ بَعۡدَ عُسۡرࣲ یُسۡرࣰا

Maksudnya: “Hendaklah si suami memberi nafkah berdasarkan kesenangan dan kemampuannya. Sesiapa yang kurang berkemampuan dalam rezekinya maka berilah nafkah sebatas kemampuan yang Allah berikan kepadanya sahaja. Allah tidak akan membebankan seseorang melainkan dengan apa yang diberikan kepadanya sahaja. Allah pasti akan menjadikan kesenangan selepas kesukaran.”

(Surah al-Talaq: 7)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi menyatakan ketika menafsirkan ayat di atas: “Seorang suami wajib memberi nafkah kepada tanggungannya dengan sebatas kemampuan hartanya. Allah tidak akan pernah membebankan seseorang, melainkan dengan batas kemampuan dan apa yang dimilikinya.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/157)

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Ayat ini merupakan dalil tunjang bahawa seorang suami wajib memberi nafkah sebatas kemampuannya, dan kemampuan setiap orang adalah bersifat tafawut iaitu berbeza-beza (sama ada kaya, sederhana atau miskin).” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 8/302)

Jika kaya, maka mahallah pemberian nafkah tersebut. Jika sederhana, maka turut sederhana jugalah pemberiannya. Begitulah juga jika si suami itu miskin. Semua tahap memberi sesuai dengan tahap dan kemampuannya.

Adapun pemberian selain yang disebutkan di atas ini, maka ia bukanlah pemberian yang wajib diberikan oleh suami. Ia lebih kepada pemberian tatawwu‘ (sunat) berupa hadiah atau sedekah.

Jika suami telah memenuhi semua tuntutan yang wajib dengan sempurna, maka si isteri mestilah mengakui bahawa suami telah melunaskan tanggungjawab asasinya dan si isteri wajiblah mentaati suami. Suami tersebut tidak seharusnya dinilai sebagai kedekut. Jika isteri dan anak-anak memerlukan apa-apa barangan tambahan selain keperluan asas yang disebutkan, berbincanglah baik-baik dengan suami.

Jangan Kedekut Kepada Isteri dan Anak

Di samping itu, para suami dinasihatkan untuk tidak bersifat kedekut atau bakhil, lebih-lebih kepada isteri dan anak-anak. Sikap ini hanya membawa kepada kerosakan dalam institusi rumahtangga, perpecahan dan kejahatan.

‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌إِيَّاكُمْ ‌وَالشُّحَّ، فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِالشُّحِّ: أَمَرَهُمْ بِالْبُخْلِ فَبَخِلُوا، وَأَمَرَهُمْ بِالْقَطِيعَةِ فَقَطَعُوا، وَأَمَرَهُمْ بِالْفُجُورِ فَفَجَرُوا

Maksudnya: “Jauhilah sifat bakhil. Sesungguhnya orang sebelum kalian binasa disebabkan sifat bakhil. Ia membawa kepada sifat kedekut, mereka menjadi kedekut. Ia membawa kepada terputusnya hubungan kekeluargaan dan membawa kepada dosa.”

Riwayat Abu Daud (1698)

Suami dan bapa yang paling terbaik adalah suami dan bapa yang paling baik melayan isteri jua anak-anaknya. ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya: “Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik dalam melayan ahli keluarganya, dan aku (Rasulullah) adalah orang yang paling baik dalam melayan ahli keluargaku.”

Riwayat Ibn Majah (1977)

Selepas diri kita, isteri, anak-anak, hamba sahaya/pembantu rumah merupakan orang yang paling berhak merasa harta kita berupa pemberian hadiah dan sedekah, berbanding orang-orang yang lain. Kemudian barulah diberikan sedekah atau hadiah itu kepada orang lain seperti sanak-saudara dan kaum kerabat seperti adik-beradik, saudara-mara dan lain-lain.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَصَدَّقُوا ، فَقَالَ رَجُلٌ : يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ ، فَقَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ: أَنْتَ أَبْصَرُ

Maksudnya: “Bersedekahlah.” Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, aku mempunyai dinar.” Baginda menjawab: “Sedekahkan untuk diri kamu sendiri.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai dinar yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada isteri engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada anak engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada hamba engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku masih ada yang lain lagi.” Baginda berkata: “Engkau lebih tahu.”

Riwayat Ahmad (2335), Abu Daud (1691) dan al-Nasa’i (2353)

Imam al-Nawawi berkata: “Apabila bertembung orang-orang yang berhajat daripada kalangan mereka yang berhak dinafkahi, maka sekiranya hartanya cukup untuk menafkahkan semuanya, maka dia wajib menafkahkan semuanya. Namun, sekiranya hartanya tidak ada lebih dan hanya cukup untuk seorang, maka hendaklah mengutamakan nafkah untuk isteri berbanding nafkah untuk ahli keluarga yang lain.” (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 9/93)

Kesimpulan

Kesimpulan yang kami nyatakan di sini, suami tidak boleh bersikap kedekut dengan isteri dan anak-anak. Sikap kedekut dan bakhil ini hanya mendatangkan keburukan kepada keluarga. Jika suami seorang yang kaya, isteri dan anak-anak merupakan insan yang paling berhak menikmati kekayaan suaminya dan ayah mereka itu. Bukan orang lain.

Di samping itu, semua pihak keluarga terutamanya kedua-dua pihak suami isteri mestilah mengetahui kadar nafkah wajib yang telah ditetapkan syara‘ supaya kedua-dua pihak suami dan isteri dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Isteri mestilah mengamalkan sikap syukur dan qana‘ah (berkecukupan) dengan apa yang diberikan oleh suami sedaya upaya dirinya, sekiranya suami melaksanakan semua pemberian nafkah wajib dengan sempurna.

Sebarang keperluan atau kehendak tambahan, cubalah untuk meminta izin dan berbincang dengan baik bersama suami. Nasihatkan suami dengan lemah-lembut dan kongsikan ilmu prioriti dalam bersedekah dan memberi hadiah, jika ada salah faham berkenaannya pada si suami. Insya–Allah, si suami akan menerima nasihat dan pencerahan tersebut sedikit demi sedikit.

Manakala untuk si suami pula, hendaklah mengusahakan nafkah dan pemberian yang terbaik kepada isteri dan anak-anak, untuk melaksanakan perintah Allah berkaitan nafkah, serta membahagiakan mereka semua. Isteri dan anak-anaklah yang paling berhak untuk merasa nikmat keluasan dan kelapangan harta kita. Suami-suami yang dilapangkan rezeki haruslah mengutamakan untuk membahagiakan anak dan isteri. Harta tambahan kita sewajarnya disalurkan kepada mereka, sebelum pihak yang lain.

Semoga Allah mengurniakan kefaqihan dalam beragama dan kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta rahmat kasih-sayang daripada-Nya buat kita semua.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah isteri-isteri dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin dalam kalangan orang-orang yang bertakwa.”

Wallahu a‘lam.