Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Jika saya solat sunat 4 rakaat di waktu siang, perlu atau tidak baca tasyahud awal?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d:
Dalam menjawab soalan di atas, sama ada dibolehkan untuk membaca tasyahud awal atau tidak membaca tasyahud awal; di dalam solat sunat empat rakaat (al-Ruba‘iyyah) di siang hari, seseorang itu mempunyai pilihan dalam perkara ini, dan dia bebas melakukan kedua-dua cara.
Tasyahud Awal merupakan salah satu amalan sunat yang dituntut di dalam solat. Anjuran melaksanakan tasyahud dalam solat sunat ini diambil daripada keumuman hadith Nabi SAW ketika mengarahkan agar melaksanakan tasyahud awal di dalam setiap solat. Rifa‘ah bin Rafi‘ R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا قُمْتَ فِي صَلَاتِكَ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ، فَإِذَا جَلَسْتَ فِي وَسَطِ الصَّلَاةِ فَاطْمَئِنَّ وَافْتَرِشْ فَخِذَكَ الْيُسْرَى، ثُمَّ تَشَهَّدْ
Maksudnya: “Apabila kamu berdiri melaksanakan solat, maka laksanakanlah takbiratul ihram, kemudian bacalah bacaan al-Quran yang kamu senangi, apabila engkau berada di pertengahan solat (rakaat kedua) maka duduk bertenanglah sebentar dalam keadaan iftirasy iaitu melandaikan paha kirimu, kemudian bacalah tasyahud (awal).”
Riwayat Abu Daud (860)
Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah SAW menyebut kalimat “فِي صَلَاتِكَ” yang bermaksud “di dalam solatmu” secara umum dan mutlak. Secara asalnya, ia merangkumi semua solat sama ada solat fardu, solat sunat atau solat qadha’.
Imam Abu Muhammad al-Baghawi berkata: “Apabila seseorang telah mula melaksanakan sembahyang sunat dengan niat empat (rakaat) maka dia boleh memilih. Jika dia berkehendak, dia boleh sembahyang sunat tersebut dengan satu tasyahud. Jika dia berkehendak, dia boleh sembahyang sunat tersebut dengan dua tasyahud. Jika begitu, dia perlu duduk tasyahud awal pada rakaat kedua dan tasyahud akhir pada rakaat keempat.” (Lihat al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 2/228)
Melaksanakan empat rakaat satu salam beserta tasyahud awal lebih afdal berbanding tanpa tasyahud awal. Hal ini kerana, perbuatan ibadahnya bertambah dan lebih banyak berbanding tanpa tasyahud awal. Apabila perbuatan ibadah bertambah, maka sesuatu ibadah turut menjadi lebih afdal berdasarkan kaedah:
Ini kerana ganjaran amalan yang dikurniakan oleh Allah bersesuaian dengan kadar kuantiti usaha. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti berikut:
مَا كَانَ أَكْثَرُ فِعْلًا كَانَ أَكْثَرُ فَضْلًا
Maksudnya: “Lebih banyak sesuatu perbuatan, lebih banyak fadilatnya (kelebihan).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, 1/143)
Kaedah ini disadur daripada petunjuk Nabawi berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
أَجْرُكِ عَلَى قَدْرِ نَصَبِكِ
Maksudnya: “Ganjaran (untuk) kamu mengikut kadar usaha kamu.”
Riwayat Muslim (1211)
Begitu juga, yang paling afdal dan lebih utama berbanding kedua-dua cara tersebut adalah mengasingkan setiap dua rakaat dengan satu salam kerana mengikuti sunnah Rasulullah SAW.
Imam al-Baghawi turut menfatwakan: “Apabila seseorang telah sembahyang sebelum Zohor atau sebelum Asar sebanyak empat rakaat maka dia hendaklah mengasingkan antara dua rakaat dengan satu salam. Hal ini kerana berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ali R.A. Beliau berkata, Nabi SAW bersolat sunat sebelum Asar sebanyak empat rakaat. Baginda mengasingkan antara rakaat-rakaat tersebut dengan satu salam (dua rakaat satu salam) kepada para malaikat yang muqarrabin dan orang yang mengikuti mereka dalam kalangan orang-orang Islam dan orang-orang yang beriman.” (Lihat al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 2/226)
Hal ini juga bertepatan dengan sabdaan Rasulullah SAW:
صَلَاةُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ مَثْنَى مَثْنَى
Maksudnya: “Solat sunat yang dilaksanakan pada waktu malam dan siang; sebaiknya dilakukan secara dua rakaat (satu salam), kemudian dua rakaat (satu salam).”
Riwayat Abu Daud (1295), al-Nasa’i (1666) dan al-Tirmizi (597)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan bahawa, bagi mereka yang ingin melaksanakan solat sunat empat rakaat, maka digalakkan mengerjakan satu salam bagi setiap dua rakaat berdasarkan hadith di atas. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/10).
Kesimpulan
Konklusinya, seseorang yang hendak sembahyang sunat empat rakaat boleh memilih sama ada melaksanakan tasyahud awal atau tidak. Jika dia melaksanakan tasyahud awal, maka mestilah ketika berada pada rakaat kedua sepertimana anjuran sunnah. Maka pilihan buat seseorang yang ingin melaksanakan solat sunat empat rakaat di siang mahupun malam hari menurut tertib keutamaan adalah seperti berikut:
- Dua rakaat satu salam, diikuti dua rakaat satu salam (Paling afdal)
- Empat rakaat satu salam beserta tasyahud awal (Kedua afdal)
- Empat rakaat satu salam tanpa tasyahud awal (Dibolehkan)
Semoga Allah SWT mengurniakan kefaqihan dalam agama kepada kita semua. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam.