#6265: Tolak Vaksin Bayi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah saya tolak vaksin rutin untuk bayi? Untuk anak saya yang baru lahir. Saya tak mahu anak saya ambil apa-apa vaksin selepas bincang.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d:

Allah SWT berfirman:

وَلَا تُلۡقُوا۟ بِأَیۡدِیكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِینَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Islam mengarahkan kita agar menghindarkan sebarang kemudaratan, bahaya dan keburukan dalam segenap sudut dan aspek, sama ada yang sekarang mahu pun yang akan datang. Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh ada sebarang kemudaratan dan tidak ada juga perbuatan membalas dengan kemudaratan.”

Riwayat Ibn Majah (2340)

Anjuran Berubat dan Merawat Penyakit

Islam amat menitikberatkan soal berubat dan mendapatkan rawatan. Setiap penyakit pasti ada ubatnya, jika betul ubatnya maka pasti Allah mengizinkan untuk sembuh. Jabir bin  ‘Abdillah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِكُلِّ داءٍ دَواءٌ، فإذا أُصِيبَ دَواءُ الدّاءِ بَرَأَ بإذْنِ اللهِ عزَّ وجلَّ

Maksudnya: “Setiap penyakit pasti ada ubatnya. Apabila betul ubatnya dengan sesuatu penyakit itu, maka sembuhlah dengan izin Allah SWT.”

Riwayat Muslim (2204)

Rasulullah mengarahkan agar mendapatkan rawatan dan ubat bagi setiap penyakit yang menimpa. Setiap penyakit boleh diubati kecuali sakit tua. Usamah bin Syarik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إلَّا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ الْهَرَمِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu berubat (merawat penyakit) kerana sesungguhnya Allah tidak menjadikan suatu penyakit melainkan Dia turut menyediakan ubat baginya, melainkan penyakit penuaan sahaja.”

Riwayat Abu Daud (3855), al-Tirmizi (3038) dan Ibn Majah (3436)

Berubat dan merawat penyakit adalah sunat hukumnya, terutamanya di sisi mazhab al-Syafi‘i. Imam al-Nawawi berkata: “Hadith di atas ini mengisyaratkan kepada kita bahawa merawat penyakit adalah sunat. Inilah mazhab para ashab kita yang bermazhab al-Syafi‘i, begitu juga kebanyakan ulama Salaf dan Khalaf. al-Qadi ‘Iyadh mengatakan: Di dalam hadith ini terdapat beberapa faedah duniawi antaranya: keabsahan autoriti ilmu perubatan, dan keharusan untuk berubat secara mutlak.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/359)

Ternyata para ulama Islam zaman-berzaman membenarkan dan mempercayai ilmu perubatan yang dirintis oleh para doktor dan pakar-pakar perubatan meskipun doktor tersebut bukan Islam.

Percaya Rawatan Doktor Non-Muslim atau Kafir

Sebahagian orang enggan menerima rawatan dan tidak mahu menerima ubat di hospital atau klinik kerana berhujahkan bahawa industri perubatan dan farmasi kini didominasi oleh orang-orang kafir. Mereka enggan mempercayai atau mendapat rawatan daripada orang-orang kafir.

Sedangkan hukum berubat dengan doktor yang kafir dan bukan beragama Islam adalah harus dan dibolehkan. Tiada masalah dalam perkara ini selama mana doktor non-Muslim tersebut merawat dengan kepakaran, ketelitian dan menjamin kemaslahatan pesakit. Ini ditegaskan di dalam fatwa-fatwa ulama besar mazhab al-Syafi‘i.

Imam al-Ramli berkata: “Dibolehkan untuk bergantung dengan rawatan doktor yang kafir (non-Muslim) serta menerima saranan dan syor (kesihatan) daripadanya selama mana tidak mengarahkan untuk meninggalkan ibadat atau lain-lain arahan (buruk) yang semisal dengannya.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/19)

Imam Sulaiman al-Jamal berkata: “Boleh untuk bergantung pada ubat-ubatan yang dicipta oleh orang-orang kafir, begitu juga menerima nasihat kesihatan daripada mereka; selama tidak membawa kepada keburukan dan dosa.” (Lihat Hasyiah al-Jamal atau Futuhat al-Wahhab bi Taudhih Syarh Minhaj al-Tullab, 2/134)

Apatahlagi kini, sudah ramai doktor-doktor dan pakar perubatan yang beragama Islam dan menjalankan tatacara pengubatan dan rawatan berlandaskan syariat Islam dan mematuhi hukum-hakamnya.

Berserah Tidak Menafikan Usaha

Sebahagian orang enggan mendapatkan rawatan dengan hujah berserah da  bergantung semata kepada Allah, redha dan tawakal dengan ketentuan dan takdir-Nya semata.

Ini bertentangan dengan prinsip syariat Islam. Islam mengarahkan kita agar redha dengan ketentuan Allah, dalam masa yang sama Islam juga mengarahkan kita agar berusaha, mengambil asbab untuk melindungi diri, berwaspada dan berhati-hati.

Imam al-Bujairimi berkata selepas menekankan anjuran berubat dan merawat penyakit, kata beliau: “Ketahuilah bahawa termasuk dalam perbuatan redha dengan takdir Allah (serta kebergantungan kepada Allah) jua salah satu amalan untuk menggapai keredhaan-Nya adalah dengan mengambil asbab (sebab-sebab) yang boleh mendatangkan kesembuhan. Seorang yang haus namun tidak berusaha mendapatkan air dan terus menerus membiarkan dirinya dahaga dengan sangkaan bahawa dia sedang redha, tidak dinamakan sebagai seorang yang redha dengan takdir Allah.

Hal ini kerana Allah juga mengarahkan kita untuk menghilangkan dahaga dengan minum air. Allah tidak suruh untuk biarkan sahaja dahaga itu lantas memudaratkan diri. Redha bukanlah meninggalkan usaha dan asbab. Allah berfirman: وَلْيَأْخُذُوا حِذْرَهُمْ – “Dan mereka harus mengambil perisai untuk melindungi mereka dan berwaspada.” (Surah al-Nisa’: 102). Redha yang sebenar adalah tidak mempertikaikan ketentuan Allah, dalam masa yang sama, tidak meninggalkan asbab-asbab untuk melindungi diri.” (Lihat Hasyiah al-Bujairimi  ‘ala al-Khatib atau Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 2/305)

Program Imunisasi Kebangsaan: Inisiatif Kerajaan

Pemberian vaksin kepada anak sejak usia bayi hingga usia 13 tahun ini dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia di bawah inisiatif Program Imunisasi Kebangsaan. Kerajaan sentiasa bertindak demi kemaslahatan dan kebaikan rakyatnya. Kaedah menyatakan:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat adalah terikat dengan maslahah bersama.”

Program Imunisasi Kebangsaan atau National Immunisation Program (NIP) telah diperkenalkan sejak tahun 1950-an lagi dengan objektif utama untuk membendung penularan penyakit cegahan vaksin dan mengurangkan morbiditi dan mortaliti khususnya dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun.

Penyakit-penyakit seperti tuberkulosis, hepatitis B, difteria, tetanus, batuk kokol (pertusis), polio, Haemophilus influenzae B, campak, beguk, rubela, ensefalitis Jepun (JE), pneumokokal dan kanser yang disebabkan oleh human papilloma virus mampu dicegah dengan kewujudan Program Imunisasi Kebangsaan ini. Semua vaksin ini disediakan secara percuma oleh kerajaan kepada semua kanak-kanak di Malaysia sejak lahir sehingga mereka berumur 13 tahun.

Vaksin berfungsi mencegah penyakit sejak awal bahkan sebelum penyakit datang menimpa. Ini adalah salah satu petunjuk Rasulullah SAW berdasarkan sabdaan baginda:

مَنِ اصْطَبَحَ كُلَّ يَوْمٍ تَمَرَاتِ عَجْوَةَ لَمْ يَضُرُّهُ سَمٌّ وَلَا سِحْرٌ ذَلِكَ الْيَوْمَ إِلَى اللَّيْلِ وَقَالَ غَيْرُهُ سَبْعَ تَمَرَاتٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang memulakan paginya setiap hari dengan makan beberapa biji kurma ‘Ajwah, maka dia terhindar daripada sebarang racun mahupun sihir pada hari tersebut hingga waktu malam. Dalam jalur yang lain: 7 biji kurma.”

Riwayat al-Bukhari (5435)

Hadith ini merupakan sandaran bagi mengambil sesuatu makanan sebagai ubat untuk melindungi diri daripada penyakit yang akan datang. Demikian itu merupakan konsep vaksin.

Tambahan pula apabila dia dihasilkan oleh pakar perubatan yang berkemahiran untuk merawat dan mencegah sesebuah penyakit. Apabila kerajaan sudah mengarahkan sesuatu, berdasarkan hasil kajian dan dapatan pakar perubatan yang berkemahiran dan dipercayai tersebut, maka rakyat mesti mentaati arahan itu dan melaksanakannya.

Mentaati arahan ulil amri (pemimpin dan pihak berkuasa) adalah arahan Allah SWT menerusi firman-Nya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا

Maksudnya: “Wahai sekalian orang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah SAW, serta pemimpin dan ahli ilmu dalam kalangan kalian. Jika kalian berselisih pendapat tentang sesuatu perkara, maka serahkanlah perkara tersebut kepada Allah dan Rasulullah SAW jika benar kalian beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu lebih baik dan lebih elok keputusannya.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Konklusi dan Nasihat

Kesimpulannya, tuan/puan tidak boleh untuk enggan memberi vaksin kepada anak sekiranya tuan/puan tidak mempunyai alternatif lain untuk menghindari penyakit-penyakit yang dikhuatiri tersebut. Menghindari anak daripada keburukan adalah kewajiban dan tanggungjawab ibu bapa.

Ketahuilah bahawa kesan buruk tidak mengambil vaksin adalah lebih jelas dan nyata (rajih), berbanding kesan sampingan mengambilnya.

Kesan sampingan buruk vaksin adalah kes-kes bersifat terpencil dan tidak berleluasa, ia berlaku pada sebahagian orang sahaja. Itu pun masih boleh dirawat dengan baik. Kita hanya akan mengambil kira sesuatu yang telah bersifat dominan dan tersebar luas sebagai penghukum. Imam al-Qarafi menegaskan kaedah:

الْحُكْمُ لِلْغَالِبِ الشَّائِعِ وَالنَّادِرُ لَا حُكْمَ لَهَا

Maksudnya: “Yang menjadi penentu hukum adalah sesuatu yang bersifat dominan dan sudah tersebar luas, manakala yang bersifat jarang dan nadir itu tidak diambil kira.” (Lihat al-Furuq, 4/104)

Orang yang tidak tahu akan memusuhi perkara yang dia jahili. Sedangkan, Nabi menegaskan bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Tinggal sahaja, ada yang tidak tahu dan enggan tahu. ‘Abdullah bin Mas‘ud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ لَمْ يُنْزِلْ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ مَعَهُ دَوَاءً جَهِلَهُ مَنْ جَهِلَهُ وَعَلِمَهُ مَنْ عَلِمَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit, melainkan pasti Dia menurunkan penawar (ubat untuk penyakit) itu bersamanya. Yang tidak tahu akan terus tidak tahu. Manakala yang tahu akan tahu (apa ubatnya).”

Riwayat Ibn Majah (3438)

Hukum menolak vaksin apabila diarahkan oleh pihak kerajaan dan jelas vaksin tersebut diperlukan bagi mengelakkan kemudaratan ke atas anak adalah haram. Ia tidak boleh dilakukan. Hal ini kerana, perkara ini berkaitan dengan kemaslahatan dan kebaikan si anak, bukan kemaslahatan ibu bapa. Vaksin harus diambil untuk anak tuan/puan demi kemaslahatan dirinya, seterusnya kemaslahatan seisi keluarga dan seluruh masyarakat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهمَّ إِنِّي أَعُوُذُ بِكَ مِنَ الْبَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَسَيِّءِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan segala penyakit yang teruk.”