Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada persoalan solat. Apakah hukumnya seseorang yang pelat seperti huruf R atau kalimah Ra mengimamkan solat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d:
Firman Allah SWT:
وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا
Maksudnya: Dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.
(Surah al-Muzzammil: 4)
Kriteria Imam: Tidak Boleh Seorang Altagh
Orang yang mengimamkan solat mestilah memahiri bacaan al-Quran. ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَؤُمُّكُمْ أَقْرَؤُكُمْ لِكِتَابِ اللهِ
Maksudnya: “Yang berhak menjadi imam solat dalam kalangan kalian adalah yang paling mahir tentang Kitabullah (al-Qur’an).”
Riwayat Abu Daud (585)
Orang yang pelat menyebut huruf Ra’ (رَ) digelar sebagai orang yang al-Althagh (الْأَلْثَغُ).
Imam al-Ruyani berkata: “Orang yang al-Althagh (الْأَلْثَغُ) ialah orang yang mengubah sebutan sebuah huruf menjadi huruf yang lain; seperti huruf ‘ain (ع) menjadi ghain (غ), huruf lam (ل) menjadi kaf (ك), dan lain-lain. Orang ini berstatus ummiy yang tidak mampu membaca Surah al-Fatihah dengan baik.” (Lihat Bahr al-Mazhab, 2/260)
Orang seperti ini tidak boleh menjadi imam solat kepada masyarakat awam. Dia hanya boleh menjadi imam bagi makmum yang sama pelat dengannya.
Imam al-Mawardi mengatakan: “Imam al-Syafi‘i menfatwakan di dalam salah satu nas beliau:
“Orang yang bersifat al-Arat (الْأَرَتُّ) dan al-Althagh (الْأَلْثَغُ) tidak boleh menjadi imam.”
Kalimat al-Arat bermaksud: tidak mampu menyebut sebuah kalimat/perkataan melainkan dengan menggugurkan sebahagian huruf di dalamnya.
Manakala al-Althagh pula ialah orang yang memalingkan sebutan sesebuah huruf kepada huruf yang lain; seperti menyebut huruf Ra’ (رَ) menjadi huruf Gha (غَ),.. Maka orang yang sama pelat dengannya sahaja yang boleh menjadi makmum dengan orang semisal ini.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/326)
Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Tidak boleh berimamkan orang yang pelat huruf Ra’ (رَ) dan menyebutnya sebagai gha seperti orang yang menyebut: غَيْغِ الْمَغْضُوبِ – ghoighil maghdubi – Orang yang tidak mampu membaca al-Fatihah dengan baik hanya sah menjadi imam untuk makmum yang sama jenis pelat dengannya.” (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh al-Raudh al-Talib, 1/217)
Kesimpulan
Imam yang pelat yang keterlaluan atau digelar ummi tidak boleh menjadi imam solat, melainkan untuk makmum yang turut pelat (ummi) juga. Adapun menjadi imam untuk makmum di masjid dan surau, maka tidak dibolehkan. Adapun imam pelatnya dan kesalahannya ringan dalam menyebut huruf adalah boleh menjadi imam selagi mana tidak mengubah huruf dan maksud kalimah serta ayat al-Quran. Oleh yang demikian, adalah lebih utama memilih orang yang sempurna bacaanya bagi mengimamkan solat.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ ٱجۡعَلۡنِی مُقِیمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّیَّتِیۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَاۤءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku seorang yang mendirikan ibadat solat, begitu juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah permohonan kami.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahu a‘lam.