Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkan berenti solat fardhu atau solat qada fardhu sekiranya anak kecil mahu terkencing di luar tandas.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d:
Dibolehkan untuk membatalkan solat untuk mengurus anak kecil yang ditakuti menyebarkan najis.
Adapun penjelasan yang lebih rinci mengenai hukum membatalkan solat, kami jelaskan seperti berikut:
Allah SWT berfirman:
يَآأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah, dan janganlah kamu membatalkan amalan kalian.”
(Surah Muhammad: 33)
Imam al-Damiri berkata: “Membatalkan apa-apa ibadat, hukum asalnya adalah tidak dibolehkan, berdasarkan ayat ini.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/399)
Perincian Membatalkan Ibadat
Membatalkan perlaksanaan ibadat-ibadat fardu seperti solat, puasa dan lain-lain ibadat dengan sengaja; secara asalnya adalah tidak dibolehkan, bahkan haram dan berdosa.
Kita hanya boleh membatalkan ibadat-ibadat sunat sahaja. Itu pun dianggap makruh di sisi muktamad mazhab al-Syafi‘i dan khilaf aula di sisi Imam al-Rafi‘i, jelas Imam al-Nawawi. (Lihat Majmu ‘ Syarh al-Muhazzab, 6/393)
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Sesiapa yang sedang berpuasa sunat, maka dia boleh membatalkannya menurut kehendaknya. Begitu juga dikiaskan dengan solat (sunat). Adapun firman Allah SWT: وَلَا تُبْطِلُوٓاْ أَعْمَالَكُمْ – “Janganlah kalian membatalkan amalan kalian.” Larangan membatalkan sewenangnya ini berkaitan dengan ibadat-ibadat fardu.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/460)
Membatalkan Solat Apabila Melihat Keburukan
Secara asalnya, kita hanya boleh membatalkan solat apabila ada keuzuran yang dibenarkan. Antara keuzuran yang dibenarkan syarak itu ialah seperti membunuh kala jengking, ular, menyelamatkan diri daripada bahaya atau apa sahaja yang boleh memberikan mudarat kepada diri orang yang sedang menunaikan solat.
Ini berdasarkan kepada hadith Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
اقْتُلُوا الأَسْوَدَيْنِ فِي الصَّلاَةِ الْحَيَّةَ وَالْعَقْرَبَ
Maksudnya: “Bunuhlah dua binatang hitam ketika solat iaitu ular dan kala jengking.”
Riwayat Abu Daud (921)
Begitu juga dibenarkan untuk menyelamatkan orang lain yang sedang berada dalam bahaya dan keburukan yang dahsyat.
Imam al- ‘Izz ibn ‘Abd al-Salam menfatwakan: “Hendaklah didahulukan perbuatan menyelamatkan orang yang lemas diatas perbuatan solat. Ini kerana menyelamatkan orang yang lemas di sisi Allah SWT adalah lebih afdhal daripada menunaikan solat. Dan kedua-duanya boleh dihimpunkan iaitu dengan cara menyelamatkan orang yang lemas terlebih dahulu, kemudian mengqadha solatnya. Seperti yang sedia maklum, jika sekiranya terlepas maslahah untuk menunaikan solat pada waktunya tidak sama daripada mashlahah yang lebih besar iaitu menyelamatkan nyawa manusia daripada kebinasaan.” (Lihat Qawa ‘id al-Ahkam fi Islah al-Anam, 1/96)
Maka sebarang bahaya dan keburukan pada dirinya atau pada orang lain yang di sekitarnya adalah dikira untuk membenarkan seseorang memutuskan atau membatalkan solatnya.
Kesimpulan
Sebagai konklusi, kami cenderung menyatakan membatalkan solat fardu atau solat qada’ kerana anak kecil mahu terkencing di luar tandas adalah dibolehkan.
Ini kerana, jika anak kecil tersebut kencing di luar tandas, maka dia telah menyebarkan najis yang seterusnya akan menyusahkan ibu bapa dan orang ramai. Perkara ini bakal mengundang keburukan yang banyak dan tersebar luas.
Kami menyatakan ini berdasarkan fatwa-fatwa yang sarih (jelas) berkenaannya dalam kalangan ulama mazhab Maliki.
Imam Ibn Yunus al-Siqilli menukilkan bahawa Imam Ibn Habib berkata: “Sekiranya seseorang melihat berlakunya keburukan atau kerosakan yang banyak, maka dia boleh membatalkan solatnya.” (Lihat al-Jami‘ li Masa’il al-Mudawwanah, 2/641)
Begitu juga yang difatwakan oleh Imam Mayyarah dalam kalangan muta’akhkhirin Maliki, beliau menukilkan fatwa Imam Malik: “Termaktub di dalam kitab Imam Suhnun bahawa seorang musafir yang bersolat kemudian ternampak haiwan tunggangannya lari, atau dia takut akan nasib haiwan tunggangannya, atau nasib anak kecil; maka dia boleh menghentikan/membatalkan solatnya.” (Lihat al-Dur al-Thamin wa al-Maurid al-Mu‘in, hlm. 395)
Semoga Allah mengurniakan kefaqihan dalam beragama dan kekuatan untuk melaksanakan amal soleh buat kita semua.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu mudah jika Engkau hendaki.
Riwayat Ibn Hibban (974)