#6269: Bayar Zakat Kepada Bapa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, ayah saya berumur 80 dan tidak sihat. Kini saya jaga dia di rumah saya sendiri. Bolehkah saya bayar zakat pendapatan saya kepada beliau?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d:

Pemberian zakat wajib diberikan kepada asnaf-asnaf yang telah dinyatakan oleh Allah SWT. Allah SWT telah berfirman seperti berikut:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.”

(Surah al-Taubah : 60)

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan wajib memberi zakat harta dan zakat Fitrah kepada lapan golongan asnaf. Dan mereka itu adalah golongan fakir dan miskin, amil zakat, muallaf, hamba, orang yang berhutang, golongan yang berjuang di jalan Allah dan musafir. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/105)

Membayar Zakat Kepada Keluarga Yang Dinafkahi Atas Dasar Fakir–Miskin

Hukum asal adalah tidak boleh memberi zakat kepada ayah atas dasar fakir atau miskin, kerana ayah merupakan ahli keluarga yang diwajibkan ke atas anak untuk menafkahinya apabila anak itu mampu.

Al-Qadhi Abi Syuja‘ menyatakan: “Zakat tidak boleh diberikan kepada pihak yang diwajibkan kita untuk menafkahi mereka, jika zakat itu diberikan atas nama fakir atau miskin.” (Lihat al-Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 18)

Perkara ini berdasarkan fatwa para ulama mutaqaddimin mazhab al-Syafi‘i. Imam al-Mawardi berkata: “Imam al-Syafi‘i memfatwakan bahawa tidak boleh untuk membayar zakat atau kafarah kepada orang-orang yang wajib kita beri nafkah kepada mereka seperti anak, ibu bapa, isteri-isteri.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/303)

Beri Zakat Atas Dasar Selain Fakir Miskin

Namun, dibolehkan untuk memberi zakat kepada bapa sekiranya bapa itu merupakan:

  • Amil zakat
  • Orang yang berperang di jalan Allah
  • Orang yang berhutang
  • Orang yang dalam perjanjian (mukatabin)

Imam al-Nawawi berkata: “Tidak boleh memberi zakat kepada sesiapa yang perlu untuk dinafkahkannya; iaitu dalam kalangan golongan keluarganya (ibu, bapa) dan isteri-isterinya; daripada bahagian zakat orang-orang fakir… Namun, para ashab menyebut, dan diharuskan memberi (zakat) kepada anak dan bapanya daripada bahagian golongan amil zakat, al-mukatabin (golongan dalam perjanjian), golongan yang berhutang dan golong yang berperang apabila memiliki sifat-sifat tersebut.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/229)

Pendapat Lain di dalam Mazhab

Namun, Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan pendapat di dalam mazhab al-Syafi‘i yang mengatakan seorang anak boleh memberi zakat pendapatan kepada bapanya sekiranya itu anak itu juga tidak kaya dan dia tidak diwajibkan untuk menafkahi bapanya, manakala bapanya pula sihat dan berkudrat dan turut fakir.

Ini merupakan pendapat Imam Ibn Yunus al-Mausili dalam kalangan ulama mazhah al-Syafi‘i dan disokong oleh al-Qadhi Ibn Syuhbah. Namun, pendapat ini tidak lekang daripada kritikan. Ia dikritik oleh adik Imam Ibn Yunus sendiri, iaitu Imam Kamaluddin al-Mausili yang merupakan ulama mazhab juga.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 7/161)

Kesimpulan

Kami cenderung menyatakan zakat haruslah dibayar kepada amil zakat yang ditauliahkan oleh pusat pungutan zakat negeri masing-masing.

Adapun pemberian kepada bapa, itu merupakan kewajiban sebagai nafkah yang harus diberikan selaku sesama ahli keluarga dan kerabat atas dasar tanggungan, kasih-sayang dan berbakti kepada orang tua. Pemberian tersebut tidak dikira sebagai zakat.

Kami nasihatkan agar:

  1. Berusaha sehingga mampu menyara dan menafkahi ahli keluarga dengan sempurna terutamanya isteri dan anak-anak
  2. Ketahui susunan prioriti dalam bersedekah. Jika ada lebihan harta, maka salurkanlah kepada ibu bapa, adik-beradik dan keluarga terdekat.
  3. Sentiasa memelihara keikhlasan dan ketulusan hati sepanjang melaksanakan ibadat sedekah, zakat dan infak.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat, amal yang diterima dan rezeki yang diberkati.

Kami akhiri dengan doa meminta rezeki yang tidak disangka-sangka sebagai amalan:

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya saya amat memerlukan kepada segala kebaikan yang Engkau sudi kurniakan.”

Wallahu a‘lam.