#6278: Hijrah Mus’ab bin ‘Umair R.A

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah beliau dan bagaimana cara beliau berhijrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya:Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Surah al-Nahl (125)

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh  hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-Quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menytakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)

 Syeikh Mahmud al-Misri menyebut dalam kitabnya Ashab al-Rasul SAW (2/61):

Mus’ab kali pertama berhijrah ke Habasyah dan kemudian beliau kembali ke Makkah bersama orang-orang yang kembali. Namun tidak lama setelah itu, beliau kembali berhijrah ke Habasyah untuk kali kedua demi menyelamatkan agama dan imannya.

Seterusnya, Nabi SAW mengutus Mus’ab ke Madinah Munawwarah untuk menjadi duta dakwah pertama, iaitu setelah orang-orang Ansar membai’ah Nabi SAW dalam bai’ah pertama. Tugas Mus’ab adalah memberikan pemahaman dan membacakan al-Quran kepada mereka. Mus’ab datang bertemu mereka di rumah-rumah mereka lalu mengajak mereka kepada Islam. Lalu orang ramai masuk Islam dalam jumlah yang besar sehingga Islam pun tersebar di Madinah.

Mus’ab kemudian menulis surat kepada Rasulullah SAW dan meminta izin untuk mendirikan solat Jumaat bersama mereka. Maka Baginda SAW pun mengizinkannya. Mus’ab pun melakukannya di rumah Bani Khaithamah.

Kemudian Mus’ab datang kepada Nabi SAW bersama 70 orang Ansar yang membai’ah Baginda pada peristiwa Bai’ah al-Aqabah kedua. Beliau tinggal di Makkah seketika, kemudian kembali ke Madinah sebelum Rasulullah SAW tiba di sana. Justeru, Mus’ab adalah orang (Muhajirin) pertama yang datang di Madinah.

Daripada Ibn Syihab Rahimahullah, dia berkata: Setelah orang-orang Madinah membai’ah Nabi SAW di ‘Aqabah, mereka pulang kepada kaum mereka. Mereka mengajak kaum mereka kepada Islam secara rahsia dan membaca al-Quran kepada mereka. Mereka kemudian mengutus Mu’az bin Afra’ dan Rafi’ bin Malik kepada Rasulullah SAW, meminta Baginda agar mengirim seorang lelaki untuk menyeru manusia kepada kitab Allah kerana peluang untuk diikuti sangat besar.

Maka Rasulullah SAW mengirim Mus’ab bin ‘Umar kepada mereka. Mus’ab mengajak mereka dengan aman dan Allah memberi hidayah kepada manusia melalui kedua tangannya sehingga tidak ada kampung dari kampung-kampung Ansar kecuali pembesarnya telah masuk Islam. ‘Amr bin al-Jamuh juga masuk Islam. Dia menghancurkan berhalanya sendiri. Dan orang-orang Muslim adalah orang-orang paling mulia di Madinah. Lalu Mus’ab kembali kepada Rasulullah SAW dan dia dikenali dengan julukan al-Muqri.” (Lihat juga Sifat al-Safwah, 1/161)

Akhir Kehidupan Mus’ab bin ‘Umair dan Kematiannya

Semasa Perang Uhud, Mus’ab memegang bendera kaum Muslimin. Ketika tentera Islam berkecamuk dalam kekacauan, Mus’ab tetap berdiri teguh. Pada ketika itu, Ibn Qami’ah menghampirinya dan mencantas tangan kanan Mus’ab sementara dia sedang membaca:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ

Maksudnya: “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh).”

(Surah Ali Imran: 144)

Kemudian, Mus’ab menggenggam panji dengan tangan kirinya. Ibnu Qami’ah mencantas tangan kiri Mus’ab hingga putus. Setelah itu, Mus’ab memeluk panji ke dadanya dengan kedua belah bahunya sambil membacakan:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ

Maksudnya: “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh).”

(Surah Ali Imran: 144)

Kemudian, Ibn Qami’ah menyerang Mus’ab buat kali ketiga dengan tombaknya, yang mana tombak tersebut menembusi tubuh Mus’ab.

Ibnu Sa’d menyatakan, ‘Abdullah bin al-Fadhl berkata, ‘Mus’ab telah gugur dan panjinya dipegang oleh seorang Malaikat yang merupakan seperti Mus’ab. Pada petang hari itu, Nabi bersabda kepadanya, ‘Maju, wahai Mus’ab!’ Lalu Malaikat tersebut menoleh kepada Baginda SAW dan berkata, ‘Aku bukanlah Mus’ab.’ Maka, Nabi pun mengetahui bahawa ia adalah Malaikat yang membantu beliau.’” (Lihat Sifat al-Safwah, 1/162)

Ibn Ishaq menyatakan, “Mus’ab bin ‘Umair berjuang mempertahankan Rasulullah sehingga beliau terkorban. Ibn Qami’ah al-Laithi membunuhnya kerana dia salah sangka bahawa Mus’ab adalah Rasulullah. Lalu, Ibn Qami’ah kembali kepada kaum Quraisy dan berkata, ‘Aku telah membunuh Muhammad.’ Apabila Mus’ab gugur syahid, Rasulullah menyerahkan panji kepada ‘Ali bin Abi Talib dan beberapa orang lelaki dari kalangan umat Islam.” (Lihat al-Sirah oleh Ibn Hisyam, 2/73 dan al-Tabaqat oleh Ibn Sa’d, 3/85)

Daripada ‘Ubaid bin ‘Umair, beliau berkata, “Setelah berakhirnya Perang Uhud, Rasulullah SAW melalui berhampiran jasad Mus’ab yang telah gugur. Kemudian, Baginda membaca firman Allah:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam).”

(Surah al-Ahzab: 23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)

Khabbab bin al-Arat R.A berkata:

هَاجَرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُرِيدُ وَجْهَ اللَّهِ، فَوَقَعَ أَجْرُنَا عَلَى اللَّهِ، فَمِنَّا مَنْ مَضَى لَمْ يَأْخُذْ مِنْ أَجْرِهِ شَيْئًا، مِنْهُمْ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ، قُتِلَ يَوْمَ أُحُدٍ، وَتَرَكَ نَمِرَةً، فَكُنَّا إِذَا غَطَّيْنَا بِهَا رَأْسَهُ بَدَتْ رِجْلاَهُ وَإِذَا غَطَّيْنَا رِجْلَيْهِ بَدَا رَأْسُهُ، فَأَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُغَطِّيَ رَأْسَهُ، وَنَجْعَلَ عَلَى رِجْلَيْهِ، شَيْئًا مِنْ إِذْخِرٍ، وَمِنَّا مَنْ أَيْنَعَتْ لَهُ ثَمَرَتُهُ، فَهُوَ يَهْدِبُهَا»

Maksudnya: “Kami berhijrah bersama Nabi SAW demi mengharapkan redha Allah, maka pahala kami ada di sisi Allah (yakni kami telah mendapat pahala di sisi Allah). Ada di antara kami ada yang telah wafat, dan dia belum mengambil (menikmati) ganjarannya sedikitpun (di dunia ini). Di antara mereka ialah Mus‘ab bin ‘Umair, dia disyahidkan di medan Perang Uhud dan hanya meninggalkan sehelai kain. Apabila kami menutup kepalanya dengan kain itu (untuk mengkafankannya), kedua kakinya akan terbuka. Dan apabila kami menutup kedua kakinya maka kepalanya pula terbuka. Rasulullah SAW memerintahkan kami agar menutup kepalanya dan meletakkan (yakni menutup) pada kakinya dedaunan izkhir. Dan di antara kami, ada juga yang telah memetik buahnya apabila ia sudah ranum, iaitu hasil usahanya (di dunia ini).”

Riwayat al-Bukhari (3897) dan Muslim (940)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”