#6280: Kisah Burung Merpati di Gua Thur

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah benar kisah burung merpati liar membuat sarang di Gua Thur dan bertelur padanya semasa Rasulullah SAW berada di Gua Thur dalam peristiwa Hijrahnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kisah burung merpati ini dinukilkan oleh Imam Ibn Kathir di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah. Beliau menyatakan daripada Anas bin Malik RA:

انْظُرُوا فِي الْغَارِ. فَاسْتَقْدَمَ الْقَوْمَ حَتَّى إِذَا كَانُوا مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْرَ خَمْسِينَ ذِرَاعًا، فَإِذَا الْحَمَامَتَانِ، فَرَجَعَ فَقَالُوا: مَا رَدَّكَ أَنْ تَنْظُرَ فِي الْغَارِ؟ قَالَ: رَأَيْتُ حَمَامَتَيْنِ وَحْشِيَّتَيْنِ بِفَمِ الْغَارِ، فَعَرَفَتْ أَنْ لَيْسَ فِيهِ أَحَدٌ

Maksudnya: “Lihatlah kamu ke dalam gua, maka mereka (kaum musyrikin) mendatanginya sehingga jarak antara mereka dengan gua tersebut adalah sebanyak 50 hasta. Tiba-tiba terdapat dua ekor burung merpati lalu mereka kembali sambil berkata: Apa yang menyebabkan kamu tidak melihat dahulu apa yang ada di dalam gua?. Dia menjawab: Aku telah melihat dua ekor burung merpati di pintu gua, maka daripada situ aku mengetahui bahawa tiada orang di dalamnya.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/453)

Walaupun Imam Ibn Kathir menukilkan kisah ini di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah tetapi beliau mengatakan setelah mendatangkan kisah ini:

وَهَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ جِدًّا مِنْ هَذَا الْوَجْهِ

Maksudnya: “Hadith ini (hadith tentang burung merpati ini) teramat ganjil daripada wajah (riwayat) ini.”

Antara sumber kisah ini yang boleh didapati adalah daripada Mu’jam al-Kabir oleh Imam al-Tabarani:

وَأَمَرَ حَمَامَتَيْنِ وَحْشِيَّتَيْنِ فَوَقَفتَا بِفَمِ الْغَارِ

Maksudnya: “Dan Allah memerintahkan dua ekor burung merpati lalu hinggap di pintu gua.”

 Riwayat al-Tabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (1082)

Selain itu, Imam al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid mengatakan setelah menukilkan hadith berkaitan burung merpati ini:

رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ فِي الْكَبِيرِ وَمُصْعَبٌ الْمَكِّيُّ وَالَّذِي رَوَى عَنْهُ، وَهُوَ عُوَيْنُ بْنُ عَمْرٍو الْقَيْسِيُّ لَمْ أَجِدْ مَنْ تَرْجَمَهُمَا، وَبَقِيَّةُ رِجَالِهِ ثِقَاتٌ

Maksudnya: “Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir. Adapun Mus’ab al-Makki yang meriwayatkan daripada ialah ‘Uwain bin ‘Amr al-Qaisiy, aku tidak ketahui sesiapa yang menceritakan tentang biografinya dan perawi-perawi selain daripadanya adalah thiqah (dipercayai).” (Lihat Majma’ al-Zawaid, 3/231)

وَفِيهِ جَمَاعَةٌ لَمْ أَعْرِفْهُمْ

Maksudnya: “Padanya (riwayat itu) sekumpulan perawi yang tidak aku kenali.” (Lihat Majma’ al-Zawaid, 6/52)

Imam al-Zahabi mengatakan salah seorang perawi di dalam rantaian sanad hadith adalah tidak dikenali iaitu Abu Mus’ab atau namanya ‘Aun atau ‘Uwain bin ‘Amr sebagaimana di dalam kitabnya Mizan al-‘Itidal:

أَبُوْ مُصْعَبٍ لَا يُعْرَفُ

Maksudnya: “Abu Mus’ab (‘Aun atau ‘Uwain bin ‘Amr) tidak dikenali.” (Lihat Mizan al-I’tidal, 3/307)

Setelah melihat beberapa pandangan di atas, kami berpandangan kisah burung merpati ini adalah tidak thabit di dalam peristiwa hijrah Nabi SAW ke Madinah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)