#6283: Berapa Orang Bersama Nabi SAW Semasa Hijrah?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, adakah orang lain selain Abu Bakar yang berhijrah bersama Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ (20) يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُم بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ (21) خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar.”

(Surah al-Taubah: 20-22)

Imam Ibn Jarir al-Tabari menyatakan: Orang yang beriman membenarkan dengan tauhidnya. Berhijrah dan berjihad menentang orang musyrikin pada agama Allah dengan harta benda dan jiwa mereka. Itulah sebesar-besar darjat dan setinggi-tinggi kedudukan berbanding dengan hanya pemberi minum bakal haji, pemakmur Masjid al-Haram dari kalangan musyrikin. (Lihat Tafsir al-Tabari, 11/382)

Dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang kita ketahui, para pembesar Quraisy berhimpun di Dar al-Nadwah untuk merancang bagi membunuh Nabi SAW. Lalu Jibril AS menyampaikan wahyu kepada Baginda daripada Allah SWT dan mengkhabarkan kepadanya berkenaan rancangan Quraisy untuk membunuhnya. Selain itu, Jibril juga menyampaikan kepada Baginda berkenaan keizinan buatnya untuk keluar berhijrah dan menetapkan waktu hijrah dengan menyebutkan, “Janganlah kamu tidur malam ini di atas tempat tidurmu yang biasanya kamu bermalam.”

Pada malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian bersamaan 12 atau 13 September 622 Masihi, Rasulullah SAW meninggalkan rumah Baginda menuju ke rumah Abu Bakar Kemudian mereka keluar dari Makkah dan bersembunyi di Gua Thaur selama tiga malam. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 146-148).

Peristiwa ini jelas disebutkan dalam sebuah riwayat bahawa Ibn Syihab berkata: ‘Urwah menyebutkan bahawa Aisyah R.Anha berkata:

فَبَيْنَمَا نَحْنُ يَوْمًا جُلُوسٌ فِي بَيْتِ أَبِي بَكْرٍ فِي نَحْرِ الظَّهِيرَةِ، قَالَ قَائِلٌ لِأَبِي بَكْرٍ: هَذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَقَنِّعًا، فِي سَاعَةٍ لَمْ يَكُنْ يَأْتِينَا فِيهَا، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: فِدَاءٌ لَهُ أَبِي وَأُمِّي، وَاللَّهِ مَا جَاءَ بِهِ فِي هَذِهِ السَّاعَةِ إِلَّا أَمْرٌ، قَالَتْ: فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَ، فَأُذِنَ لَهُ فَدَخَلَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي بَكْرٍ: «أَخْرِجْ مَنْ عِنْدَكَ». فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: إِنَّمَا هُمْ أَهْلُكَ، بِأَبِي أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «فَإِنِّي قَدْ أُذِنَ لِي فِي الخُرُوجِ» فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: الصَّحَابَةُ بِأَبِي أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «نَعَمْ» قَالَ أَبُو بَكْرٍ: فَخُذْ – بِأَبِي أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ – إِحْدَى رَاحِلَتَيَّ هَاتَيْنِ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «بِالثَّمَنِ». قَالَتْ عَائِشَةُ: فَجَهَّزْنَاهُمَا أَحَثَّ الجِهَازِ، وَصَنَعْنَا لَهُمَا سُفْرَةً فِي جِرَابٍ، فَقَطَعَتْ أَسْمَاءُ بِنْتُ أَبِي بَكْرٍ قِطْعَةً مِنْ نِطَاقِهَا، فَرَبَطَتْ بِهِ عَلَى فَمِ الجِرَابِ، فَبِذَلِكَ سُمِّيَتْ ذَاتَ النِّطَاقَيْنِ قَالَتْ: ثُمَّ لَحِقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْرٍ بِغَارٍ فِي جَبَلِ ثَوْرٍ، فَكَمَنَا فِيهِ ثَلاَثَ لَيَالٍ، يَبِيتُ عِنْدَهُمَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي بَكْرٍ، وَهُوَ غُلاَمٌ شَابٌّ، ثَقِفٌ لَقِنٌ، فَيُدْلِجُ مِنْ عِنْدِهِمَا بِسَحَرٍ، فَيُصْبِحُ مَعَ قُرَيْشٍ بِمَكَّةَ كَبَائِتٍ، فَلاَ يَسْمَعُ أَمْرًا، يُكْتَادَانِ بِهِ إِلَّا وَعَاهُ، حَتَّى يَأْتِيَهُمَا بِخَبَرِ ذَلِكَ حِينَ يَخْتَلِطُ الظَّلاَمُ، وَيَرْعَى عَلَيْهِمَا عَامِرُ بْنُ فُهَيْرَةَ، مَوْلَى أَبِي بَكْرٍ مِنْحَةً مِنْ غَنَمٍ، فَيُرِيحُهَا عَلَيْهِمَا حِينَ تَذْهَبُ سَاعَةٌ مِنَ العِشَاءِ، فَيَبِيتَانِ فِي رِسْلٍ، وَهُوَ لَبَنُ مِنْحَتِهِمَا وَرَضِيفِهِمَا، حَتَّى يَنْعِقَ بِهَا عَامِرُ بْنُ فُهَيْرَةَ بِغَلَسٍ، يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ تِلْكَ اللَّيَالِي الثَّلاَثِ

Maksudnya: Ketika kami sedang duduk di rumah Abu Bakar suatu hari, ketika waktu tengahari, tiba-tiba datang seseorang berkata kepada Abu Bakar: “Ini Rasulullah SAW dalam keadaan menutupi kepalanya” – pada saat yang tidak biasa Baginda datang kepada kami – Abu Bakar berkata: “Bapa dan ibuku sebagai tebusan buatnya, demi Allah, tak ada yang membuatnya datang pada saat seperti ini kecuali ada suatu urusan (penting).” Aisyah berkata: “Rasulullah SAW datang dan meminta izin, lalu diizinkan untuknya, kemudian Baginda pun masuk.” Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar: “Keluarkan siapa yang ada bersamamu.” Abu Bakar berkata: “Mereka adalah keluargamu sahaja, bapaku sebagai tebusan buatmu wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya telah diizinkan kepadaku untuk keluar (berhijrah).” Abu Bakar berkata: “Apakah aku boleh menemanimu? Bapaku sebagai tebusan buatmu wahai Rasulullah.” Rasulullah SAW menjawab: “Ya!” Abu Bakar berkata: “Wahai Rasulullah, ambillah salah seekor daripada kedua unta tunggangan ini.” Rasulullah SAW bersabda: “(Aku akan menerimanya) dengan bayaran.” Aisyah berkata: “Kami pun menyiapkan kelengkapan untuk keduanya dengan cepat. Kami membuat bekalan perjalanan dalam satu bekas kulit untuk mereka berdua. Asma’ binti Abu Bakar memotong ikatan pinggangnya dan digunakan untuk mengikat bekas kulit tersebut. Oleh kerana itu, dia dinamakan “Zat al-Nitaqain”[1] (pemilik dua kain pengikat pinggang).” Aisyah berkata: “Kemudian Rasulullah SAW dan Abu Bakar singgah di sebuah gua di bukit Thaur. Mereka berdua bersembunyi di dalamnya selama tiga hari, dan Abdullah bin Abu Bakar turut bermalam di situ (bersama) keduanya. Dia adalah seorang pemuda belia yang bijak dan cerdas. Dia meninggalkan tempat keduanya saat menjelang fajar. Maka pada pagi harinya dia telah berada bersama kaum Quraisy di Makkah seperti orang yang tinggal (di Makkah – supaya tiada kejanggalan dirasakan mereka). Tidaklah dia mendengar perkara yang membahayakan keduanya melainkan dia mengingatkannya dengan baik sehinggalah disampaikan kepada keduanya mengenai hal itu ketika hari telah gelap. Sementara Amir bin Fuhairah maula Abu Bakar, yang membawa kambing milik Abu Bakar. Dia melepaskan kambing-kambing itu selepas waktu Isya’ agar kedua-duanya dapat bermalam dengan susu segar – ia adalah susu kambing segar (yang diperah pada waktu malam) dan susu yang dipanaskan — sehinggalah Amir bin Fuhairah menghambat (kambing-kambingnya) pada waktu tengah malam. Dia melakukan perkara itu pada setiap malam daripada ketiga-tiga malam tersebut.

Riwayat al-Bukhari (3905)

Selain itu, peristiwa Abu Bakar al-Siddiq menemani Rasulullah SAW di dalam gua Thaur dalam perjalanan hijrah ke Madinah turut dirakamkan dalam al-Quran melalui firman Allah SWT:

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Jika kamu tidak menolong Nabi Muhammad, maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya; iaitu ketika kaum kafir mengusirnya dari Makkah dalam keadaan Baginda ketika itu hanya berdua dan ketika mereka berdua berlindung di dalam gua, Baginda berkata kepada sahabatnya Abu Bakar al-Siddiq RA, ‘Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.’ Maka Allah menurunkan ketenangan kepada Baginda dan menguatkannya dengan bantuan tentera malaikat yang kamu tidak dapat melihatnya. Allah juga menjadikan urusan dan seruan orang kafir itu hina manakala Kalimah Allah itulah yang tertinggi. Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 40)

Ketika menjelaskan lafaz “ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ” dalam ayat di atas, al-Syaukani menyebutkan keduanya ialah Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq RA, manakala gua itu pula merujuk kepada gua yang berada di atas bukit yang bernama Thaur, iaitu bukit yang terletak berdekatan kota Makkah. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh Sulaiman al-Asyqar, hlm. 247).

Seterusnya, Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq teleh mengupah seorang penunjuk jalan yang mahir. Penunjuk jalan itu bernama Abdullah bin Uraiqit. Dia masih lagi dalam agama asalnya Quraisy, tetapi kedua-duanya mempercayainya. Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA telah menyerahkan binatang tunggangan mereka kepada Abdullah dan berjanji dengannya untuk bertemu di pintu gua selepas tiga malam berlalu dengan membawa haiwan tunggangan tersebut. Pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal tahun pertama Hijrah bersamaan 16 September 622 Masihi, Abdullah bin Uraiqit pun tiba di hadapan pintu gua dengan membawa bersama haiwan tunggangan itu. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 150-151).

Perkara ini juga ada diceritakan dalam riwayat yang sama sebagaimana di atas dan di dalamnya dinyatakan bahawa Amir bin Fuhairah turut berangkat bersama-sama dengan Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq:

وَاسْتَأْجَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْرٍ رَجُلًا مِنْ بَنِي الدِّيلِ، وَهُوَ مِنْ بَنِي عَبْدِ بْنِ عَدِيٍّ، هَادِيَا خِرِّيتًا، وَالخِرِّيتُ المَاهِرُ بِالهِدَايَةِ، قَدْ غَمَسَ حِلْفًا فِي آلِ العَاصِ بْنِ وَائِلٍ السَّهْمِيِّ، وَهُوَ عَلَى دِينِ كُفَّارِ قُرَيْشٍ، فَأَمِنَاهُ فَدَفَعَا إِلَيْهِ رَاحِلَتَيْهِمَا، وَوَاعَدَاهُ غَارَ ثَوْرٍ بَعْدَ ثَلاَثِ لَيَالٍ، بِرَاحِلَتَيْهِمَا صُبْحَ ثَلاَثٍ، وَانْطَلَقَ مَعَهُمَا عَامِرُ بْنُ فُهَيْرَةَ، وَالدَّلِيلُ، فَأَخَذَ بِهِمْ طَرِيقَ السَّوَاحِلِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW dan Abu Bakar mengupah seorang lelaki daripada Bani al-Dil, dia adalah suku ‘Abd bin ‘Adi, sebagai penunjuk jalan yang mahir (dan kalimah al-Hirri bermaksud orang yang berpengalaman menunjuk jalan), dan dia merupakan sekutu kepada keluarga al-‘As bin Wa’il al-Sahmi, yang saat itu dia menganut agama kafir Quraisy, tetapi kedua-dua mereka mempercayainya. Mereka berdua menyerahkan unta milik mereka kepadanya dan berjanji (untuk bertemu di) gua Thaur selepas tiga malam, agar dia membawa haiwan keduanya pada subuh hari yang ketiga. Amir bin Fuhairah pun berangkat bersama mereka berdua, bersama penunjuk jalan itu. Lalu dia membawa mereka menyusuri pesisir pantai.”

Riwayat al-Bukhari (3905)

Berbalik kepada soalan di atas, berdasarkan kepada kenyatan di atas, dapat disimpulkan bahawa rombongan hijrah Nabi SAW ke Madinah adalah seramai empat orang iaitu Rasulullah SAW, Abu Bakar al-Siddiq, Amir bin Fuhairah maula Abu Bakar dan Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Nota Hujung:

[1] Beliau digelar “Zat al-Nitaqain” kerana beliau mengoyak dua kain pengikat pinggangnya, salah satunya digunakan untuk mengikat pakaiannya dan salah satunya digunakan untuk mengikat makanan Rasulullah SAW.