#6284: Tempat Persinggahan Nabi SAW Semasa Hijrah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Boleh terangkan kepada kami, di mana tempat Nabi SAW berhenti semasa hijrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ (20) يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُم بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ (21) خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar.”

(Surah al-Taubah: 20-22)

Imam Ibn Jarir al-Tabari menyatakan: Orang yang beriman membenarkan dengan tauhidnya. Berhijrah dan berjihad menentang orang musyrikin pada agama Allah dengan harta benda dan jiwa mereka. Itulah sebesar-besar darjat dan setinggi-tinggi kedudukan berbanding dengan hanya pemberi minum bakal haji, pemakmur Masjid al-Haram dari kalangan musyrikin. (Lihat Tafsir al-Tabari, 11/382)

Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umari dalam al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah (hlm. 217) menyebut:

Ibn Ishaq menerangkan dengan terperinci laluan yang diambil oleh Rasulullah, Abu Bakar dan penunjuk jalan mereka, Abdullah bin Uraiqit. Beliau berkata, ‘Ketika Abdullah bin Uraiqit keluar bersama Rasulullah dan Abu Bakar, mereka mengambil laluan di sepanjang pantai, bergerak ke arah berlawanan dari dataran rendah Usfan (عُسْفَانَ) dan juga melalui dataran rendah di daerah Amaj (أَمَج). Mereka bertiga melalui tempat tersebut, lalu melintasi daerah Al-Kharrar (الْخَرَّارَ), Thaniyyatul Marah (ثَنِيَّة الْمَرَةِ) dan Laqf (لَقْف), hingga melewati daerah Mudlajah Laqf (مُدْلَجَةَ لَقْفٍ). Kemudian mereka berhenti seketika di Mudlajah Mijaj (مُدْلَجَةَ مِجَاجٍ) sebelum meneruskan perjalanan mereka melalui Marjih Mijaj (مَرْجِحَ مِجَاجٍ). Mereka kemudian berhenti di Dzul Ghadawain (ذو الْغَضَوَيْنِ), diikuti oleh Dzu Kasyr (ذو كَشْرٍ), dan seterusnya ke daerah Dzu Salam (ذو سَلَمٍ) yang terletak di Madlajah Ti’hin (مَدْلَجَةِ تِعْهِنَ) dan al-‘Ababid (الْعَبَابِيدِ), sebelum akhirnya sampai di daerah Al-Qahah (الْقَاحَةَ).’”


https://watanimg.elwatannews.com/image_archive/original_lower_quality/18399150261659192135.jpg

Ibn Hisyam menyatakan, “Kemudian, mereka bertiga berhenti seketika di Al-Arj (الْعَرْجَ). Beberapa orang yang bersama mereka bergerak dengan lambat, sehingga seorang lelaki dari Bani Aslam bernama Aus bin Hujr (أَوْسُ بْنُ حُجْرٍ) membawa Rasulullah naik ke atas untanya yang bernama Ibn al-Rida’ menuju Madinah. Dia juga menghantar seorang pemuda bernama Mas’ud bin Hunaidah untuk menemani Rasulullah. Setelah itu, penunjuk jalan, Rasulullah dan Abu Bakar meninggalkan al-Arj bersama-sama mereka, melalui kawasan Thaniyyatu al-’A’ir (ثَنِيَّة الْعَائِرِ) yang terletak di sebelah kanan kawasan Rakubah (رَكُوبَةَ), sehingga mereka tiba dan berehat di kawasan Rim (رِيم). Mereka tiba di Quba, sebuah perkampungan milik Bani ‘Amr bin ‘Auf pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awal, di bawah sinaran matahari yang terik, ketika matahari hampir mencapai puncaknya.” (Lihat juga al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/491; al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/471)

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (3/8) dengan sanad yang baik, kerana Ibn Ishaq meriwayatkan dalam konteks ‘Haddathana’. Al-Hakim menyatakan: ‘Ini adalah hadis sahih yang memenuhi syarat Imam Muslim walaupun beliau tidak meriwayatkannya.’ Ibn Hajar mensahihkan hadis ini dan dia menyebutkan tentang dua sanad lain yang serupa dengan hadis tersebut (Lihat Fath al-Bari, 7/238. Lihat juga Sirah Ibn Hisyam, 1/491-492 tanpa sanad. Dalam Sahih Muslim (4/2311), disebutkan bahawa kedatangan Rasulullah dan Abu Bakar berlaku pada waktu malam. Kedua-dua riwayat ini boleh dihimpunkan dengan menyatakan bahawa Rasulullah tiba pada waktu siang dan memasuki kota Madinah pada waktu malam. (Lihat Fath al-Bari, 7/244;  al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah, hlm. 217)


https://i.pinimg.com/564x/c9/a3/d6/c9a3d62064af8ba53b39ba126063a0f4.jpg

Secara ringkasnya, laluan hijrah Nabi SAW dan persinggahannya adalah seperti berikut:

  • Pada malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, Rasulullah SAW bergerak keluar daripada rumahnya, menuju ke rumah Abu Bakar al-Siddiq dan berjalan keluar dari kota Makkah menuju ke kota Madinah. Selepas berjalan beberapa lama, mereka sampai ke gua Thaur dan bermalam di sini selama 3 malam.
  • Kemudian, Baginda Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA meneruskan perjalanan melalui Hudaibiyah, kota Asfan dan Khulais. Beliau berhenti seketika di perkampungan Ummu Ma’bad dan sempat meminum susu kambing di sana dan meneruskan lagi perjalanan ke al-Juhfah sebelum meneruskan perjalanan mereka
  • Pada 8 Rabi’ul Awwal bersamaan 23 September 622 M, Rasulullah SAW tiba di Quba’. Di sinilah masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW dan juga masjid pertama yang dibina di dalam sejarah Islam dan ia dinamakan sebagai Masjid Quba.
  • 4 hari kemudian, pada 12 Rabi’ul Awwal bersamaan 27 September 622 M, Rasulullah SAW tiba di kota Madinah al-Munawwarah dan Rasulullah SAW disambut oleh penduduk Madinah dengan penuh kegembiraan dan keyukuran.

Gambar rajah perjalanan hijrah Rasulullah SAW ada terdapat di dalam buku kami Garis Hayat al-Rasul SAW (hlm. 73).

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”