#6285: Uthman bin Talhah R.A

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, siapakah sahabat Nabi SAW yang bernama Uthman bin Talhah, yang berasal dari kota suci Makkah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

(Surah al-Nisa’: 58)

Menurut Imam al-Baghawi: “Ayat ini (‘إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا’) diturunkan berkenaan dengan peristiwa Uthman bin Talhah dari Bani Abd al-Dar. Dia ialah penjaga kunci pintu Kaabah. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 2/238)

Al-Zahabi menyebut: Beliau ialah Uthman bin Talhah bin Abu Talhah Abdullah bin ‘Abd al-‘Uzza bin Uthman bin ‘Abd al-Dar bin Qusai bin Kilab al-Qurasyi al-‘Abdari al-Hajabi. Beliau ialah penjaga al-Bait al-Haram (Kaabah) dan termasuk salah seorang Muhajirin. Beliau telah berhijrah ke Madinah bersama Khalid bin al-Walid dan ‘Amr bin al-As. Terdapat lima riwayat hadith daripada jalurnya, dan salah satunya terdapat dalam sahih Muslim. Manakala mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya pula ialah Ibn Umar, ‘Urwah bin al-Zubair dan anak saudaranya, Syaibah bin Uthman al-Hajib. Selain itu, Nabi SAW juga telah menyerahkan kunci Kaabah kepadanya pada hari pembukaan kota Makkah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/10-12).

Dalam riwayat Ibn Saad dalam al-Tabaqat menyebut, ketika Rasulullah SAW menyerahkan kunci itu kepada Uthman, Rasulullah SAW bersabda, “Ambillah kunci ini buat selama-lamanya. Tidak ada yang boleh merampas kunci ini daripadamu, hai Uthman, melainkan orang yang zalim. Sesungguhnya Allah telah mengamanahkan kepadamu untuk menjaga rumah-Nya. Oleh itu makanlah hasil yang diperolehi daripada rumah ini dengan cara yang baik.” (Lihat Sirah Nabawiyyah al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 701)

Sifat ‘Iffah Uthman bin Talhah dan Kisahnya Membantu Ummu Salamah R.Anha

Ummu Salamah berkata: “Ketika Abu Salamah memutuskan untuk berhijrah ke Madinah, dia menyediakan seekor unta untukku. Dia membawaku bersama anakku, Salamah bin Abi Salamah, yang berada dalam dakapanku. Kemudian, kami berangkat dengan menunggang unta tersebut. Ketika para pemimpin dari Bani Mughirah bin Abdullah bin Amr bin Makhzum melihat Abu Salamah hendak berangkat, mereka bangkit dan mendekati Abu Salamah. Mereka berkata, ‘Kamu telah mencetuskan kekacauan di kalangan kami. Kami tidak akan membiarkanmu membawa isterimu (anggota keluarga kami) meninggalkan negeri ini’.”

Ummu Salamah berkata: “Mereka kemudian melepaskan tali kekang unta dan menurunkan kami daripada unta tersebut. Oleh itu, keluarga besar Abu Salamah (kabilah Abd al-Asad) menjadi sangat marah.”

Pemimpin Bani Asad berkata: “Demi Allah! Kami tidak akan membenarkan anak kami berada dalam pelukan Bani Mughirah, walaupun kamu semua mengambil wanita tersebut (Ummu Salamah) dari saudara kami (Abu Salamah).”

Ummu Salamah berkata: “Pertikaian dan perebutan telah berlaku antara Bani ‘Abd al-Asad dan Bani Mughirah, sehingga akhirnya Salamah terpisah daripada Bani Mughirah. Bani ‘Abd Al-Asad kemudian membawa anakku pergi meninggalkanku, sementara Bani Mughirah menahanku. Walaupun begitu, suamiku tetap berangkat menuju ke Madinah.”

Ummu Salamah berkata: “Aku pun terpisah dari suami dan anakku. Setiap pagi, saya pergi ke Abtah dan duduk menangis di sana hingga petang. Aku melakukan hal ini selama hampir setahun. Pada suatu hari, salah seorang dari bapa saudaraku (dari Bani Mughirah) melalui tempatku dan melihat apa yang aku lakukan. Akhirnya, belas kasihan muncul dalam dirinya terhadapku. Kemudian, dia menghadap para pemimpin Bani Mughirah dan berkata: “Mengapa kamu semua tidak memberi keizinan kepada wanita malang ini dan memisahkannya dari suami dan anaknya?” Mereka menjawab: “Pergilah dan temui suamimu jika itu yang kau inginkan.”

Kemudian, Bani al-Asad menyerahkan Salamah kepadaku. Aku pun berangkat bersama Salamah untuk menemui suamiku, sendirian tanpa ada orang yang mengiringi. Adakah mungkin aku akan sampai di Madinah untuk bertemu dengan suamiku? Setibanya di Tan’im, aku bertemu dengan Uthman bin Talhah bin Abi Talhah, seorang saudara dari Bani ‘Abd al-Daar. Dia bertanya, ‘Ke mana tujuanmu, wahai puteri Abi Umayyah?’”

Ummu Salamah menjawab: “Aku ingin bertemu dengan suamiku di Madinah.” Dia bertanya sekali lagi: “Adakah ada orang yang menemanimu?” Ummu Salamah menjawab: “Demi Allah, tidak ada. Aku hanya bersama anakku dan Allah.” Dia bertanya: “Demi Allah, bagaimana engkau sampai tertinggal?”

Kemudian, dia mengambil tali kekang unta dan berangkat bersamaku dengan tujuan menjagaku. Demi Tuhan, aku belum pernah melihat seorang lelaki Arab semulia dia. Apabila sampai di tempat berehat, dia merebahkan unta itu dan menjauh daripadaku sehingga aku turun dari unta tersebut. Dia kemudian mengambil unta itu, menjauhkannya daripadaku dan mengikatnya di sebatang pokok. Selepas itu, dia mencari pokok lain dan berteduh di bawahnya.

Apabila tiba masanya untuk berangkat, dia mendekatkan unta itu kepadaku dan kemudian menjauh, seraya berkata, ‘Naiklah!’ Setelah aku berada di atas punggung unta dan duduk dengan tenang, dia datang dan memegang tali kekang unta itu. Dia terus melakukan hal itu hingga kami tiba di Madinah. Ketika dia melihat sebuah kampung berhampiran Quba’ – tempat Abu Salamah tinggal – dia berkata, ‘Suamimu berada di kampung ini, masuklah dengan berkat Allah!’”

Kemudian, dia pun kembali ke Makkah. Demi Allah! Sejauh pengetahuanku, tidak ada keluarga Muslim yang menerima seksaan lebih berat daripada apa yang dialami oleh keluarga Abu Salamah. Dan, tidak ada teman perjalanan yang lebih mulia daripada Uthman bin Talhah.”

Lihat Sirah Ibn Hisyam, 1/469-470 daripada riwayat Ibn Ishaq dengan sanad yang sesuai untuk dii’tibar padanya (بإسناد صالح للاعتبار فيه). Walaupun dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang maqbul dan meriwayatkan secara infirad bernama Salamah bin Abdullah bin Umar Ibn Abi Salamah, dan hanya Ibn Hibban yang menganggap bahawa Salamah adalah perawi yang kuat. Lihat al-Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari, 4/80; al-Jarh wa al-Ta’dil oleh Ibn Abi Hatim. 4/166; al-Thiqat oleh Ibn Hibban, 4/149, al-Thiqat, 6/399; Tahzib al-Tahzib, 248 dan Taqrib al-Tahzib, hlm. 248. Walaupun begitu, riwayat ini hanya merupakan catatan sejarah yang tidak berhubungan dengan masalah aqidah atau syari’ah, oleh itu ia boleh digunakan sebagai sumber. (Lihat  al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah, hlm. 204)

Kewafatan Uthman bin Talhah R.A

Menurut al-Haitham dan al-Mada’ini, Uthman bin Talhah meninggal dunia pada tahun 41 Hijrah. Manakala Khalifah pula berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 42 Hijrah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/10-12).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”