#6288: Membisikkan dalam Hati untuk Bercerai

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika seseorang berkata dalam hatinya bahawa dia bercerai dengan isterinya, adakah jatuh talak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan frman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya  “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Syeikh al-Maraghi menyatakan dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak, maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169).

Dalam menjawab soalan ini, terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku akan apa yang dibisikkan oleh hatinya,[1]  selagi dia tidak melaksanakan atau mengucapkannya.”

Riwayat al-Bukhari (5269)

Kemudian, Imam al-Bukhari selepas menyebutkan hadith di atas, beliau menukilkan bahawa Qatadah berkata:

إِذَا طَلَّقَ فِي نَفْسِهِ فَلَيْسَ بِشَيْءٍ

Maksudnya: “Jika dia membisikkan talak dalam hatinya, maka ia tiada kesannya.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 5/2020).

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, ‘Abd al-Razzaq menyatakan sanadnya bersambung daripada Ma‘mar, daripada Qatadah dan al-Hasan, keduanya berkata: “Sesiapa yang menceraikan (isterinya) secara rahsia/sembunyi dalam hatinya, maka talaknya itu tidak ada apa-apa.” Ini adalah pendapat jumhur ulama. Akan tetapi pendapat ini telah diperselisihi oleh Ibn Sirin dan Ibn Syihab, di mana mereka berpendapat bahawa talaknya jatuh, dan ini juga merupakan satu riwayat daripada Malik. (Lihat Fath al-Bari, 9/394).

Bahkan Imam al-Qurtubi menyebutkan:

وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهْلِ العِلْمِ إِنْ رجل إِذَا حَدَّثَ نَفْسَهُ بِالطَّلَاقِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا حَتَّى يَتَكَلَّمَ بِهِ

Maksudnya: “Dan hadith/amalan ini dipegang oleh ahli ilmu bahawa jika seseorang lelaki membisikkan di dalam hatinya tentang talak, ia tidak dianggap apa-apa sehinggalah dia mengungkapkannya.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 8/211).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa talak tidak jatuh dengan sekadar niat atau lintasan hati. Hal yang demikian kerana lafaz talak itu sendiri tidak diungkapkan sama ada dalam bentuk sarih (jelas) atau kinayah (kiasan) kepada isterinya, maka talak itu sendiri dianggap tidak berlaku.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Nota Hujung:

[1] Apa yang dikatakan oleh hati mereka, yakni berniat.