#6291: Mendapat Keizinan Suami Sebelum Bekerja

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya,  apakah hukum isteri bekerja jauh dari suami (pjj) dan tanpa kebenaran suami. Sedangkan isteri bekerja untuk membantu kewangan suami. Mohon pendapat Dr.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan  sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW pernah bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurthubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, sabda Nabi SAW:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”

Riwayat Abu Daud (1664)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah R.A, Nabi SAW menyebut:

مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ ، إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ ، وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ ، وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ ، وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

Maksudnya: “Seseorang lelaki yang beriman itu tidak akan mendapat manfaat dan faedah – selepas takwanya kepada Allah SWT – lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, dia taat, jika suaminya melihat kepadanya, dia menyenangkannya. Jika bersumpah, nescaya dia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan oleh suaminya, dia menjaga diri dan menjaga hartanya.”

Riwayat Ibn Majah (1857)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa adalah menjadi kewajipan ke atas seorang isteri untuk mentaati suami pada setiap perkara yang makruf. Hukum wajib ini boleh difahami melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرَتْ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

Maksudnya: “Seandainya aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang wanita untuk sujud kepada suaminya.”

Riwayat al-Tirmizi (1159)

Ibn ‘Allan al-Makki ketika mengulas hadith di atas menyebutkan bahawa, perintah untuk sujud itu sebagai bentuk penghormatan dan menunaikan hak suami tersebut – yakni bukanlah sujud itu kerana menyembah suami -. (Lihat Dalil al-Falihin, 3/113)

Dalam isu ini, isteri seharusnya memohon keizinan terlebih dahulu daripada suami untuk bekerja. Malah,  keluar daripada rumah sekalipun isteri wajib meminta izin daripadanya. Kewajiapan ini diistinbat berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُمْ بِاللَّيْلِ إِلَى الْمَسْجِدِ فَأْذَنُوا لَهُنَّ

Maksudnya: “Jika isteri-isteri kalian meminta izin pada waktu malam untuk ke masjid (bagi menunaikan solat Isyak), maka berilah keizinan pada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (865) dan Muslim (442)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan kalam Imam al-Nawawi, katanya bahawa hadith di atas digunakan untuk berhujjah bahawa para isteri tidak boleh keluar daripada rumah melainkan dengan izin suami. (Lihat Fath al-Bari, 2/348)

Justeru, dalam isu ini, kami mencadangkan agar saudari berbincang dengan suami dan menjelaskan niat saudari untuk bekerja. Semoga suami memberikan persetujuan kepada saudari untuk bekerja dalam usaha untuk mengurangkan beban suami. Sebelum membuat keputusan apa pun, perlu diambil kira hak-hak suami yang perlu dipenuhi. Namun, sebagai seorang isteri, saudari perlu menghormati dan mematuhi sebarang keputusan suami selama ia tidak bertentangan dengan syarak.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita mengingati sebuah hadis Rasulullah SAW:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيْلَ لَهَا أُدْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: “Jika wanita mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, mentaati suaminya, maka dikatakan kepadanya (pada hari Kiamat): ‘Masuklah ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang kamu mahu.”

Riwayat Ahmad (1664), Ibn Hibban (1296) dan al-Bazzar (7480). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan hadis ini sahih dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (4163)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.