#6294: Perempuan Musyrik atau Ahli Kitab Masuk Islam, Sedangnya Suaminya Belum Lagi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan kepada kami, jika seseorang perempuan musyrik atau ahli kitab memeluk Islam dalam keadaan dia masih lagi isteri kepada kafir zimmi atau harbi kerana suaminya masih lagi tidak memeluk Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَا هُنَّ حِلٌّ لَّهُمْ وَلَا هُمْ يَحِلُّونَ لَهُنَّ

Maksudnya: “Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami).

(Surah al-Mumtahanah: 10)

Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar ketika menafsirkan ayat ini menyatakan, wanita beriman tidak halal bagi lelaki kafir, dan keislaman wanita itu mewajibkannya berpisah daripada suaminya (yang bukan beragama Islam), bukan semata-mata kerana dia berhijrah. (Lihat Zubdah al-Tafsir min Fath al-Qadir, hlm. 736).

Dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya ada menyatakan, “بَابُ إِذَا أَسْلَمَتِ المُشْرِكَةُ أَوِ النَّصْرَانِيَّةُ تَحْتَ الذِّمِّيِّ أَوِ الحَرْبِيِّ” (Bab: Sekiranya Perempuan Musyrik Atau Nasrani Memeluk Islam Dalam Keadaan Dia Isteri Kepada Kafir Zimmi Atau Harbi).

Kemudian, Imam al-Bukhari menjelaskannya di bawah bab berkenaan dengan membawakan sejumlah pendapat dalam kalangan para ulama. Di antaranya, beliau menyatakan, ‘Abd al-Warith berkata, daripada Khalid, daripada ‘Ikrimah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

إِذَا أَسْلَمَتِ النَّصْرَانِيَّةُ قَبْلَ زَوْجِهَا بِسَاعَةٍ حَرُمَتْ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sekiranya seorang perempuan Nasrani memeluk Islam beberapa ketika sebelum suaminya (memeluk Islam), maka dia haram bagi suaminya.”

Begitu juga Daud berkata, daripada Ibrahim al-Sa’igh, ‘Ata’ ditanya mengenai wanita mu‘ahid yang memeluk Islam, kemudian suaminya memeluk Islam ketika si isteri sedang dalam tempoh ‘iddahnya: “Adakah dia dikira isteri kepada lelaki itu?” Dia berkata: “Tidak, kecuali jika perempuan itu mahu dan dinikahi semula dengan pernikahan dan mahar yang baru.”

Namun, Mujahid berpendapat, apabila suaminya memeluk Islam ketika perempuan tersebut dalam tempoh ‘iddahnya, dia boleh mengahwininya. Selain itu, turut disebutkan pendapat al-Hasan dan Qatadah, yang menyatakan berkenaan dua orang Majusi yang memeluk Islam: “Kedua-duanya tetap kekal dalam perkahwinan mereka. Apabila salah seorang daripada mereka berdua memeluk Islam dan satunya lagi enggan, maka mereka dipisahkan dan tidak ada jalan bagi si suami untuk bersama isterinya.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 5/2025).

Selain daripada itu, berkenaan hal ini juga, Imam Malik ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa menurut kami, jika seorang wanita memeluk Islam, sedangkan suaminya masih lagi kafir, kemudian barulah suaminya ikut masuk Islam, maka dia lebih berhak terhadapnya selama mana isterinya masih dalam ‘iddahnya. Namun, jika ‘iddahnya telah berakhir, maka tidak ada jalan lagi bagi suaminya (untuk kembali kepada) isterinya (melainkan dengan akad yang baharu). (Lihat al-Muwatta’, 2/583).

Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, jika salah seorang daripada pasangan masuk Islam dan seorang lagi tidak memeluk Islam sehinggalah tamat tempoh ‘iddah wanita tersebut, maka perkahwinan itu terbatal mengikut pandangan kebanyakan ulama. (Lihat al-Mughni, 10/10).

Selain itu, Ibn Qudamah menukilkan dalam kitabnya, bahawa diriwayatkan daripada Ibn Syubrumah, beliau menyatakan bahawa pada zaman Rasulullah SAW, suami yang memeluk Islam daripada isteri atau isteri yang memeluk Islam sebelum daripada suami, dan sebelum habis iddah, suami pula memeluk Islam, maka isteri tersebut terus kekal sebagai isteri kepada suaminya. Akan tetapi jika suami memeluk Islam selepas habis iddah, perkahwinan mereka terbubar dan berhenti setakat itu sahaja.” (Lihat al-Mughni, 6/616).

Menurut Ibn Syihab lagi: “Tidak ada berita yang sampai kepada kami, yang perempuan yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, tetapi suaminya tidak memeluk Islam dan terus menetap di negara kafir melainkan hijrah yang dilakukan oleh perempuan itu memisahkannya dengan suaminya, kecuali suaminya berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya sebelum isterinya habis ‘iddah.” (Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, 9/53).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa apabila seseorang perempuan musyrik atau kafir memeluk agama Islam, sedangkan suaminya masih lagi dalam keadaan kafir, maka perlu diberi tempoh tertentu iaitu sehingga habis tempoh ‘iddahnya. Sekalipun begitu, kami tidak menafikan di sana terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama’ berkenaan tempoh ini. Setelah berlalunya tempoh tersebut, maka hendaklah dipisahkan dan terbubarlah perkahwinan itu. Setelah itu, jika bekas suami masuk Islam dan perempuan itu mahu, maka boleh dinikahi semula dengan pernikahan dan mahar yang baru.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya:Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”