#6295: Melaksanakan Umrah di Bulan Ramadhan Menggugurkan Ibadah Haji?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ibadah Umrah dalam Ramadhan sama dengan pahala haji bersama Rasulullah SAW. Adakah ini bermakna jika saya nak pahala haji sebab rasa haji saya dah tercemar, saya boleh pergi umrah dalam bulan Ramadhan saja?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Ibnu Abbas RA, katanya, “Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita daripada kalangan Anhar. “Apakah yang menghalangmu untuk melakukan haji bersama kami?” Dia berkata, “Kami hanya punya dua ekor unta, satunya dibawa oleh bapa dan anaknya, dan yang satu lagi kami gunakan untuk menyiram kebun.” Maka Nabi SAW berkata:

فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي ، فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً ( وَفِي رِوَايَةٍ لِمُسْلِمٍ : حَجَّةَ مَعِي)

Maksudnya: “Jika datang bulan Ramadhan, lakukanlah umrah, kerana pahala umrah itu sama dengan pahala mengerjakan haji.” Dalam riwayat muslim, “Sama dengan pahala menunaikan haji bersamaku.”

Riwayat Imam al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256)

Kesamaan yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah antara pahala umrah di bulan Ramadhan dan pahala haji adalah daripada ukuran pahala, bukan daripada jenis dan kualiti, kerana haji tidak diragukan lagi, lebih mulia daripada umrah daripada sisi jenis amal. Begitu juga, kefardhuan haji tetap berlaku sekalipun seseorang telah melaksanakan umrah di bulan Ramadhan. Kerana haji termasuk dalam rukun Islam yang difardhukan sekali seumur hidup ke atas orang Islam apabila cukup syarat-syaratnya dan istita’ah.

Siapa yang umrah di bulan Ramadhan, maka dia akan meraih senilai pahala ibadah haji, hanya saja perbuatan ibadah haji memiliki keutamaan, keistimewaan dan kedudukan yang tidak terdapat dalam umrah, berupa doa di Arafah, melontar jumrah, menyembelih kurban dan lainnya. Keduanya, meskipun sama kadar pahalanya daripada kualitinya, maksudnya, jumlahnya, akan tetapi tidak sama daripada sisi kualitinya.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seseorang yang melaksanakan umrah ketika bulan Ramadhan, nilaian pahalanya seumpama melaksanakan haji bersama Rasulullah. Namun, perlu difahami ia tidaklah bermakna ia menggugurkan kewajipan haji bagi mereka yang mampu.

Semoga badal umrah yang dilakukan di bulan Ramadhan akan memperolehi pahala haji. Amin. Mengambil kesempatan di musim haji ini, marilah sama-sama kita doakan:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.