#6302: Kedudukan Isyarat Talak Orang Bisu dan Pekak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimana kedudukan isyarat orang bisu seperti talak, adakah ia jatuh? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ ۖ قَالُوا كَيْفَ نُكَلِّمُ مَن كَانَ فِي الْمَهْدِ صَبِيًّا

Maksudnya: “Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): ‘Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?’

(Surah Maryam: 29)

Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar ketika menafsirkan lafaz “فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ” menyatakan bahawa maknanya adalah merujuk kepada Isa. Maryam cukup atau berpada dengan menunjuk kepada Isa tanpa menyuruhnya untuk berbicara kerana Maryam telah bernazar kepada Allah SWT untuk berpuasa daripada berbicara. (Lihat Zubdah al-Tafsir min Fath al-Qadir, hlm. 399).

Selain daripada itu, Imam al-Bukhari dalam sahihnya ada menukilkan kenyataan al-Dhahhak yang menyebutkan, lafaz “إِلَّا رَمْزًا” (dalam Surah Ali ‘Imran ayat 41) maksudnya ialah isyarat. Selain itu, sebahagian ulama berpendapat, tidak ada hukuman hudud dan tidak juga li‘an. Kemudian dia mendakwa: “Sekiranya mereka mentalakkan melalui tulisan atau isyarat dengan tangan atau isyarat dengan kepala, maka hukumnya adalah harus, dan tidak ada perbezaan antara talak dengan qazaf (menuduh orang lain berbuat zina).” Jika dia berkata: “Qazaf (tuduhan berzina) tidak terjadi melainkan dengan perkataan.” Dijawab kepadanya: “Demikian juga dengan talak, tidak terjadi kecuali dengan perkataan, jika tidak, maka talak dan qazaf tidak sah.” Demikianlah juga dengan pembebasan hamba dan begitu juga dengan orang pekak melakukan li‘an. Al-Sya‘bi dan Qatadah pula berkata: Apabila seseorang berkata: “Engkau ditalak,” lalu dia mengisyaratkan dengan jarinya, maka si isteri dipisahkan daripadanya dengan sebab isyaratnya. Dan Ibrahim berkata: “Orang bisu jika menulis talak dengan tangannya, maka terjadi baginya talak itu.” Dan Hammad berkata: “Orang bisu dan pekak jika mengisyaratkan dengan kepalanya, maka hukumnya adalah sah.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 5/2030).

Selain itu, di sana terdapat kaedah yang menyebutkan:

الْكِتَابَةُ تَقُومُ مَقَامَ قَوْل الْكَاتِبِ

Maksudnya: “Tulisan itu memiliki kedudukan yang sama dengan ucapan penulisnya.” (Lihat al-Qawa‘id wa al-Fawa’id al-Usuliyyah, hlm. 224; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 12/216; al-Mughni, 10/503).

Begitu juga terdapat kaedah lain yang menyebutkan:

الإِشَارَةُ المعْهُوْدَةُ لِلْأَخْرَسِ كَالْبَيَانِ بِاللِّسَانِ

Maksudnya: “Isyarat yang diketahui bagi orang bisu adalah sama sepertimana penjelasan melalui lisan.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 31; al-Asybah oleh Ibn Nujaim, hlm. 343 dan al-Wajiz, hlm. 244)

Bahkan Syeikh Ahmad al-Zarqa’ menjelaskan, isyarat yang diketahui sebagaimana kebiasaannya bagi orang bisu dengan mana-mana anggotanya seperti tangannya atau kepalanya adalah diambilkira sebagaimana percakapan atau penjelasan melalui lisan. (Lihat Syarh al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 351)

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa isyarat talak daripada orang bisu dan pekak yang dapat difahami adalah dikira sah dan jatuh kerana isyarat yang diketahui bagi orang bisu adalah sama sepertimana penjelasan melalui lisan.

Dalam masa yang sama, saya turut mengesyorkan dalam isu ini hendaklah merujuk kepada badan berautoriti Mahkamah Syariah di negeri masing-masing.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”