#6304: Kebaikan bagi Kabilah Ansar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah setiap kabilah ansar mempunyai kebaikan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ‎

Maksudnya: ”Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah: 100)

Lafaz “وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ” bermaksud mereka yang meneladani orang-orang yang pertama-tama memeluk Islam daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka ialah generasi setelah para sahabat dan generasi setelahnya lagi sehinggalah hari kiamat, jika meneladani mereka dengan baik dalam perbuatan dan ucapan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 259)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, pada setiap kabilah ansar mempunyai kebaikan. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Yahya bin Sa‘id al-Ansari bahawa dia mendengar Anas bin Malik R.A berkata: Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِ دُورِ الأَنْصَارِ؟ قَالُوا: بَلَى، يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: بَنُو النَّجَّارِ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ بَنُو عَبْدِ الأَشْهَلِ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ بَنُو الحَارِثِ بْنِ الخَزْرَجِ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ بَنُو سَاعِدَةَ»، ثُمَّ قَالَ بِيَدِهِ فَقَبَضَ أَصَابِعَهُ، ثُمَّ بَسَطَهُنَّ كَالرَّامِي بِيَدِهِ، ثُمَّ قَالَ: وَفِي كُلِّ دُورِ الأَنْصَارِ خَيْرٌ

Maksudnya: “Tidakkah aku beritahu kepada kamu sebaik-baik kabilah Ansar? Mereka berkata: ‘Bahkan kami ingin tahu, wahai Rasulullah.’ Baginda bersabda: ‘Bani al-Najjar, kemudian sesudah mereka Bani ‘Abd al-Asyhal, kemudian sesudah mereka Bani al-Harith bin al-Khazraj, kemudian sesudah mereka Bani Sa‘idah,’ lalu Baginda memberi isyarat dengan tangannya dengan cara menggenggam jari-jarinya. Setelah itu, Baginda membuka jari-jarinya seperti keadaan orang yang melemparkan sesuatu dengan menggunakan tangannya, kemudian Baginda bersabda: ‘Pada setiap kabilah Ansar terdapat kebaikan.’

Riwayat al-Bukhari (5300)

Al-Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan, maksudnya adalah keutamaan/kelebihan berbanding dengan selain mereka daripada kalangan penduduk Madinah, dan ia disebutkan dalam konteks umum selepas disebutkan dalam konteks khusus. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, kebaikan yang pertama adalah merujuk kepada yang paling utama/paling baik, manakala kebaikan yang kedua merujuk kepada yang utama/baik. Dalam erti kata lain, kebaikan itu terdapat dalam semua kaum Ansar, meskipun terdapat perbezaan dari segi darjat mereka.

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan, “kebaikan rumah-rumah Ansar” adalah merujuk kepada kebaikan kabilah-kabilah mereka. Setiap kabilah tinggal di kawasan tertentu, maka kawasan tersebut dinamakan rumah Bani fulan, dan oleh itu terdapat dalam banyak riwayat dinyatakan Bani fulan tanpa menyebut rumah. Mereka (para ulama) berkata: Keutamaan mereka adalah berdasarkan kepada siapa yang terlebih dahulu memeluk Islam dan jasa-jasa mereka di dalamnya. Ini menjadi dalil (bukti) yang menunjukkan bahawa dibenarkan untuk memberi keutamaan kepada kabilah-kabilah dan individu-individu (tertentu) tanpa berlebih-lebihan mahupun mengikut hawa nafsu, dan ia tidak dianggap sebagai mengumpat. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 9/4012).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”