#6305: Makna “Manna” dan “Salwa”

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami makna “Manna” dan “Salwa” dalam ayat 57 dari Surah al-Baqarah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan saudara, kami bawakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

وَظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ وَأَنزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ ۖ كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ ۖ وَمَا ظَلَمُونَا وَلَٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Maksudnya: “Kami telah menaungi kamu dari panas terik matahari dengan redup awan dan Kami turunkan pula untuk kamu makanan daripada langit berupa al-Mann dan al-Salwa, lalu Kami berkata: ‘Makanlah kamu makanan yang baik ini yang Kami kurniakan kepada kamu.’ Akan tetapi mereka tidak bersyukur atas nikmat ini. Perbuatan mereka ini tidak sedikit pun menjejaskan Kami, tetapi mereka sebenarnya menzalimi diri mereka sendiri.”

(Surah al-Baqarah: 57)

Makna al-Mann (المَنُّ)

Kalimah al-Mann (المَنُّ) ini mempunyai beberapa tafsiran menurut para ulama terdahulu, maka Ibn Kathir menggariskan beberapa tafsiran ini seperti berikut:

  • Tafsiran yang dibawakan oleh ‘Ali bin Abu Talhah daripada Ibn ‘Abbas R.A, bahawa al-Mann ini diturunkan oleh Allah SWT kepada Bani Israel melalui pokok-pokok. Mereka akan pergi ke sana dan makan daripadanya apa sahaja yang mereka mahu.
  • Mujahid menafsirkan, ia adalah getah atau cecair yang keluar dari pokok.
  • ‘Ikrimah pula berkata, al-Mann adalah apa yang Allah SWT turunkan umpama embun buat Bani Israel, ia seperti cecair tumbuhan yang pekat.
  • Al-Suddi menceritakan, saat Bani Israel bertanya kepada Nabi Allah Musa A.S: “Di manakah makanan?” Lalu Allah SWT turunkan al-Mann ini pada pohon halia.
  • Qatadah pula memperincikan, al-Mann itu turun di kawasan mereka seperti turunnya salji. Warnanya lebih putih dari susu, rasanya lebih manis dari madu, turun dari terbitnya fajar sehingga terbenam matahari. Setiap lelaki dari kalangan Bani Israel boleh ambil sekadar yang mencukupi baginya pada hari tersebut. Jika dia ambil berlebih-lebihan, al-Mann itu akan rosak dan tidak kekal.
  • Al-Rabi‘ bin Anas menafsirkan al-Mann itu sebagai minuman yang diturunkan kepada Bani Israel seperti madu, lalu mereka mencampurkannya dengan air dan meminumnya.
  • Wahb bin Munabbih ketika ditanya tentang al-Mann, beliau menjawab: Ia adalah roti yang nipis.
  • Tafsiran al-Sya‘bi pula lebih menyeluruh, beliau berpendapat: Madu kalian pada hari ini adalah sejuzuk dari 70 juzuk al-Mann.
  • Begitu juga pendapat ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam, al-Mann itu adalah madu.

Meskipun wujud sedikit perbezaan dalam penafsiran al-Mann ini, pangkal pokoknya kepelbagaian pendapat ahli tafsir ini saling mempunyai persamaan antara satu dengan yang lain. Ada di kalangan mereka yang menafsirkannya sebagai makanan, ada juga yang menafsirkannya sebagai minuman, dan lain-lain lagi perkara yang Bani Israel ini tidak perlu bekerja dan menggunakan tenaga untuk mendapatkannya.

Hasilnya, al-Mann yang masyhur ini jika dimakan begitu sahaja, maka ia adalah sejenis makanan dan manisan. Jika ia dicampurkan dengan air, ia menjadi satu minuman yang enak. Sekiranya ia dikombinasikan dengan bahan lain, maka ia akan menjadi satu makanan yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/169)

Salah satu dalil yang menjadi hujah bahawa al-Mann ini mempunyai banyak juzuk, seperti yang diriwayatkan daripada Sa‘id bin Zaid R.A:

الكَمْأَةُ مِنَ المَنِّ، وَمَاؤُهَا شِفَاءٌ لِلْعَيْنِ

Maksudnya: “Cendawan itu sebahagian daripada al-Mann dan airnya ialah penyembuh bagi penyakit mata.”

Riwayat al-Bukhari (4478) dan Muslim (2049)

Huruf Jarr (مِنْ) mempunyai beberapa makna, antara lainnya bermaksud “sebahagian” atau disebutkan al-Tab‘idh (التَبْعِيضُ). Abu Abdillah Jamaluddin Ibn Malik al-Ta’i menyebutkan di dalam Alfiyah:

بَعِّضْ وَبَيِّنْ وَابْتَدِئْ فِي الْأَمْكِنَهْ            بِمَنْ…

“(Berfungsi untuk menunjukkan) sebahagian, menjelaskan jenis dan permulaan dari suatu tempat, dengan huruf (مِنْ)…”

‘Allamah Jamaluddin Abdullah al-Fakihi menyebutkan juga dalam kitabnya Mujib al-Nida fi Syarh Qatr al-Nada (hlm. 439) bahawa huruf Jarr (مِنْ) ini berfungsi untuk menunjukkan “sebahagian,” sebagaimana dalam firman Allah SWT:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan di antara manusia ada yang berkata: ‘Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat,’ padahal mereka sebenarnya tidak beriman.”

(Surah al-Baqarah: 8)

Makna al-Salwa (السَّلْوَىٰ)

Kalimah al-Salwa (السَّلْوَىٰ) pula adalah kata nama am, dan ia dikatakan kata majmuk bagi bagi al-Salwah (السَّلْوَاةُ). Dikatakan juga ia tidak mempunyai kata tunggal, dan dikatakan kata majmuk serta kata tunggal adalah sama iaitu al-Salwa (السَّلْوَىٰ). (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 1/510)

Imam Abu Abdillah Ibn ‘Atiyyah menekankan, al-Salwa (السَّلْوَىٰ) ini adalah sejenis burung dengan persepakatan para ulama tafsir seperti Ibn ‘Abbas R.A, Mujahid, Qatadah, al-Rabi‘ bin Anas, dan lain-lain. Adapun jenis burung secara spesifik itu diperselisihi oleh ulama tafsir, dan Imam Ibn Kathir menggariskannya seperti berikut:

  • Tafsiran yang dibawakan daripada Ibn ‘Abbas, Murrah, Ibn Mas‘ud dan sekumpulan sahabat R.Anhum: al-Salwa itu adalah burung yang menyerupai burung puyuh, dijadikan sebagai makanan bagi Bani Israel.
  • Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas R.A, dan ia juga pendapat Mujahid, al-Sya‘bi, al-Dahhak, al-Hasan, ‘Ikrimah, al-Rabi‘ bin Anas: al-Salwa itu memang burung puyuh.
  • Dalam riwayat lain daripada ‘Ikrimah, ia merujuk kepada sejenis burung di taman-taman, dan ia lebih besar dari burung pipit atau seumpamanya.
  • Qatadah menafsirkan, al-Salwa itu adalah burung berwarna kemerah-merahan, dan angin dari arah selatan telah mengumpulkan burung ini di kawasan menetap Bani Israel. Setiap lelaki dari kalangan Bani Israel boleh menyembelihnya sekadar yang mencukupi baginya pada hari tersebut. Jika dia ambil berlebih-lebihan, al-Mann itu akan rosak dan tidak kekal.
  • Wahb bin Munabbih berkata, ia adalah burung yang gemuk seperti burung merpati.
  • Dalam riwayat lain daripada Wahb bin Munabbih, beliau menceritakan: Bani Israel meminta kepada Nabi Musa A.S agar dikurniakan kepada mereka daging, lalu Allah SWT berfirman: “Aku akan berikan mereka makan dari daging yang paling sedikit di muka bumi,” lalu ditiupkan kepada mereka angin sehinggalah burung al-Salwa ini dibawa bersamanya. Ia adalah burung puyuh yang datang dalam kawanan demi kawanan, terbang di langit setinggi tombak.
  • Al-Suddi juga ada menafsirkan, al-Salwa itu adalah burung yang hampir serupa dengan burung puyuh, tetapi ia lebih besar darinya.

Kemudian, Ibn ‘Atiyyah membawakan satu tafsiran yang ganjil bagi kalimah al-Salwa ini dari Abu Zu’aib al-Huzali, dan beliau mengatakan bahawa ia adalah tafsiran yang salah. Al-Huzali menyangka bahawa al-Salwa itu adalah sejenis madu, sebagaimana didendangkan dalam syairnya:

وَقَاسَمَهَا بِاللَّهِ جَهْدًا لَأَنْتُمُ                  أَلَذُّ مِنَ السَّلْوَى إِذَا مَا أَشُورُهَا

“Dan dia bersumpah secara sungguh-sungguh dengan nama Allah,

bahawa kalian lebih lazat daripada salwa (madu) apabila dipetik dari sarangnya.”

Imam al-Qurtubi pula lebih cenderung untuk tidak menolak secara mutlak pandangan al-Huzali ini, dan beliau juga tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa adanya persepakatan dalam menafsirkan al-Salwa sebagai burung. Kata al-Mu’arrij al-Sadusi, salah seorang ahli bahasa dan tafsir: “Ia adalah madu,” kemudian beliau beristidlal dengan rangkap syair al-Huzali di atas. Al-Mu’arrij juga berhujah bahawa ia adalah madu dalam dialek orang Kinanah. Dinamakan al-Salwa (dalam bahasa Arab juga bermaksud hiburan) kerana ia dapat menghiburkan atau menyenangkan hati. Dinukilkan juga daripada Imam Isma‘il Hammad Al-Jauhari bahawa al-Salwa itu adalah madu, dengan berhujahkan syair al-Huzali. Al-Jauhari tidak pula mengatakan tafsiran tersebut adalah salah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/172; al-Muharrar al-Wajiz, 1/149; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 1/408)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perincian tafsir ayat 57 dari Surah al-Baqarah ini, kami dapat simpulkan bahawa Manna dan Salwa ini adalah rezeki yang Allah SWT turunkan buat Bani Israel untuk diambil sebagai sumber nutrisi dalam badan, berupa makanan mahupun minuman.

Adapun al-Mann (المَنُّ) itu ada ditafsirkan sebagai sumber salah satu minuman; seperti cecair manisan atau madu. Manakala al-Salwa (السَّلْوَىٰ) pula ditafsirkan sebagai salah satu sumber makanan; seperti burung yang boleh dimakan dagingnya, dan ia juga boleh difahami dalam dialek Kinanah dengan maksud madu.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami kongsikan. Semoga kita semua beroleh manfaat serta kefahaman yang baik terhadap ayat-ayat suci al-Quran. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam.