#6306: Makna Iman dan Ihtisab

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar hadith, Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang puasa ramadhan dengan iman dan ihtisab akan diampunkan dosanya. Boleh terangkan maksud dan maknanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu hadith yang dimaksudkan, iaitu seperti riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ، وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bangun pada malam Lailatul Qadar dalam keadaan beriman dan mengharapkan ganjaran pahala, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampunkan. Dan sesiapa yang berpuasa Ramadhan dalam keadaan beriman dan mengharapkan ganjaran pahala, maka dosa-dosanya yang lalu juga akan diampunkan.”

Riwayat al-Bukhari (1901)

Imam al-Nawawi menjelaskan hadith di atas dengan berkata: “Makna ” إِيمَانًا” ialah mempercayainya sebagai benar, lagi dijanjikan pahala dan fadilatnya, manakala makna “احْتِسَابًا” ialah menginginkan redha Allah Taala semata-mata, bukan bertujuan pandangan manusia, dan bukan juga apa-apa tujuan lain yang menyelisihi makna keikhlasan. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 6/39)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.(Lihat Fath al-Bari, 4/115)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”