#6309: Allah Selamatkan Nabi Musa AS Pada Hari ‘Asyura’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, benarkah hari Asyura Allah selamatkan Nabi Allah Musa dan kaum Bani Israel ? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih. 

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT: 

وَإِذْ نَجَّيْنَاكُم مِّنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ ۚ وَفِي ذَٰلِكُم بَلَاءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.”

(Surah al-Baqarah: 49)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuahaili ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Dan ingatlah ketika Kami menyelamatkan nenek moyang kamu daripada kaum Firaun: iaitu gelaran bagi raja yang memerintah Mesir pada zaman dahulu sebelum era Ptolemaic, yang memperlakukanmu dengan seksaan yang paling keras, membunuh anak lelaki kamu, dan membiarkan wanita kamu hidup untuk dijadikan hamba dan pekerja, kerana seorang ahli nujum telah memberitahu Firaun: Seorang bayi yang akan dilahirkan dari kalangan Bani Israel akan menyebabkan kejatuhan dan kehancuran kerajaannya. Dalam perkara yang disebutkan itu terdapat kejahatan dan seksaan, begitu juga  penyelamatan dari kaum Firaun sebagai ujian yang berat agar kamu kembali kepada Tuhan kamu. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm.49)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa kisah tersebut adalah benar iaitu pada  hari Asyura iaitu 10 Muharram di mana Allah SWT menyelamatkan  Nabi Musa AS dan kaumnya daripada siksaan dan kezaliman Firaun pada ketika itu. Bahkan pada setiap 10 Muharram, mereka akan berpuasa sebagai membesar dan mengagungkan hari tersebut. 

Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau berkata: 

لَمَّا قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المَدِينَةَ وَجَدَ اليَهُودَ يَصُومُونَ عَاشُورَاءَ، فَسُئِلُوا عَنْ ذَلِكَ، فَقَالُوا: هَذَا اليَوْمُ الَّذِي أَظْفَرَ اللَّهُ فِيهِ مُوسَى، وَبَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى فِرْعَوْنَ، وَنَحْنُ نَصُومُهُ تَعْظِيمًا لَهُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «نَحْنُ أَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ، ثُمَّ أَمَرَ بِصَوْمِهِ

Maksudnya: “Ketika mana Nabi SAW sampai di Madinah, Baginda mendapati orang yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Lalu mereka ditanya dan mereka berkata: “Ini adalah hari di mana Allah memberi kemenangan kepada Nabi Musa dan Bani Israil ke atas Firaun, dan kami berpuasa sebagai tanda mengagungkan hari tersebut.” Nabi SAW bersabda: “Kami lebih layak terhadap Musa berbanding kamu. Kemudian Nabi SAW memerintahkan (orang lain) untuk turut berpuasa.”

Riwayat Bukhari (3943)

Disebutkan dalam Manar al-Qari Syarh Mukhtasar Sahih al-Bukhari (3/239) bahawa: Ia merupakan hari yang diberkati penuh dengan peristiwa dan kenangan sejarah yang agung. Allah telah memberikan nikmat yang besar pada hari tersebut di mana Allah menyelamatkan Bani Israel dari musuh mereka: Firaun dan kaumnya, lalu Allah menenggelamkan mereka di lautan.

Hikmah kepada galakkan untuk berpuasa pada hari tersebut — selain daripada ganjaran pahalanya yang besar — adalah bagi memuliakan hari itu, sebagai tanda syukur kepada Allah SWT kerana menyelamatkan Nabi Musa AS dan bani Israell serta menenggelamkan firaun dan pengikutnya. Oleh sebab itu, Nabi Musa AS berpuasa pada hari itu sebagai tanda syukur kepada Allah SWT dan begitu juga orang-orang Yahudi. Manakala umat Muhammad SAW pula adalah lebih berhak untuk mengikuti Nabi Musa (yakni berpuasa ‘Asyura’) berbanding orang-orang Yahudi. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 5/80-81).

Selain itu, al-Qastalani juga ada menyatakan, pada hari itu (hari ‘Asyura’) Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa AS dan kaumnya daripada musuh mereka iaitu firaun yang ditenggelamkan di dalam lautan. Oleh sebab itu, Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut. Imam Muslim menambah dalam riwayatnya bahawa Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT, dan kami turut berpuasa pada hari itu. (Lihat Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari, 3/422).

Justeru, berdasarkan hadith yang telah disebutkan sebelum ini, kita dapat memahami dengan jelas bahawa hari ‘Asyura’ adalah hari di mana Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya dari kezaliman Firaun. Mereka berpuasa pada tanggal 10 Muharram sebagai tanda penghargaan atas nikmat dan keselamatan yang telah diberikan kepada mereka. Malah, umat Islam juga digalakkan untuk berpuasa pada hari tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Wallahu ‘alam.