#6310: Maksud al-Ba’ah (البَاءَةَ) dalam Hadis al-Bukhari

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan hadis yang terkait dengan perkahwinan bersyaratkan kepada al-ba’ah (البَاءَةَ)?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya: “Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah SWT telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Berkenaan persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu hadith yang dimaksudkan, iaitu sepertimana riwayat daripada Abdullah R.A, beliau berkata: Kami pernah bersama Nabi SAW, lalu Baginda bersabda:

مَنِ اسْتَطَاعَ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mampu bernikah,  maka bernikahlah, kerana sesungguhnya ia lebih menundukkan mata (memelihara pandangan) dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa (berterusan), kerana sesungguhnya puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat).”

Riwayat al-Bukhari (1905)

Imam Nawawi menjelaskan, adapun pengertian al-ba’ah (الْبَاءَةَ) sendiri adalah jima’ (hubungan intim), inilah makna al-ba’ah (الْبَاءَةَ) pada bahasa. Namun yang dimaksudkan adalah mampu untuk berjima’ disertai dengan kemampuan memberi nafkah terlebih dahulu. Sesiapa yang tidak mampu berjima’ lantaran belum mampu dari segi nafkah, maka hendaklah dia rajin berpuasa untuk mengekang syahwatnya yang menggelora. Gejolak maninya dapat ditahan dengan rajin berpuasa sunat seperti itu. Itulah maksud hadis yang dikemukakan di atas. Hadis tersebut ditujukan kepada para pemuda yang syahwatnya sudah menggelora namun belum mampu untuk memberi nafkah. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/154)

Imam al-San’ani pula menyebut: Para ulama’ berselisih pendapat pada maksud al-Ba’ah (الباءة). Pendapat yang paling sahih (qaul al-asah), maksud al-Ba’ah ialah jima’ atau mampu bersetubuh. Maka hadis tersebut dibaca dengan: Barangsiapa yang mampu daripada kalangan kamu bersetubuh kerana kemampuannya untuk menanggung perkahwinan, maka berkahwinlah. Sesiapa yang tidak mampu bersetubuh kerana lemah untuk menanggung perkahwinan, maka dia hendaklah berpuasa untuk mengekang syahwatnya. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram oleh al-San’ani, 2/159)

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang sudah mempunyai kemampuan sama ada secara fizikal atau ekonomi, maka hendaklah segera bernikah. Ini kerana terdapat padanya banyak faedah dan kebaikan. Disebut dalam kitab Syarh Bulugh al-Maram: Ramai dari kalangan ulama’ yang menyebut bahawa seseorang yang sudah mampu (secara fizikal dan ekonomi) untuk berkahwin, maka wajib baginya untuk berkahwin. Ini kerana pada dasarnya, perintah tersebut (فَلْيَتَزَوَّجْ) menunjukkan kewajiban, dan di dalam pernikahan itu terdapat maslahat yang agung. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, 3/179)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”