#6311: Maksud Ummah Ummiyyah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Terdapat hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menganggap dirinya sebagai ummah ummiyyah? Boleh terangkan apakah yang sebenarnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّ‍ۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ

Maksudnya: “Dialah (Allah) yang mengutuskan di dalam golongan ummiy seorang Rasul dari kalangan mereka yang membacakan ayat-ayat-Nya ke atas mereka dan dia menyucikan mereka serta mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah sekalipun mereka sebelum ini berada di dalam kesesatan yang nyata.”

Imam al-Baghawi dalam tafsirannya ke atas ayat ini menyebut: Masyarakat Arab dahulunya merupakan umat yang ummiyyah. Umat yang tidak menulis dan tidak membaca. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 8/111)

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda:

إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ، لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ، الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا» يَعْنِي مَرَّةً تِسْعَةً وَعِشْرِينَ، وَمَرَّةً ثَلاَثِينَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah umat yang ummi, kami tidak menulis dan kami juga tidak mengira. Satu bulan itu, begini dan begini.” Maksudnya, kadang-kadang (jumlah harinya) dua puluh sembilan hari dan kadang-kadang tiga puluh hari.”

Riwayat al-Bukhari (1913)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata: Para Ulama telah berkata bahawa ummiyyah itu ialah kekal keadaannya sebagaimana kita mula-mula dilahirkan oleh ibu-ibu kita. Kita tidak menulis dan kita tidak mengira. Di antaranya adalah Nabi yang ummiy (الأُمِّيُّ). Dikatakan: Ia (perkataan ummiyyah) adalah satu penisbahan. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/192)

Kata al-Zajjaj: Ummiy (الأُمِّيُّ) adalah seseorang yang mengikut sifat masyarakat Arab yang mana masyarakat Arab kebanyakannya tidak dapat menulis dan tidak tahu membaca. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/194)

Dikatakan: Perkatan Ummiy (الأُمِّيُّ) itu merupakan nisbah kepada Umm al-Qura iaitu Makkah. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/194)

Kata al-Fairuz Abadi: Ummiy (الأُمِّيُّ) adalah seorang yang tidak tahu menulis.

Berkata al-Raghib al-Asfahani: Umat ummiyyah adalah disebabkan mereka berada seperti keadaan asal semasa dilahirkan oleh ibu mereka iaitu tidak belajar menulis dan tidak mengira. Mereka seperti keadaan tersebut pada ketika itu.

Menurut Syeikh al-Mufassir Mutawalli Sya’rawi Rahimahullah: Keadaan Baginda SAW sebagai seorang ummiy (الأُمِّيُّ) merupakan tanda kekuatan bagi dirinya. Ini kerana makna ummiy (الأُمِّيُّ) itu adalah keadaan sebagaimana kita dilahirkan oleh ibu kita. Kita tidak terkesan dengan thaqafah (pengetahuan) sesiapa pun. Dari sudut jika kita datang membawa sesuatu, tidak dikatakan bahawa kita telah datang dengan saqafah yang telah kita tahu dan pelajari. Maka jika sesuatu yang kita bawa itu merupakan sesuatu yang mempengaruhi akal dan teori maka jelas bahawa ia datang dari atas langit. Rujuk Tafsir Surah al-Baqarah ayat 75.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”