#6313: Mencium Isteri dan Memeluk Isteri dalam Keadaan Puasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseorang yang berpuasa memeluk dan mencium isterinya tanpa bersetubuh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Menurut al-Qurtubi dalam tafsirnya, lafaz ( أُحِلَّ لَكُمْ) itu menunjukkan bahwa bercampur dengan isteri merupakan suatu hal yang diharamkan sebelumnya, dan kemudian ia dinaskhkan (dihapuskan). Diriwayatkan oleh al-Bukhari dari al-Barra bahawa Qais bin Shirmah al-Ansari bertanya kepada isterinya, “Adakah engkau mempunyai makanan?” lalu isterinya berkata, “Tidak, akan tetapi aku akan meminta (makanan) untukmu. Namun begitu, pada siang hari tersebut, Qais Bin Shirmah bekerja keras dan tidak dapat menahan matanya, lalu tertidur, Pada malam itu, isterinya melihat suaminya tertidur, maka dia berkata, “ Alangkah malangnya engkau.” Keesokan harinya, pada waktu tengahari, Qais Bin Shirmah pengsan. Peristiwa ini diceritakan kepada Nabi Muhammad SAW, lalu turunlah ayat: (أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ). Maka, apabila mendengar berita tersebut, mereka bergembira. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 2/314)

Selain itu, menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, ayat ini menjelaskan berkenaan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT bagi kaum muslimin serta penghapusan kepada hukum sebelumnya. Pada saat itu, seseorang yang sudah tidur atau solat isyak, maka diharamkan baginya makan, minum dan berhubungan intim sehingga sampai malam berikutnya. Hal ini menyebabkan mereka berasa sangat berat. Erti al-rafath dalam ayat diatas adalah al-jima’ (bersetubuh). (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/375)

Daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ، وَكَانَ أَمْلَكَكُمْ لِإِرْبِهِ.

Maksudnya: “Nabi SAW mencium dan menyentuh (isterinya), sedangkan Baginda sedang berpuasa. Dan Baginda SAW adalah orang yang paling dapat menahan (mengawal) nafsunya dari kalangan kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1927)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: (Bab bercumbu bagi orang yang berpuasa). Maksudnya, penjelasan tentang hukumnya. Makna dasar lafaz “mubasyarah” adalah bersentuhan kulit. Lalu lafaz ini digunakan pula untuk hubungan lawan jenis, sama ada alat kelamin lelaki masuk ke dalam kemaluan wanita atau tidak. Akan tetapi, makna “mubasyarah” pada tajuk bab ini bukan bermakna bersetubuh.

Ungkapannya, ‘وَكَانَ أَمْلَكَكُمْ لِإِرْبِهِ.’ (Akan tetapi beliau adalah manusia yang paling mampu mengendalikan nafsunya di antara kamu). Dia mengisyaratkan bahawa hal ini hanya dibolehkan bagi mereka yang mampu mengendalikan diri, bukan kepada mereka yang tidak mampu menahan nafsunya sehingga terjerumus dalam perkara yang diharamkan. (Lihat Fath al-Bari, 11/141)

Daripada Aisyah R.Anha, katanya:

إِنْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيُقَبِّلُ بَعْضَ أَزْوَاجِهِ وَهُوَ صَائِمٌ، ثُمَّ ضَحِكَتْ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW mencium salah seorang isteri Baginda, sedangkan ketika itu Baginda sedang berpuasa.” Kemudian, Aisyah tersenyum.

Riwayat al-Bukhari (1928)

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa dihukumkan sebagai makruh bagi sesiapa yang bercumbuan — dan bermesraan — dalam keadaan dia sedang berpuasa jika terangsang syahwatnya dan tidak dihukumkan sebagai makruh bagi selainnya — yang mampu mengawal nafsunya. Namun, yang utamanya adalah meninggalkan perbuatan tersebut. Begitu juga tidak ada beza antara orang tua dan orang muda kerana perkara yang diambil kira ialah terangsang syahwat dan dikhuatiri keluarnya air mani. Dalam erti kata lain, jika seorang tua ataupun muda itu kuat untuk terangsang syahwatnya, maka hukumnya adalah makruh, dan jika tidak terangsang syahwatnya, maka hukumnya tidak makruh. Akan tetapi yang utamanya meninggalkan perbuatan bercumbuan itu, tidak kira mencium pipi, mulut atau selainnya. Begitu juga perbuatan bermesra-mesraan dengan tangan dan berpelukan, hukumnya adalah sama dengan hukum bercumbuan.

Kemudian, hukum makruh yang dimaksudkan bagi sesiapa yang terangsang syahwatnya ialah makruh tahrim. Ini merupakan pendapat pengarang al-Muhazzab, al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-‘Abdari dan lain-lain ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Manakala sebahagian lagi pula berpendapat, hukum makruh di sini ialah makruh tanzih selagi mana tidak keluar air mani. Inilah pendapat yang disahihkan oleh al-Mutawalli. Namun, al-Rafi‘i dan selainnya menyebutkan, pendapat yang paling sahih ialah makruh tahrim. Selain daripada itu, apabila seseorang itu berciuman dan tidak keluar air mani, maka puasanya tidak terbatal tanpa sebarang khilaf di sisi ulama mazhab Syafi‘i, tidak kira bagi mereka yang berpendapat makruh tahrim atau tanzih.

Seterusnya, menurut Ibn al-Munzir, di antara mereka yang memberi kelonggaran (rukhsah) dalam hal mencium ini ialah Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah, Aisyah, ‘Ata’, al-Sya‘bi, al-Hasan, Ahmad dan Ishaq. Di samping itu, Sa‘ad bin Abu Waqqas menganggap tiada masalah untuk bermesraan dengan isteri bagi orang yang berpuasa. Manakala Ibn Umar pula melarang hal tersebut. Imam Malik menghukumkan makruh perbuatan berciuman ini bagi orang muda dan tua dalam bulan Ramadhan. Selain itu, terdapat sebahagian ulama berpendapat, ia diharuskan kepada orang tua dan tidak kepada orang muda, dan di antara ulama yang berpendapat seperti ini ialah Ibn Abbas. Selain itu, mazhab Abu Hanifah dalam isu ini adalah sama dengan mazhab Syafi‘i.

Di samping itu, seluruh fuqaha menyebutkan bahawa perbuatan berciuman itu tidak membatalkan puasa melainkan berlakunya inzal (keluar air mani). Oleh itu, sekiranya keluar air mani, maka puasanya batal dan wajib ke atasnya untuk menggantikannya tanpa dikenakan kafarah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/355)

Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa adalah apabila keluarnya air mani dengan sengaja tanpa bersetubuh seperti berciuman, beronani dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau melalui sentuhan kerana ia dikira sebagai inzal (keluarnya air mani) dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik). (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184)

Begitu juga Ibn Qudamah menyebutkan, sekiranya seseorang itu mencium isterinya, lalu keluar air mani, maka terbatallah puasanya tanpa sebarang khilaf yang diketahui. (Lihat al-Mughni, 4/361)

Justeru, difahami bahawa puasanya tidak terbatal semata-mata disebabkan perbuatan berciuman, tetapi disebabkan oleh keluarnya air mani kerana perbuatan itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab, beliau berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ ‏ قَالَ: ‏‏أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah mencium (isteriku) dalam keadaan aku berpuasa. Maka Baginda SAW menjawab: ‘Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa?’

Riwayat Abu Daud (2385), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (3048) dan Ahmad (138). Isnadnya sahih menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Imam al-Nawawi ketika mengulas hadith ini menyatakan, Baginda SAW menyamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur-kumur. Sesungguhnya telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur-kumur lalu air sampai ke dalam rongganya, maka ia membatalkan puasa, dan sekiranya air tidak sampai ke dalam rongganya, maka ia tidak membatalkan puasanya. Justeru, ini menunjukan bahawa perbuatan berciuman itu adalah sama sepertinya — yakni berkumur-kumur. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/321)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”