#6316: Sumpah Laknat di dalam Masjid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah melakukan sumpah laknat di dalam masjid? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum kami menjawab soalan di atas, kita perlu ketahui bahawa “sumpah laknat” yang kita kenali ini ada peruntukannya di dalam undang-undang Islam, yang dikenali sebagai li‘an. Dari segi bahasa li‘an bermaksud saling menjauh. Selain itu, ia juga bermaksud la‘anahullah iaitu Allah menjauhkannya. Ia dinamakan sedemikian disebabkan oleh jauhnya kedua-dua pasangan (suami isteri) daripada rahmat Allah atau kerana jauhnya mereka berdua antara satu sama lain dan tidak boleh lagi bersama buat selama-lamanya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/52).

Manakala dari segi syarak ia bermaksud:

كَلِمَاتٌ مَعْلُومَةٌ جُعِلَتْ حُجَّةً لِلْمُضْطَرِّ إلَى قَذْفِ مَنْ لَطَخَ فِرَاشَهُ وَأَلْحَقَ الْعَارَ بِهِ أَوْ إلَى نَفْيِ وَلَدٍ

Maksudnya: “Perkataan-perkataan (tertentu) yang diketahui, yang mana ia dijadikan sebagai hujah bagi seseorang yang terdesak (suami) untuk membuat tuduhan zina ke atas orang yang mencemarkan tempat tidurnya (isterinya) dan ia telah mencalarkan maruahnya atau bagi menafikan nasab anak yang dikandung isterinya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/52; Tuhfah al-Muhtaj, 8/202)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa li‘an atau sumpah laknat ini boleh untuk dilakukan di dalam masjid dengan syarat ia mendapat keizinan daripada pihak pemerintah.

Keharusan untuk melakukan li‘an di dalam masjid sabit berdasarkan hadith Sahl bin Sa‘d saudara lelaki Bani Sa‘idah bahawasanya:

أَنَّ رَجُلًا مِنَ الأَنْصَارِ جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ رَجُلًا وَجَدَ مَعَ امْرَأَتِهِ رَجُلًا، أَيَقْتُلُهُ أَمْ كَيْفَ يَفْعَلُ؟ فَأَنْزَلَ اللَّهُ فِي شَأْنِهِ مَا ذَكَرَ فِي القُرْآنِ مِنْ أَمْرِ الْمُتَلاَعِنَيْنِ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَدْ قَضَى اللَّهُ فِيكَ وَفِي امْرَأَتِكَ. قَالَ: فَتَلاَعَنَا فِي المَسْجِدِ وَأَنَا شَاهِدٌ. فَلَمَّا فَرَغَا قَالَ: كَذَبْتُ عَلَيْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ أَمْسَكْتُهَا، فَطَلَّقَهَا ثَلاَثًا قَبْلَ أَنْ يَأْمُرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ فَرَغَا مِنَ التَّلاَعُنِ. فَفَارَقَهَا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Maksudnya: “Seorang lelaki Ansar datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, apakah pendapatmu tentang seorang lelaki yang mendapati lelaki lain bersama isterinya, adakah dia membunuh lelaki itu atau bagaimanakah yang perlu dia lakukan?’ Maka Allah menurunkan tentang halnya apa yang disebutkan dalam al-Quran tentang dua orang (pasangan) yang saling bersumpah laknat. Nabi SAW bersabda: ‘Allah telah memutuskan tentang halmu dan isterimu.’ Sahl berkata: “Maka mereka berdua melakukan sumpah laknat di dalam masjid dan aku menyaksikan. Setelah kedua-duanya selesai, maka lelaki itu berkata: ‘Aku berdusta terhadapnya wahai Rasulullah, seandainya aku mengekalkannya sebagai isteriku,’ maka beliau pun menceraikannya dengan talak tiga sebelum Rasulullah SAW memerintahkannya setelah keduanya selesai melakukan sumpah laknat. Beliau menceraikan isterinya di sisi Nabi SAW.

Riwayat al-Bukhari (5309)

Manakala disyaratkan agar ia mendapat keizinan daripada pihak pemerintah kerana dalam konteks negara kita khususnya, aktiviti-aktiviti masjid mahupun surau berada di bawah seliaan pihak pemerintah atau institusi-institusi agama negeri masing-masing. Ini adalah bagi memastikan kehormatan dan kesucian masjid tetap terpelihara daripada sebarang bentuk penyalahgunaan mahupun anasir yang tidak baik. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”