#6318: Sumpah Laknat (Li‘an) dan Pensyariatannya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh jelaskan secara ringkas apakah itu li‘an atau sumpah laknat? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami mulakan dengan mendefinisikannya terlebih dahulu. Pertamanya, li‘an dalam masyarakat kita lebih dikenali sebagai “sumpah laknat.”

Definisi Li‘an

Dari segi bahasa li‘an bermaksud saling menjauh. Selain itu, ia juga bermaksud la‘anahullah iaitu Allah menjauhkannya. Ia dinamakan sedemikian disebabkan oleh jauhnya kedua-dua pasangan (suami isteri) daripada rahmat Allah atau kerana jauhnya mereka berdua antara satu sama lain dan tidak boleh lagi bersama buat selama-lamanya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/52).

Manakala dari segi syarak ia bermaksud:

كَلِمَاتٌ مَعْلُومَةٌ جُعِلَتْ حُجَّةً لِلْمُضْطَرِّ إلَى قَذْفِ مَنْ لَطَخَ فِرَاشَهُ وَأَلْحَقَ الْعَارَ بِهِ أَوْ إلَى نَفْيِ وَلَدٍ

Maksudnya: “Perkataan-perkataan (tertentu) yang diketahui, yang mana ia dijadikan sebagai hujah bagi seseorang yang terdesak (suami) untuk membuat tuduhan zina ke atas orang yang mencemarkan tempat tidurnya (isterinya) dan ia telah mencalarkan maruahnya atau bagi menafikan nasab anak yang dikandung isterinya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/52; Tuhfah al-Muhtaj, 8/202)

Al-Kasani pula mentakrifkan li‘an dari segi syarak:

إنَّ اللِّعَانَ شَهَادَةٌ مُؤَكَّدَةٌ بِالْأَيْمَانِ مَقْرُونَةٌ بِاللَّعْنِ وَبِالْغَضَبِ وَإِنَّهُ فِي جَانِبِ الزَّوْجِ قَائِمٌ مَقَامَ حَدِّ الْقَذْفِ وَفِي جَانِبِهَا قَائِمٌ مَقَامَ حَدِّ الزِّنَا

Maksudnya: “Li‘an merupakan syahadah (kesaksian) yang dikuatkan dengan sumpah, yang mana disertakan dengan laknat (iaitu pada suami) dan murka (iaitu pada isteri). Dan di sisi suami boleh dikenakan hukuman had qazaf manakala si isteri boleh dikenakan hukuman had zina.” (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 3/241-242).

Manakala pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan, dari segi syarak li‘an bermaksud perkataan-perkataan yang dijadikan hujah oleh suami yang terpaksa menuduh isterinya kerana mencemari rumahtangga dan menyebabkan aib kepada suami. Perkataan tertentu ini dinamakan li‘an kerana ia mengandungi perkataan al-La‘nu (اللَّعْنُ). Begitu juga kerana suami isteri yang berli‘an akan berjauhan antara satu sama lain. (Lihat Fiqh al Manhaji, 4/150)

Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini turut menyatakan bahawa perkataan-perkataan ini dinamakan sebagai li‘an kerana kata-kata suami ke atas dirinya laknat Allah sekiranya dia termasuk dalam kalangan orang-orang berdusta (bagi pertuduhan zina ke atas isterinya). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/52).

Pensyariatan Li‘an

Li‘an atau sumpah laknat ini adalah jalan keluar yang agama telah sediakan buat suami supaya tidak dikenakan hukuman had qazaf bagi membuat tuduhan terhadap isterinya yang telah berzina tetapi tidak dapat membawa empat orang saksi atau menuduh bahawa anak yang dikandung isterinya bukan daripada darah dagingnya. Oleh itu sebab itu, sumpah suami diikat dengan laknat Allah ke atasnya sekiranya dia berdusta, menunjukkan bahawa perkara ini bukan main-main. Begitu juga dengan isteri, diberi peluang untuk menyangkal tuduhan suaminya dengan sumpah dan diikat dengan murka Allah ke atasnya sekiranya dia berdusta.

Perkara ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَٰجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَآءُ إِلَّآ أَنفُسُهُمْ فَشَهَـٰدَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَـٰدَٰتٍۭ بِٱللَّهِ ۙ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ ٦ وَٱلْخَـٰمِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ ٱللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ ٧ وَيَدْرَؤُا۟ عَنْهَا ٱلْعَذَابَ أَن تَشْهَدَ أَرْبَعَ شَهَـٰدَٰتٍۭ بِٱللَّهِ ۙ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ ٨ وَٱلْخَـٰمِسَةَ أَنَّ غَضَبَ ٱللَّهِ عَلَيْهَآ إِن كَانَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ ٩

Maksudnya: “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari kalangan orang-orang yang benar; – (6) Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang-orang yang dusta. (7) Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; – (8) Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.

(Surah al-Nur: 6-9)

Begitu juga, direkodkan bahawa Hilal bin Umayyah telah membuat tuduhan zina terhadap isterinya. Kemudian Nabi SAW bersabda kepadanya : “Datangkan bukti atau hukuman had (qazaf) dikenakan ke atas engkau.” Kemudian, dia telah berkata: “Wahai Rasulullah, sekiranya salah seorang daripada kami melihat isterinya bersama dengan lelaki lain, adakah dia perlu mencari bukti juga?” Rasulullah mengulangi jawapannya tadi iaitu datangkan bukti atau dia akan dikenakan hukuman had qazaf. Kemudian, turunlah ayat 6-9 daripada surah al-Nur. Maka, Nabi SAW terus menyampaikannya (kepada para sahabat). Kemudian, Hilal terus datang kepada Nabi SAW dan bersumpah. Dan Nabi SAW telah bersabda:

إنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ أنَّ أحَدَكُما كاذِبٌ، فَهلْ مِنْكُما تائِبٌ ثُمَّ قامَتْ فَشَهِدَتْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengetahui bahawa salah seorang daripada kamu berdusta. Maka, adakah ada antara kalian berdua yang mahu bertaubat? Kemudian isterinya berdiri dan terus bersumpah.

Riwayat al-Bukhari (4747)

Selain daripada itu, Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam kitab sahihnya, Yahya menyampaikan kepada kami, ‘Abd al-Razzaq mengkhabarkan kepada kami, Ibn Juraij mengkhabarkan kepada kami, katanya: Ibn Syihab mengkhabarkan kepadaku tentang sumpah laknat dan tentang sunnah padanya, daripada hadith Sahl bin Sa‘d saudara lelaki Bani Sa‘idah bahawasanya:

أَنَّ رَجُلًا مِنَ الأَنْصَارِ جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ رَجُلًا وَجَدَ مَعَ امْرَأَتِهِ رَجُلًا، أَيَقْتُلُهُ أَمْ كَيْفَ يَفْعَلُ؟ فَأَنْزَلَ اللَّهُ فِي شَأْنِهِ مَا ذَكَرَ فِي القُرْآنِ مِنْ أَمْرِ الْمُتَلاَعِنَيْنِ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَدْ قَضَى اللَّهُ فِيكَ وَفِي امْرَأَتِكَ. قَالَ: فَتَلاَعَنَا فِي المَسْجِدِ وَأَنَا شَاهِدٌ. فَلَمَّا فَرَغَا قَالَ: كَذَبْتُ عَلَيْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ أَمْسَكْتُهَا، فَطَلَّقَهَا ثَلاَثًا قَبْلَ أَنْ يَأْمُرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ فَرَغَا مِنَ التَّلاَعُنِ. فَفَارَقَهَا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَقَالَ: ذَاكَ تَفْرِيقٌ بَيْنَ كُلِّ مُتَلاَعِنَيْنِ. قَالَ ابْنُ جُرَيْجٍ: قَالَ ابْنُ شِهَابٍ: فَكَانَتِ السُّنَّةُ بَعْدَهُمَا أَنْ يُفَرَّقَ بَيْنَ الْمُتَلاَعِنَيْنِ. وَكَانَتْ حَامِلًا، وَكَانَ ابْنُهَا يُدْعَى لِأُمِّهِ. قَالَ: ثُمَّ جَرَتِ السُّنَّةُ فِي مِيرَاثِهَا أَنَّهَا تَرِثُهُ وَيَرِثُ مِنْهَا مَا فَرَضَ اللَّهُ لَهُ. قَالَ ابْنُ جُرَيْجٍ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ فِي هَذَا الحَدِيثِ: إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنْ جَاءَتْ بِهِ أَحْمَرَ قَصِيرًا كَأَنَّهُ وَحَرَةٌ فَلاَ أُرَاهَا إِلَّا قَدْ صَدَقَتْ وَكَذَبَ عَلَيْهَا، وَإِنْ جَاءَتْ بِهِ أَسْوَدَ أَعْيَنَ ذَا أَلْيَتَيْنِ فَلاَ أُرَاهُ إِلَّا قَدْ صَدَقَ عَلَيْهَا. فَجَاءَتْ بِهِ عَلَى الْمَكْرُوهِ مِنْ ذَلِكَ.

Maksudnya: “Seorang lelaki Ansar datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, apakah pendapatmu tentang seorang lelaki yang mendapati lelaki lain bersama isterinya, adakah dia membunuh lelaki itu atau bagaimanakah yang perlu dia lakukan?’ Maka Allah menurunkan tentang halnya apa yang disebutkan dalam al-Quran tentang dua orang (pasangan) yang saling bersumpah laknat. Nabi SAW bersabda: ‘Allah telah memutuskan tentang halmu dan isterimu.’” Sahl berkata: “Maka mereka berdua melakukan sumpah laknat di dalam masjid dan aku menyaksikan. Setelah kedua-duanya selesai, maka lelaki itu berkata: ‘Aku berdusta terhadapnya wahai Rasulullah, seandainya aku mengekalkannya sebagai isteriku,’ maka beliau pun menceraikannya dengan talak tiga sebelum Rasulullah SAW memerintahkannya setelah keduanya selesai melakukan sumpah laknat. Beliau menceraikan isterinya di sisi Nabi SAW. Dia (Sahl atau Ibn Syihab) berkata: “Begitulah cara pemisahan antara setiap pasangan yang melakukan sumpah laknat.” Ibn Juraij berkata: Ibn Syihab berkata: “Maka menjadi sunnah selepas kes mereka berdua untuk memisahkan setiap pasangan yang melakukan sumpah laknat. Ketika itu perempuan tersebut sedang hamil dan anaknya dinasabkan kepada ibunya.” Dia berkata: “Kemudian menjadi sunnah dalam pusaka si ibu bahawa dia mewarisi anaknya dan anaknya mewarisinya pada apa yang ditetapkan oleh Allah (faraidh) untuknya.” Ibn Juraij berkata, daripada Ibn Syihab, daripada Sahl bin Sa‘d al-Sa‘idi, pada hadith ini: Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: “Jika dia melahirkan anak berkulit kemerahan dan bertubuh rendah seperti waharah,[1]  maka aku tidak melihatnya melainkan dia telah bercakap benar dan suaminya berdusta ke atasnya. Namun, jika dia melahirkan anak yang berkulit hitam memiliki mata yang besar dan punggung yang besar, maka aku tidak melihat suaminya melainkan dia telah bercakap benar ke atas isterinya.” Lalu perempuan tersebut melahirkan anak dengan sifat-sifat yang tidak disukai kerana sumpah laknat itu.

Riwayat al-Bukhari (4747)

Selain daripada itu, kita juga harus ketahui bahawa sumpah laknat atau li‘an ini adalah khusus buat pasangan suami isteri yang sah sahaja. Imam al-Syafi‘i ada menyatakan bahawa:

فَكَذَلِكَ اللِّعَانُ لَا يَخْرُجُ مِنْهُ زَوْجٌ وَلَا زَوْجَةٌ

Maksudnya: “Demikianlah li‘an itu, tidak terkeluar daripadanya seorang suami mahupun isteri.” (Lihat al-Umm, 5/133)

Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa disyaratkan di dalam li‘an bagi pasangan suami isteri berkenaan (melakukannya) adalah dengan perintah hakim. Maka, hakim akan berkata kepada mula‘in (iaitu suami): Katakanlah : “أَشْهَدُ بِاللَّهِ إِنِّي لَمِنَ الصَّادِقِينَ…” (Lihat Raudhah al-Talibin, 8/352)

Oleh itu, tidak boleh li‘an atau sumpah laknat dilakukan sewenang-wenangnya tanpa arahan daripada hakim atau dengan kehadirannya.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa li‘an atau sumpah laknat ini adalah jalan keluar yang agama telah sediakan buat suami supaya tidak dikenakan hukuman had qazaf bagi membuat tuduhan terhadap isterinya yang telah berzina tetapi tidak dapat membawa empat orang saksi atau menuduh bahawa anak yang dikandung isterinya bukan daripada darah dagingnya. Oleh itu sebab itu, sumpah suami diikat dengan laknat Allah ke atasnya sekiranya dia berdusta, manakala si isteri, diberi peluang untuk menyangkal tuduhan suaminya dengan sumpah dan diikat dengan murka Allah ke atasnya sekiranya dia berdusta.

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat tambahan berkenaan li‘an bolehlah merujuk kepada artikel kami yang lain dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk:

  • #2563: Li’an Boleh Terbubar Perkahwinan.[2]
  • #4079: Li‘an Pertama dalam Islam.[3]
  • #5301: Hak Pusaka Anak Li’an.[4]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.

Nota Hujung:

[1]   Terdapat dua makna: (1) Biawak padang pasir, di antara sifatnya ialah ia akan meracun setiap makanan atau minuman yang dijumpainya, warnanya putih bertompok merah dan dianggap haiwan jijik di kalangan orang Arab. (2) Unta yang pendek. Dikatakan: “امْرَأَةٌ وَحَرَةٌ” iaitu perempuan gelap (hitam) atau merah dan pendek.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/2563-lian-boleh-terbubar-perkahwinan/. Diakses pada 11 Julai 2024.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/4079-lian-pertama-dalam-islam/. Diakses pada 11 Julai 2024.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/5301-hak-pusaka-anak-lian/. Diakses pada 11 Julai 2024.