#6324: Kisah Telaga Zamzam Ditimbus

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kisah telaga zam-zam pernah ditimbus? Bilakah peristiwa itu terjadi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh al-Mubarakfuri dalam al-Rahiq al-Makhtum (hlm. 28-29) menyebut:

Dalam konteks sejarah permulaannya, Nabi Ismail telah memegang peranan sebagai pemimpin di Mekah dan juga sebagai pengendali urusan Baitullah sepanjang tempoh hayatnya. Baginda telah meninggal dunia pada umur 137 tahun.

Selepas itu, dua orang putera baginda, Nabit dan Qaidar, mengambil alih pemerintahan. Walaupun begitu, ada juga pandangan yang menyatakan bahawa Qaidar mendahului Nabit dalam pemerintahan. Kemudian, kepimpinan Mekah diserahkan kepada Mudhad bin Amr Al-Jurhumi, datuk kepada kedua-dua putera tersebut. Oleh itu, Mekah terus berada di bawah pentadbiran datuk mereka.

Anak dan cucu Nabi Ismail AS mempunyai kedudukan yang agung dan mulia disebabkan bapa mereka adalah pembina Ka’bah. Walaubagaimanapun, mereka tidak terlibat secara langsung dalam urusan pentadbiran Mekah seperti datuk mereka. (Lihat Qalb Jazirah Al-Arab, hlm. 230-237 dan al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/111-113. Menurut Ibnu Hisyam, hanya Nabit, anak kepada Ismail, yang memegang tampuk kepimpinan di Mekah).

Hari dan waktu terus bergerak. Keadaan anak-anak Ismail jarang disebut sehingga kekuasaan Jurhum semakin merosot tepat sebelum kedatangan Bukhtunnasr (Nebuchadnezzar). Pada ketika tersebut, kabilah Adnan mula menunjukkan kecemerlangan mereka dalam bidang politik dan pengurusan pemerintahan di Mekah. Ini berdasarkan hujah bahawa pemimpin kaum Arab dalam pertempuran dengan Bukhtunnasr yang berlangsung di Zat ‘Irq bukan berasal dari kabilah Jurhum. (Lihat Qalb Jazirah al-’Arab, hlm. 230-237 dan al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/111-113)

Kabilah Adnan telah terpecah dan tersebar di Yaman semasa Peperangan Bukhtunnasr yang kedua pada tahun 587 SM. Ma’ad telah berpindah ke Syam dan apabila tekanan dari pihak Bukhtunnasr berkurangan, Ma’ad telah kembali ke Mekah dan hanya menemui Jausyam bin Julhumah, bukan Jurhum. Dia kemudian berkahwin dengan puteri Jausyam yang bernama Mu’anah dan daripada perkahwinan tersebut, Nizar dilahirkan. (Lihat Rahmatan Li al-’Alamin, 2/48)

Situasi dan pentadbiran kabilah Jurhum di Mekah pada masa itu agak teruk. Mereka telah melakukan tindakan yang tidak adil terhadap para penziarah yang datang ke kota Mekah. Mereka juga telah menghalalkan harta yang berkaitan dengan Kaabah. Hal ini telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan kabilah Adnan dan semakin menyemarakkan rasa benci antara mereka.

Apabila kabilah Khuza’ah sampai ke Mar al-Zahran dan menyaksikan kabilah Adnan yang berpaling daripada kabilah Jurhum, maka kabilah Khuza’ah memanfaatkan situasi tersebut dengan memberikan bantuan kepada kabilah Adnan dalam pertempuran melawan kabilah Jurhum. Kabilah Adnan ini terdiri daripada Bani Bakar bin Abd Manaf bin Kinanah. Akhirnya, kabilah Jurhum berjaya diusir dari Mekah. Kabilah Adnan berjaya mengambil alih pemerintahan Mekah semula pada pertengahan abad kedua Masihi.

Ketika kabilah Jurhum diusir, mereka menimbus telaga Zamzam dan menghapuskan petunjuk yang menunjukkan sumber air telaga Zamzam. Selain itu, mereka juga memasukkan beberapa barang berharga ke dalam telaga tersebut.

Ibn Ishaq menyebut, “Amr bin al-Harith bin Mudhad al-Jurhumi[1] berangkat dengan membawa dua patung berhala rusa Kaabah serta beberapa batu binaan tempat Hajarul Aswad diletakkan dan mereka meletakkannya di dalam telaga Zamzam. Kemudian, dia bersama para pengikutnya bergerak menuju ke Yaman.”

Al-Mas’udi telah mencatat: “Pada suatu masa yang lalu, masyarakat Parsi telah memberikan hadiah kepada Ka’bah dalam bentuk harta dan permata. Sasan bin Babik telah menghadiahkan dua patung berhala rusa yang dibuat daripada emas, permata, dan juga sejumlah besar emas. Hadiah dan harta tersebut kemudian dibuang oleh Amr ke dalam telaga Zamzam. (Lihat Muruj al-Zahab, 1/205)

Menurut Ibn Ishaq lagi, mereka merasa sedih dan kecewa kerana terpaksa meninggalkan Mekah dan kerajaan yang pernah mereka pimpin. Mereka kemudian melafazkan beberapa bait puisi:

Seakan-akan tiada lagi,

Penyegar jiwa di antara Hujun dan Safa,

Yang mampu memberikan kegembiraan di Mekah,

Kita adalah penghuni bumi ini,

Namun kejahatan malam dan persaingan dalam kalangan keluarga tidak dapat diramal.

(Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/114-115)

Perkiraan umum menunjukkan bahawa era Nabi Ismail berlangsung sekitar 20 abad Sebelum Masihi. Sementara itu, kabilah Jurhum menduduki Mekah selama kira-kira 21 abad dan mereka memerintah Mekah selama kira-kira 20 abad. Selanjutnya kabilah Khuza’ah mengambil alih pemerintahan Mekah. Pemerintahan kabilah Khuza’ah di Mekah berlangsung hingga 300 tahun. Setelah kematian Hulail, pemimpin terakhir dari kabilah Khuza’ah, peperangan berlaku antara kabilah Khuza’ah dan kabilah Quraisy. Akhirnya, Qusai berhasil menguasai urusan pemerintahan Mekah dan Kaabah. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 28-29)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Surah Ibrahim (40-41)

 

Nota Hujung:

[1] Dia bukan Mudhadh Al-Jurhumi yang pertama yang telah disebutkan dalam kisah Nabi Ismail.