Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum seorang lelaki yang membuat video tentang fitness dan motivasi tetapi menampakkan bahagian badan tanpa memakai baju tetapi masih menutup aurat dari pusat hingga ke lutut.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Islam sangat menitikberatkan soal penjagaan aurat, bukan sahaja di dalam solat, bahkan juga di luar solat yang melibatkan interaksi sesama manusia dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka yang demikian itu lebih suci bagi mereka.”
(Surah al-Nur: 30)
Ayat di atas merupakan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi agar berpesan kepada orang-orang lelaki beriman supaya menundukan pandangan mereka daripada wanita-wanita dan aurat-aurat yang tidak halal buat mereka. Begitu juga memelihara kemaluan mereka daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT seperti zina, liwat, mendedahkan aurat dan lain-lain. Demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 353).
Aurat dari segi syarak bermaksud semua anggota yang wajib ditutup atau yang haram dilihat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/124). Menurut al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, aurat lelaki dalam solat dan ketika di luar solat adalah bahagian tubuh yang berada di antara pusat dan lututnya mengikut pendapat al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Syafi‘iyyah dan al-Hanabilah. Ini juga merupakan pendapat kebanyakan fuqaha’. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:
أَسْفَل السُّرَّةِ وَفَوْقَ الرُّكْبَتَيْنِ مِنَ الْعَوْرَةِ
Maksudnya: “Bahagian tubuh yang bawah dari pusat dan atas dari kedua lutut adalah termasuk dalam aurat.”
Namun, terdapat riwayat daripada Imam Ahmad bahawa auratnya hanyalah kedua kemaluannya sahaja. Ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Anas R.A bahawa Nabi SAW pada hari berangkatnya ke Khaibar untuk berperang. Kemudian Baginda menyingkap kain izarnya (kain yang menutupi bahagian bawah pinggang) dari pahanya hingga aku melihat putihnya paha Nabi SAW. (Riwayat al-Bukhari: 371)
Sekalipun begitu, dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/124-125) dinyatakan bahawa batasan aurat ketika di luar solat. Aurat lelaki sesama lelaki walau apapun keadaannya dan aurat lelaki terhadap perempuan mahramnya ialah bahagian badan di antara pusat dan lutut.
Sementara aurat lelaki terhadap perempuan lain (iaitu ajnabiyyah) pula mengikut pendapat yang muktamad adalah seluruh anggota badan selain muka dan dua tapak tangan. Oleh itu tidak harus bagi perempuan melihat anggota lelaki bukan mahramnya selain muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, hukum melihat muka lelaki dengan berahi (syahwat) tetap haram. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).”
(Surah al-Nur: 31)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum lelaki yang hanya memakai pakaian di bahagian aurat adalah harus kerana aurat lelaki adalah bahagian yang berada di antara pusat dan lututnya mengikut jumhur ulama. Sekalipun begitu, perbuatan sengaja mendedahkan bahagian tubuh seperti tricep, six pack, chest dan lain-lain, tanpa sebarang keperluan bukanlah suatu perbuatan yang elok, bahkan boleh menjatuhkan maruahnya sebagai seorang lelaki Muslim yang sopan dan beradab, terutamanya dalam konteks budaya dan masyarakat Islam dalam negara kita. Oleh yang demikian, menjauhi daripada perbuatan sengaja mendedahkan bahagian berkenaan tanpa sebarang keperluan adalah lebih baik dan jauh daripada fitnah.
Manakala bagi perempuan yang melihatnya pula, kami berpendapat bahawa tidak mengapa jika ia tidak disertai dengan syahwat. Akan tetapi jika ia disertai dengan syahwat, maka hukum melihatnya adalah haram. Meskipun begitu, mengelakkan diri daripada melihatnya, sekalipun tanpa disertai dengan syahwat adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf mereka yang menghukumkannya sebagai haram serta jauh daripada fitnah.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”