Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah dalam solat lepas baca al-Fatihah selepas itu rakaat pertama saya baca surah al-Nisa’ ayat 59 sahaja, di rakaat kedua saya baca surah al-Ikhlas? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, membaca surah atau ayat-ayat al-Quran selepas bacaan surah al-Fatihah termasuk dalam perkara sunat dan menyempurnakan lagi pahala solat tersebut. Malah, al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi dengan menyebutkan bahawa membaca surah selepas bacaan al-Fatihah adalah sunat sekalipun pendek pada dua rakaat yang awal oleh imam atau orang yang mendirikan solat secara bersendirian,
Tambahan lagi, Ibn Hajar al-Haitami ada menyebutkan bahawa asal pahala sunatnya — yakni bacaan al-Quran selepas al-Fatihah — dapat diperolehi dengan hanya membaca satu ayat. Bahkan sebahagian daripada ayat itu sekiranya bermanfaat — yakni memberi makna. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika dapat membaca tiga ayat — sekurang-kurangnya. Manakala jika dapat membaca satu surah secara sempurna pula adalah lebih baik berbanding membaca sebahagian ayat daripada surah yang panjang. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/51-52)
Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Qatadah bahawa:
كانَ النبيُّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَقْرَأُ في الرَّكْعَتَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ والعَصْرِ بفاتِحَةِ الكِتابِ، وسُورَةٍ سُورَةٍ، ويُسْمِعُنا الآيَةَ أحْيانًا
Maksudnya: “Nabi SAW membaca di dalam dua rakaat yang pertama solat Zohor dan Asar Surah al-Fatihah dan surah surah — iaitu di rakaat pertama dan kedua — serta Baginda kadang-kadang memperdengarkan kepada kami ayat yang dibacanya.”
Riwayat al-Bukhari (762); Muslim (451)
Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas dengan menyebutkan, padanya menunjukkan bahawa membaca surah yang pendek secara sempurna adalah lebih baik berbanding membaca ayat-ayat daripada surah yang panjang mengikut kadarnya — yakni kadar surah yang pendek itu — kerana disunatkan bagi Qari untuk memulakan bacaannya daripada permulaan ayat yang saling berkaitan (dalam sesuatu topik) dan berhenti pada bahagian penghabisan perkara yang berkaitan itu. Boleh jadi perkaitan atau perkara yang menghubungkan antara ayat-ayat al-Quran ini tersembunyi kepada kebanyakan atau ramai orang. Oleh itu, disunatkan kepada mereka untuk melengkapkan bacaan surah tersebut agar dapat mengelakkan daripada berhenti pada suatu ayat tanpa perkaitannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/174)
Meskipun begitu, membaca sebahagian ayat daripada surah yang panjang hukumnya adalah diharuskan. Hal ini dapat dilihat melalui kenyataan Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya bahawa di antara petunjuk Nabi SAW adalah membaca surah secara lengkap (selepas al-Fatihah di dalam rakaat solat), boleh jadi Baginda membacanya di dalam dua rakaat, dan boleh jadi juga Baginda membaca ayat pada awal surah. Adapun membaca ayat-ayat pada akhir surah atau pertengahannya, tidak pernah diriwayatkan daripada Baginda. Begitu juga, membaca dua surah dalam satu rakaat, Baginda SAW hanya melakukannya di dalam solat sunat manakala di dalam solat fardhu, tidak pernah diriwayatkan daripada Baginda — yakni membaca dua surah dalam satu rakaat. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/208)
Kesimpulannya
Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah untuk seseorang itu membaca hanya ayat 59 Surah al-Nisa’ selepas surah al-Fatihah di dalam rakaat pertama, dan membaca surah al-Ikhlas selepas surah al-Fatihah di rakaat kedua. Insya-Allah dia tetap akan memperoleh pahala sunat membaca surah-surah pilihan (selepas surah al-Fatihah) bagi kedua-dua rakaat; sama ada dia hanya membaca satu ayat ataupun surah secara lengkap.
Sekalipun begitu, afdhalnya adalah dia membaca surah secara yang lengkap meskipun pendek. Namun, jika dia tetap mahu membaca sebahagian ayat sahaja daripada surah tersebut, afdhalnya dia membaca sekurang-kurangnya tiga ayat sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibn Hajar al-Haitami.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”
Surah Ibrahim (40-41)