#6329: Berjimak Sambil Memakai Niqab

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum jimak sambil memakai niqab? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya melainkan menyetubuhi isterinya pada dubur sebagaiman yang telah dinyatakn dalam al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (4/84) . Begitu juga diharuskan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, sebelum memulakan persetubuhan, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya:Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.

(Surah al-Baqarah: 223)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هَلَّا تَزَوَّجْتَ بِكْرًا تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ

Maksudnya:Mengapakah engkau tidak berkahwin dengan anak dara yang engkau boleh bermain dengannya dan dia bermain dengan engkau?

Riwayat al-Bukhari (2967)

Justeru, para ulama berpendapat bahawa diharuskan bagi seorang suami dan isteri untuk menyentuh dan bermain-main dengan alat sulit pasangannya, secara seksual dan makruf, bukan dengan cara yang merosakkan. Perkara ini disebut oleh Zainuddin al-Malibari — murid kepada Ibn Hajar al-Haitami — bahawa:

يَجُوزُ لِلزَّوْجِ كُلُّ تُمَتَّعُ مِنْهَا بِمَا سِوَى حَلَقَةِ دُبُرِهَا وَلَوْ بِمَصِّ بَظَرِهِ

Maksudnya:Diharuskan bagi seorang suami itu menikmati secara seksual akan tubuh isterinya, selain daripada lubang dubur (yakni dengan cara meliwat), sekalipun dengan menghisap biji kelentitnya.” (Lihat Fath al-Mu‘in, hlm. 482)

Manakala larangan mendatangi isteri pada dubur mereka pula adalah berdasarkan riwayat daripada Khuzaimah bin Thabit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ لَا يَسْتَحِيي مِنَ الْحَقِّ فَلَا تَأْتُوا النِّسَاءَ فِي أَدْبَارِهِنَّ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran, maka janganlah kamu mendatangi isteri pada dubur mereka.”

Riwayat al-Nasa’i (8942)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَلْعُونٌ مَنْ أَتَى امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا

Maksudnya: “Orang yang dilaknat itu ialah seorang yang mendatangi isterinya pada duburnya.”

Riwayat Ahmad (9733)

Manakala larangan mendatangi isteri pada dubur bermaksud meliwatnya yang melibatkan penembusan. Sekiranya sekadar menikmati secara seksual pada dubur isteri, ia dibenarkan dengan syarat tidak melibatkan penembusan sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari. (Lihat Asna al-Matalib, 3/113).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya suami isteri berjimak dalam keadaan isterinya memakai niqab adalah diharuskan selagi mana tidak memudaratkan dan melakukan perkara-perkara yang dilarang seperti mendatanginya pada duburnya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

 الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga keharusan itu terikat selagi mana tujuan pemakaian seperti itu adalah bagi menambahkan lagi keintiman dan keghairahan antara suami isteri tersebut, dan bukannya bertujuan untuk merendah-rendahkan martabat wanita Muslimah. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

 الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara itu dinilai berdasarkan niat.”

Ini kerana kedudukan wanita Muslimah adalah tinggi di sisi Islam kerana mereka mencerminkan peribadi dan akhlak agama Islam itu sendiri. Justeru, jika tindakan pemakaiannya seperti itu ketika melakukan hubungan intim suami isteri adalah bagi merendah-rendahkannya sebagai seorang seorang wanita Islam, maka secara tidak langsung sebenarnya hal itu turut menghina agama Islam, yang telah menetapkan peraturan-peraturan khusus dari segi pemakaian (bagi menutup aurat atau mencerminkan dirinya sebagai wanita Muslimah). Maka ketika itu, jelas ia adalah dilarang.

Tambahan lagi pada zaman sekarang yang terdedah dengan pelbagai fitnah syahwat seperti penzinaan, pelacuran dan pornografi. Begitu juga tidaklah dibuka pintu yang membicarakan mengenai hal-hal seks seperti ini melainkan dengan sebab filem-filem yang rendah nilai akhlaknya (seperti pornografi dan seumpamanya) yang dibawa masuk kepada kita oleh budaya globalisasi. Sedangkan apa yang Allah SWT telah halalkan buat kita adalah lebih banyak lagi daripada perkara yang diharamkan-Nya. Justeru, sebarang teknik untuk menambahkan lagi kualiti hubungan seksual antara suami dan isteri amatlah wajar dilakukan, selagi mana tidak melibatkan perkara yang haram dan dilarang seperti meliwat, menelan najis, merendah-rendahkan wanita Muslimah dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)