#6330: Sebab Berlakunya Peperangan Tabuk

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang sebab berlakunya peperangan Tabuk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibn Kathir menyebut: Allah SWT tatkala turunkan ayat:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini.”

(Surah al-Taubah: 28)

Maka orang Quraisy berkata: Sebagaimana datangnya riwayat Ibn Abbas, Mujahid, Said bin Jubair, al-Dahhak dan lain lagi bahawa ia berlaku selepas pembukaan kota Makkah, yang akan terputusnya daripada kita perniagaan, pasar-pasar dan musim haji. Dan akan hilang apa yang akan kami perolehi, maka Allah gantikan demikian itu dengan cara memerangi Ahli kitab sehingga mereka memeluk Islam atau mereka membayar jizyah dalam keadaan hina. Ibn Kathir menganggap, antara sebab peperangan adalah kerana menjawab dan menyahut sifat tabi’i kefarduan jihad. Yang demikian itulah Rasulullah SAW berazam untuk memerangi orang Rom kerana mereka amat dekat kepada nabi dan lebih aula didakwahkan kepada Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قَاتِلُوا الَّذِينَ يَلُونَكُم مِّنَ الْكُفَّارِ وَلْيَجِدُوا فِيكُمْ غِلْظَةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya).”

(Surah al-Taubah: 123)

Ibn Kathir juga menyebut bahawa Rasulullah SAW bertekad untuk memerangi ahli Kitab kerana ayat ini merupakan perintah pertama memerangi mereka selepas Allah kalahkan dan hinakan orang Musyrikin. Mereka telah memeluk Islam secara beramai-ramai dan berpuak-puak. Ketika itu, semenanjung Tanah Arab telah stabil. Maka Allah perintahkan agar Rasul-Nya memerangi golongan Ahli Kitab, Yahudi dan Nasara. Ini berlaku pada tahun 9 Hijrah. Kerana itulah, Nabi SAW menggerakkan pasukan tentera menentang Rom.

Akhirnya, terbentuklah 30 ribu pasukan tentera. Antara sebab yang lain juga, kerana kedengaran puak-puak ROm dan Arab di utara telah bersatu untuk menggerakkan pasukan bagi menghadapi orang Islam.

Kata Nuruddin al-Halabi: Telah sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW bahawa Rom telah menghimpunkan pasukan yang ramai di Syam dan mereka telah sampai di Balqa’, tempat yang makruf dan sebab yang demikian kerana orang-orang Arab telah menghantar surat kepada Maharaja Hiraqla: Sesungguhnya lelaki ini (Rasulullah SAW) telah keluar dan mengaku dia sebagai nabi, telah membinasakan dan mengenakan ramai sahabatnya, sehingga harta mereka habis.” Justeru dihantar lelaki daripada pembesar mereka untuk menyediakan pasukan tentera seramai 40 ribu orang dari pihak Rom dan Arab. Yang demikian itu, bukanlah yang sebenarnya. Ia semata-mata untuk menggerunkan orang Islam kerana pada masa itu, manusia dalam tekanan musim panas yang melampau, negeri yang kering-kontang dan makanan yang sedikit.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”