#6332: Tafsir Ayat 184 Dari Surah al-Baqarah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah benar amalan berpuasa tiga hari pada setiap bulan dan hari ‘Asyura itu dimansuhkan dengan kewajipan puasa bulan Ramadhan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Puasa hari ‘Asyura’ merupakan amalan berpuasa terawal yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat. Ini disebutkan dalam hadith Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ يَوْمًا تَصُومُهُ قُرَيْشٌ، فِي الجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُهُ، فَلَمَّا قَدِمَ المَدِينَةَ صَامَهُ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ، فَلَمَّا نَزَلَ رَمَضَانُ كَانَ مَنْ شَاءَ صَامَهُ، وَمَنْ شَاءَ لاَ يَصُومُهُ

Maksudnya: “Hari ‘Asyura’ adalah hari dimana orang-orang Quraisy berpuasa pada zaman Jahiliyyah, dan Nabi SAW juga berpuasa pada hari itu. Ketika Baginda datang ke Madinah, Baginda turut berpuasa pada hari (‘Asyura’) itu, dan memerintahkan (umatnya) untuk berpuasa pada hari itu. Apabila turun (perintah kewajiban puasa) Ramadan, maka sesiapa yang mahu (berpuasa pada hari ‘Asyura’) maka dia berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu (berpuasa pada hari ‘Asyura’) maka dia tidak berpuasa.”

Riwayat al-Bukhari (3831) dan Muslim (1125)

Kemudian, turun firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu. Jika terdapat antara kamu orang yang sakit atau sedang bermusafir, maka diharuskan baginya untuk berbuka tetapi hendaklah dia menggantikan puasa tersebut pada hari-hari yang Iain. Manakala orang yang mampu untuk berpuasa (tetapi tidak berpuasa), maka hendaklah dia membayar fidyah, iaitu dengan memberi makan kepada orang-orang miskin. Dan sesiapa yang memberi makan orang miskin lebih daripada kadar yang telah ditentukan, maka itulah yang lebih baik baginya. Walaupun begitu, berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada membayar fidyah jika kamu mengetahui kelebihan berpuasa.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Melihat kepada pembukaan ayat ini: (أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ) yang bermakna “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu,” terdapat perbezaan takwilan yang dibawakan oleh ulama tafsir. Imam al-Tabari mengatakan, sebahagian ulama beranggapan bahawa puasa yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah puasa tiga hari pada setiap bulan. Mereka mendakwa bahawa puasa ini pernah diwajibkan ke atas kaum Muslimin sebelum diwajibkan puasa Ramadhan.

Sebahagian lain pula mengkritik pandangan tersebut seraya berkata, puasa tiga hari setiap bulan yang dilakukan Rasulullah SAW itu hukumnya adalah sunat sahaja. Adapun puasa yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah puasa bulan Ramadhan, bukan puasa-puasa lain yang dilakukan sebelum difardhukan puasa Ramadhan ini.

Imam al-Tabari menyimpulkan, pandangan yang lebih tepat menurut beliau, puasa itu merujuk kepada puasa di bulan Ramadhan. Hal yang demikian kerana tidak ada sebarang hujah yang membuktikan kewajipan puasa lain ke atas umat Islam selain dari puasa Ramadhan, kemudian dimansuhkan. Walhal, Allah SWT telah menerangkan dalam konteks ayat di atas bahawa puasa yang diwajibkan itu hanyalah puasa Ramadhan. Sesiapa sahaja yang mendakwa adanya puasa lain yang pernah diwajibkan ke atas orang Islam, maka dia perlu bawakan bukti. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 3/414)

Imam al-Baghawi juga membawakan perincian berkenaan tafsiran ayat ini, dan kami cuba meringkaskannya di dalam noktah-noktah berikut:

  • Pendapat Ibn ‘Umar, Salamah bin al-Akwa‘, dan kebanyakan ahli tafsir: Hukum yang dibawa oleh ayat ini telah dimansuhkan.

Pada awalnya zaman keislaman, umat Islam diberikan pilihan sama ada untuk berpuasa atau membayar fidyah sahaja. Pilihan ini diberikan kepada mereka kerana mereka tidak biasa berpuasa, kemudian pilihan ini dimansuhkan dengan kewajipan berpuasa.

  • Qatadah berpendapat: Ayat ini khusus untuk orang tua yang mungkin boleh berpuasa, tetapi agak sukar. Lalu diberikan keringanan untuk mereka tidak berpuasa, tetapi cukup dengan membayar fidyah, kemudian keringanan ini dimansuhkan.
  • Al-Hasan berkata: Ayat ini ditujukan kepada orang sakit yang mungkin mampu untuk berpuasa, tetapi diberikan pilihan untuk mereka tidak berpuasa dan membayar fidyah sahaja. Kemudian hukum ini dimansuhkan.
  • Sekumpulan ulama berpendapat, antaranya Sa‘id bin Jubair: Ayat ini adalah ayat muhkamat dan bukannya dimasuhkan. Makna firman Allah SWT itu: “Manakala orang yang mampu untuk berpuasa pada masa mudanya (tetapi dia tidak berpuasa), kemudian dia tidak mampu setelah tuanya, maka hendaklah dia membayar fidyah sebagai ganti kepada puasa.” Orang-orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, mereka ini ditaklifkan untuk berpuasa tetapi tidak mampu, maka dibolehkan untuk berbuka dan memberi makan kepada orang miskin untuk setiap hari puasa tersebut. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/196)

Ibn ‘Abbas R.A adalah antara mereka yang berpandangan bahawa ayat ini tidak dimansuhkan, sebaliknya ia ditujukan kepada mereka yang tidak mampu untuk berpuasa. ‘Ata’ bin Rabah pernah mendengar Ibn ‘Abbas R.A membaca:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطَوَّقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: “Dan wajib atas orang-orang yang ditaklifkan untuk berpuasa (tetapi tidak terdaya berpuasa kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

Kemudian Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata:

لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ، هُوَ الشَّيْخُ الكَبِيرُ وَالْمَرْأَةِ الكَبِيرَةِ لاَ يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا، فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Maksudnya: “Ayat ini tidak dimansukhkan. Ayat ini (menjelaskan) tentang lelaki yang telah tua dan perempuan yang telah tua dan kedua-duanya tidak mampu untuk berpuasa, maka kedua-duanya memberi makan setiap hari seorang miskin sebagai pengganti puasanya.”

Riwayat al-Bukhari (4505)

Akan tetapi, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa pandangan Ibn ‘Abbas R.A ini menyelisihi pendapat kebanyakan ulama tafsir. Mazhab Ibn ‘Abbas R.A juga membaca (وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ) yang bermaksud “Manakala orang yang mampu untuk berpuasa (tetapi tidak berpuasa),” dengan bacaan (وَعَلَى الَّذِينَ يُطَوَّقُونَهُ) yang bermaksud “Dan wajib atas orang-orang yang ditaklifkan untuk berpuasa (tetapi tidak terdaya berpuasa kerana tua dan sebagainya).” Menurut qiraat ini, benarlah tafsiran yang dibawakannya itu kerana beliau menetapkan hukum fidyah ini buat mereka yang ditaklifkan ke atasnya berpuasa, tetapi dia tidak mampu dan ingin membayar kaffarah. Hukum ini sememangnya kekal. Hadith ini juga menjadi hujah kepada pandangan Imam al-Syafi‘i dan sesiapa sahaja yang bersetuju dengannya; bahawa orang tua dan mereka yang seangkatan dengannya, sekiranya mereka menghadapi kesukaran untuk berpuasa maka dibenarkan untuk berbuka dengan membayar fidyah sebagai gantian. Pandangan ini bertentangan dengan Imam Malik dan sesiapa sahaja yang bersetuju dengannya. (Lihat Fath al-Bari, 8/28)

Imam al-Baihaqi merekodkan kalam Imam al-Syafi‘i, katanya: “Sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berpuasa; bayar fidyah.” Menurut pentahqiq, ‘Abd al-Ghani ‘Abd al-Khaliq, kalam ini telah diriwayatkan dengan sanad yang bersambung kepada Imam al-Syafi‘i tanpa disebutkan terlebih dahulu sebarang ayat al-Quran sebelumnya. Ia diriwayatkan dengan makna daripada Ibn ‘Abbas R.A seperti yang dibawakan oleh Imam al-Tabari dalam tafsirnya. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/109)

Oleh kerana umum masyarakat di Malaysia berpegang dengan qiraat Hafs, iaitu dengan membaca (وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ) yang bermaksud “Manakala orang yang mampu untuk berpuasa (tetapi tidak berpuasa),” maka benarlah tafsiran mereka yang mengatakan bahawa hukum dalam ayat ini dimansuhkan. Ayat ini pada hakikatnya menceritakan tentang hukum berpuasa yang datang secara berperingkat pada zaman awal kedatangan Islam. Orang yang sihat dan mampu untuk berpuasa diberikan pilihan antara berpuasa atau memberi makan (fidyah). Dia boleh untuk berpuasa, atau berbuka dengan memberi makan kepada fakir miskin pada hari tersebut sebagai gantian. Kemudian, turun ayat 184 ini bagi menetapkan kewajipan berpuasa ke atas mereka yang sihat dan berkemampuan, serta menjelaskan keringanan buat mereka yang sakit atau keluar bermusafir. Ayat ini juga bagi menetapkan hukum buat orang tua yang sudah tidak mampu untuk berpuasa dengan cara memberi makan kepada fakir miskin. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/364)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ringkas ini, kami katakan bahawa keringanan yang pada asalnya diberikan kepada orang sihat itu telah dimansuhkan. Adapun para mukallaf yang tidak mampu untuk berpuasa kerana sebab-sebab tertentu seperti sakit yang tidak boleh sembuh atau usia yang terlalu lanjut, sebagaimana yang difahami dalam tafsiran Ibn ‘Abbas R.A, maka keuzuran untuk mereka membayar fidyah sahaja kepada fakir miskin itu kekal sama hukumnya, ia tidaklah dimansuhkan.

Beginilah serba ringkas yang mampu kami kongsikan bersama saudara. Semoga segala usaha kita untuk memahami Kalamullah ini beroleh ganjaran yang melimpah di sisi Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam.