#6334: Sahabat Yang Paling Tua Berhijrah Bersama Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya siapakah sahabat nabi yang paling tua berhijrah bersama Baginda ?.  Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ‎

Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah: 100)

Lafaz “وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ” bermaksud mereka yang meneladani orang-orang yang pertama-tama memeluk Islam daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka ialah generasi setelah para sahabat dan generasi setelahnya lagi sehinggalah hari kiamat, jika meneladani mereka dengan baik dalam perbuatan dan ucapan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 259)

Abu Bakar al-Siddiq

Nama Abu Bakar al-Siddiq ialah Abdullah bin Abu Quhafah Uthman bin ‘Amir bin ‘Amr bin Ka‘ab bin Sa‘ad bin Taim bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai al-Qurasyi al-Taimi. Beliau adalah  sahabat yang paling rapat dengan Nabi SAW. Ketika hijrahnya Baginda SAW ke Madinah, beliau satu-satunya sahabat yang menemani Baginda dalam perjalanan tersebut. Beliau digelar al-Siddiq kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Nabi SAW tatkala orang ramai mengatakan Baginda berdusta dalam peristiwa Isra’ Mi‘raj.

Allah SWT berfirman:

وَالَّذِي جَاءَ بِالصِّدْقِ وَصَدَّقَ بِهِ أُوْلَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan yang membenarkannya, mereka itulah orang-orang yang bertakwa.”

(Surah al-Zumar: 33)

Imam Ibn Jarir meriwayatkan dengan sanadnya kepada Ali bin Abu Talib R.A, bahawa yang dimaksudkan dengan lafaz “وَالَّذِي جَاء بِالصِّدْقِ” (iaitu dan orang yang membawa kebenaran) ialah Nabi Muhammad SAW. Manakala yang dimaksudkan pula dengan lafaz “ وَصَدَّقَ بِهِ” (iaitu dan yang membenarkannya) ialah Abu Bakar al-Siddiq R.A. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 3/34).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Abu Bakar R.Anhu merupakan sahabat Rasulullah SAW yang paling rapat dan beliau juga merupakan sahabat paling tua yang melakukan hijrah bersama Baginda SAW. Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa beliau berakta:

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المَدِينَةَ فَكَانَ أَسَنَّ أَصْحَابِهِ أَبُو بَكْرٍ، فَغَلَّفَهَا بِالحِنَّاءِ وَالكَتَمِ حَتَّى قَنَأَ لَوْنُهَا

Maksudnya: “Nabi SAW datang ke Madinah, dan (ketika itu) sahabatnya yang paling tua adalah Abu Bakar. Dia menutupi (ubannya) dengan inai merah dan inai hitam, hingga warnanya menjadi merah.”

Riwayat Bukhari (3920)

Abu Bakar adalah adalah yang paling tua di kalangan sahabatnya yang datang bersama Baginda SAW. Telah bercampur pada janggutnya hitam dan putih lalu beliau mewarnakannya dengan inai dan menyembunyikannya sehingga warnanya menjadi sangat merah dan kehitaman. (Lihat Irsyad al-Sari li Syarh Sahih Bukhari, 6/227)

Justeru, berdasarkan hadith di atas kita dapat fahami bahawa ketika Rasulullah SAW melakukan hijrah ke Madinah, turut bersama Baginda adalah sahabat karibnya iaitu Abu Bakar al-Siddiq dan beliau merupakan sahabat yang paling tua berhijrah bersamanya. Rasulullah SAW memilihnya kerana beliau adalah orang yang paling dekat dengan Baginda dan yang paling dikasihinya serta memiliki hati yang penyayang dan taat kepada Baginda dalam keadaan suka dan duka.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam.