#6335: Sikap Sahabat dalam Derma Jihad Perang Tabuk

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana sikap para sahabat ketika Rasulullah SAW melancarkan kempen derma jihad untuk misi peperangan Tabuk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Apabila Rasulullah SAW melancarkan kempen derma jihad, maka para sahabat mula berderma. Mereka yang kaya telah berderma mengikut keberadaan mereka. Antaranya Saidina Uthman, Saidina Umar, Abd al-Rahman bin Auf, Saidina Abu Bakar, al-Abbas, Talhah dan lain-lain.

  • Uthman bin Affan R.A

Uthman bin Affan, pemilik sumbangan yang tertinggi, adalah seorang dermawan dalam peperangan ini. Daripada Abd al-Rahman bin Khabbab, katanya:

شَهِدْتُ النَّبِيَّ ﷺ وَهُوَ يَحُثُّ عَلَى جَيْشِ العُسْرَةِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ عَلَيَّ مِائَةُ بَعِيرٍ بِأَحْلاَسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللهِ، ثُمَّ حَضَّ عَلَى الجَيْشِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ عَلَيَّ مِائَتَا بَعِيرٍ بِأَحْلاَسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللهِ، ثُمَّ حَضَّ عَلَى الجَيْشِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ عَلَيَّ ثَلاَثُ مِائَةِ بَعِيرٍ بِأَحْلاَسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللهِ، فَأَنَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَنْزِلُ عَنِ الْمِنْبَرِ وَهُوَ يَقُولُ: مَا عَلَى عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ هَذِهِ، مَا عَلَى عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ هَذِهِ

Maksudnya: “Aku menyaksikan Nabi ﷺ sedang mendorong pasukan ‘Usrah (masa kesusahan). Kemudian, Uthman bin Affan bangun dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, aku akan menanggung seratus unta dengan segala perlengkapannya dan bebanannya dalam jalan Allah.’ Kemudian, Nabi ﷺ menggalakkan derma kepada pasukan lagi. Uthman bin Affan bangun sekali lagi dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, aku akan menanggung dua ratus unta dengan segala perlengkapannya dan bebanannya dalam jalan Allah.’ Kemudian, Nabi ﷺ  menggalakkan derma kepada pasukan lagi. Kemudian, Uthman bin Affan berdiri dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku menyerahkan tiga ratus unta lengkap dengan pelana dan tongkatnya untuk jalan Allah.’ Aku sendiri melihat Rasulullah SAW turun dari minbar sambil mengulangi: ‘Tidak ada tanggungan atas Uthman apa pun yang dia lakukan setelah ini.

Riwayat al-Tirmizi (3700) dan al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (5/214). Dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Tirmizi (3700)

Dari Abdul Rahman bin Samurah. Dia berkata:

جَاءَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ بِأَلْفِ دِينَارٍ فِي ثَوْبِهِ، حِينَ جَهَّزَ النَّبِيُّ ﷺ جَيْشَ الْعُسْرَةِ، قَالَ: فَصَبَّهَا فِي حِجْرِ النَّبِيِّ ﷺ، فَجَعَلَ النَّبِيُّ ﷺ، يُقَلِّبُهَا بِيَدِهِ، وَيَقُولُ: “مَا ضَرَّ ابْنُ عَفَّانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ الْيَوْمِ” يُرَدِّدُهَا مِرَارًا

Maksudnya: ‘Uthman bin Affan datang kepada Nabi SAW dengan seribu dinar di bajunya ketika Nabi SAW sedang mempersiapkan pasukan Usrah (masa kesusahan). Dia menuangkannya di pangkuan Nabi SAW. Nabi SAW mulai membolak-baliknya dengan tangannya, sambil berkata: “Tidak ada yang akan merugikan anak Affan apa pun yang dia lakukan setelah hari ini,” dan dia mengulanginya berulang kali.’”

Riwayat al-Tirmizi (3701) dan Ahmad (20630). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan dalam takhrij al-Musnad.

  • Umar Ibn al-Khattab R.A

Adapun Umar bin al-Khattab R.A, dia telah memberikan separuh hartanya sebagai sedekah, dengan harapan dia akan mendahului Abu Bakar. Umar menceritakan tentang hal itu, katanya:

أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَوْمًا أَنْ نَتَصَدَّقَ، فَوَافَقَ ذَلِكَ مَالًا عِنْدِي، فَقُلْتُ: الْيَوْمَ أَسْبِقُ أَبَا بَكْرٍ إِنْ سَبَقْتُهُ يَوْمًا، فَجِئْتُ بِنِصْفِ مَالِي، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: «مَا أَبْقَيْتَ لِأَهْلِكَ؟»، قُلْتُ: مِثْلَهُ، قَالَ: وَأَتَى أَبُو بَكْرٍ رضي الله عنه بِكُلِّ مَا عِنْدَهُ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: «مَا أَبْقَيْتَ لِأَهْلِكَ؟» قَالَ: أَبْقَيْتُ لَهُمُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ، قُلْتُ: لَا أُسَابِقُكَ إِلَى شَيْءٍ أَبَدًا

Maksudnya: ‘Suatu hari, Rasulullah ﷺ meminta kami untuk memberikan sedekah. Pada hari itu, aku memiliki sejumlah harta. Aku berfikir: ‘Hari ini, aku akan mendahului Abu Bakar jika aku pernah mendahuluinya suatu hari. Maka, aku datang dengan separuh hartaku. Rasulullah ﷺ bertanya: ‘Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?’ Aku menjawab: ‘Sama banyaknya.’ Kemudian, Abu Bakar datang dengan semua hartanya. Rasulullah ﷺ bertanya kepadanya: ‘Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?’ Dia menjawab: Aku meninggalkan Allah dan Rasul-Nya untuk mereka.’ Aku berkata: Aku tidak akan pernah dapat mendahuluimu dalam apa pun.’”

Riwayat Abu Dawud (1678) dan al-Tirmizi (3675) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (1530). Ia dinyatakan sebagai hasan dalam takhrij Sunan Abi Dawud oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut.

Adapun Abd al-Rahman bin Auf dikatakan beliau telah menginfakkan dua ribu dirham, iaitu separuh hartanya untuk persediaan tentera menuju ke Tabuk. Antara sahabat yang menafkahkan dalam jumlah yang banyak juga ialah Abbas bin Abd al-Muttalib, Talhah bin Ubaidillah, Muhammad bin Maslamah, Asim bin ‘Adi dan lain-lain lagi. Semoga Allah merahmati mereka. Merekalah termasuk dalam golongan yang mengikhlaskan diri dalam berinfaq dan berjuang semata-mata kerana Allah. Firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.”

(Surah al-Ahzab: 23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”