#6336: Pengganti Rasulullah SAW di Madinah Semasa Perang Tabuk

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah pengganti Rasulullah SAW semasa perang Tabuk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah SWT jualah kesudahan segala urusan.”

(Surah al-Hajj: 41)

Ibnu Kathir berkata: ‘Athiyyah al-‘Aufi berkata tentang ayat ini, seperti firman-Nya: (وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi,” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/544)

Menjadi kelaziman Rasulullah SAW, apabila meninggalkan kota suci Madinah dalam tempoh tertentu, akan menggantikan seorang sahabatnya untuk menyelesaikan masalah penduduk Madinah. Ia juga bermakna, tidak boleh satu tempat tiada ketua dalam satu-satu masa.

Dalam peristiwa peperangan Tabuk ini, Rasulullah SAW telah menggantikan tempatnya Saidina Ali R.A. Lantas Saidina Ali bertanya kepada Rasulullah SAW:

أَتُخَلِّفُنِي فِي الصِّبْيَانِ وَالنِّسَاءِ؟ قَالَ: أَلَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ مِنِّي بِمَنْزِلَةِ هَارُونَ مِنْ مُوسَى، إِلَّا أَنَّهُ لَيْسَ نَبِيٌّ بَعْدِي

Maksudnya: “Adakah kamu gantiku untuk menjaga kanak-kanak dan wanita?” Kemudian jawab Baginda SAW: “Tidakkah kamu redha bahawa kamu di sisiku seperti Harun di sisi Musa. Kecuali tiada Nabi selepasku.”

Riwayat al-Bukhari (4416)

Ada riwayat yang lain menyebut, Nabi menggantikan seorang sahabat bernama Siba’ Ibn ‘Urfutah. Hal ini mengikut riwayat Ibn al-Athir:

أنّ رَسُولُ اللَّهِ اسْتَخْلَفَ عَلَى الْمَدِينَةِ سِبَاعَ بْنَ عُرْفُطَةَ، وَعَلَى أَهْلِهِ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW melantik untuk penduduk Madinah Siba’ Ibn ‘Urfutah. Sedangkan untuk kaum keluarga Rasulullah, Saidina Ali.” (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 2/146)

Ada riwayat yang lain menyatakan, Rasulullah melantik Ibn Ummi Maktum dan ada pendapat menyatakan Rasulullah melantik Muhammad bin Maslamah al-Ansari.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)