#6338: Perancangan Keluarga Bertempoh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Pertamanya, berkenaan hukum childfree? Keduanya, adakah dibolehkan untuk “family planning,” bermaksud selepas setahun setengah baru hendak ada anak?Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, kami ingin tegaskan di sini bahawa anak merupakan satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada pasangan yang mendirikan rumahtangga. Firman Allah SWT:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan menjadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta merezekikan kepada kamu dari benda yang baik (lagi halal).”

(Surah al-Nahl: 72)

Syeikh Muhammad Amin al-Syinqiti menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan bahawa pasangan, anak-anak, dan rezeki yang baik merupakan nikmat Allah SWT yang sangat besar. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/412).

Dalam menjawab soalan di atas, bagi soalan pertama yang diajukan, “childfree” ialah suatu istilah yang merujuk kepada orang dewasa yang tidak mempunyai anak, sama ada biologi, anak angkat atau sebaliknya. Istilah ini biasanya digunakan untuk menggambarkan orang dewasa yang memilih untuk tidak mempunyai anak tetapi juga digunakan untuk menggambarkan mereka yang tidak dapat mempunyai anak, seperti orang yang bergelut dengan ketidaksuburan atau mereka yang telah menyelesaikan ketidaksuburan mereka dengan memutuskan untuk tidak mempunyai anak. Childfree juga dikenali sebagai memilih untuk tidak mempunyai anak atau tanpa anak atas pilihan sendiri.[1] Sebenarnya berkenaan dengan isu ini, kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam e-bahth ilmi kami, yang bertajuk: Childfree – Pro dan Kontra.[2]

Manakala bagi persoalan kedua yang diajukan iaitu berkenaan “family planning” atau perancangan keluarga. Secara ringkasnya, para ulama berbeza pendapat mengenainya kepada sekurang-kurangnya dua pendapat:

Pendapat Pertama: Tidak Dibenarkan

Menurut mereka yang cenderung melarang perancangan keluarga ini, rezeki itu berada dalam ketentuan Allah SWT, dan Allah jua yang menetapkan pembahagian rezeki bagi setiap anak. Ini sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya:

وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلاَدَكُم مِّنْ إمْلاَقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.

( Surah al-An‘am: 151)

Perbuatan ini juga menyerupai amalan Jahiliyyah yang membunuh anak-anak mereka kerana takut miskin, sekalipun kaedah ini sekadar cubaan untuk menghalang kelahiran anak. Namun tujuannya adalah sama, yakni takut miskin, sedangkan kaedah fiqh ada menyebut:

الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَامُ الْمَقَاصِدِ

Maksudnya: “Suatu wasilah (cara atau perantara) itu mengambil hukum yang sama dengan perkara yang hendak dicapai.”

Rezeki itu adalah milik Allah SWT, dan perancangan keluarga kerana takutkan kemiskinan ialah suatu bentuk sangka buruk kepada Allah. Maka sepatutnya seseorang itu bertawakal kepada Allah kerana Allah akan memberikan rezeki kepada siapa yang Dia ingini tanpa hisab. Wajib baginya berbaik sangka kepada Allah kerana seseorang itu tidak mengetahui hakikat kebaikan dan keperluan yang sebenar seperti yang ditentukan oleh Allah.

Firman Allah SWT:

وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya.”

(Surah al-Baqarah: 216)

Pendapat Kedua: Dibenarkan

Bagi mereka yang membenarkannya, mereka memperincikan perancangan keluarga kepada tanzim al-nasl (تَنْظِيمُ النَّسْلِ) dan tahdid al-nasl (تَحْدِيدُ النَّسْلِ).

Tanzim al-Nasl (تَنْظِيمُ النَّسْلِ) merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan ‘azl (ejakulasi luar rahim), mengeluarkan air mani daripada kemaluan isteri selepas selesai persetubuhan dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara. Kaedah ini diharuskan dengan syarat-syarat:

  • Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
  • Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
  • Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ ﷺ وَالْقُرْآنُ يَنْزِلُ

Maksudnya: “Kami melakukan ‘azl pada zaman Nabi SAW dan al-Quran sedang turun.”

Riwayat al-Bukhari (5207) dan Muslim (1440)

Di dalam riwayat lain pula daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

 كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَبَلَغَ ذَلِكَ نَبِيَّ اللَّهِ ﷺ فَلَمْ يَنْهَنَا

Maksudnya: “Kami selalu melakukan ‘azl ketika zaman Rasulullah SAW masih hidup dan Baginda mengetahuinya, tetapi Baginda tidak pernah menghalang kami melakukannya.”

Riwayat al-Bukhari (5207) dan Muslim (1440)

Dapat difahami daripada hadith Jabir ini bahawa mereka melakukan perkara tersebut pada zaman Rasulullah SAW masih hidup dan semasa al-Quran masih diturunkan, dan yang ingin dimaksudkan adalah perbuatan mereka tersebut tidak dilarang oleh syara‘.

Di dalam riwayat lain menyebutkan dengan jelas sebab mengapa sebahagian sahabat melakukan ‘azl ini. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

ذُكِرَ الْعَزْلُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ:‏ وَمَا ذَاكُمْ‏.‏ قَالُوا الرَّجُلُ تَكُونُ لَهُ الْمَرْأَةُ تُرْضِعُ فَيُصِيبُ مِنْهَا وَيَكْرَهُ أَنْ تَحْمِلَ مِنْهُ وَالرَّجُلُ تَكُونُ لَهُ الأَمَةُ فَيُصِيبُ مِنْهَا وَيَكْرَهُ أَنْ تَحْمِلَ مِنْهُ.‏ قَالَ: فَلاَ عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا ذَاكُمْ فَإِنَّمَا هُوَ الْقَدَرُ

Maksudnya: “Telah diceritakan kepada Nabi SAW tentang ‘azl, lalu Baginda bertanya: ‘Mengapa buat begitu?’ Sahabat berkata: ‘Ada lelaki yang mempunyai isteri yang masih menyususkan anak, maka dia tidak suka jika isterinya mengandung dengan melepaskan air mani dalam rahim. Dan ada lelaki yang mempunyai hamba perempuan, maka dia tidak mahu perbuatannya menyebabkan hamba tersebut mengandung’ Lalu Baginda bersabda: ‘Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, sesungguhnya ia (kehamilan) berdasarkan taqdir’.”

Riwayat al-Bukhari (2542) dan Muslim (1438)

Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, terdapat isyarat bahawa ada dua sebab dilakukan ‘azl pada zaman tersebut. Pertama, kerana tidak mahukan kelahiran anak dari hamba perempuan, baik kerana atas keinginan sendiri atau agar tidak susah untuk menjual hamba tersebut jika ia memiliki anak. Kedua, kerana tidak mahukan wanita yang sedang menyusui anak mengandung lagi, kerana perkara itu dapat membahayakan kesihatan anak yang menyusu. (Lihat Fath al-Bari, 9/307)

Meskipun ia pernah dilakukan oleh sahabat semasa hayat Rasulullah SAW, tidak bermakna ia merupakan amalan yang digalakkan atau diterima baik oleh Baginda SAW. Ini berdasarkan riwayat lain daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَلَيْكُمْ أَنْ لَا تَفْعَلُوا، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ كَتَبَ مَنْ هُوَ خَالِقٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, kerana Allah telah menulis siapakah yang menjadi Pencipta (bagi setiap sesuatu) sehingga Hari Kiamat.”

Dan Abu Sa‘id juga berkata:

لَيْسَتْ نَفْسٌ مَخْلُوقَةٌ إِلَّا اللَّهُ خَالِقُهَا

Maksudnya: “Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya.”

Riwayat al-Bukhari (7809)

Diriwayatkan juga daripada Sa‘id al-Khudri R.A bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ كُلِّ الْمَاءِ يَكُونُ الْوَلَدُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ خَلْقَ شَيْءٍ لَمْ يَمْنَعْهُ شَيْءٌ

Maksudnya: “Tidak semua air mani itu diperlukan untuk menjadi seorang bayi.  Dan apabila Allah ingin  menciptakan sesuatu, tiada apa yang dapat menghalang-Nya.”

Riwayat Muslim (1438)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, Rasulullah SAW tidak melarang secara jelas perbuatan ‘azl itu, akan tetapi Baginda SAW memberi isyarat bahawa sebaiknya perbuatan tersebut ditinggalkan kerana ianya tidak mendatangkan apa-apa faedah. Allah SWT Maha berkuasa menciptakan anak tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 9/307)

Manakala Tahdid al-Nasal (تَحْدِيدُ النَّسْلِ) atau membataskan anak pula menggunakan kaedah yang lebih melibatkan campur tangan perubatan yang kekal seperti pemandulan kekal dan melakukan pengguguran. Kaedah ini dianggap haram kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan. Ini juga tindakan yang menafikan Allah sebagai Pemberi Rezeki bagi ibu bapa dan anak-anak. Apatah lagi jika ia dilakukan oleh wanita atau lelaki yang belum berkahwin.

Pengecualian khusus hanya diberikan apabila terdapat kes-kes tertentu yang melibatkan masalah kesihatan sehingga mengancam nyawa seseorang wanita seperti risiko besar kematian atau menyebabkan masalah kesihatan yang kritikal bagi ibu akibat mengandung dan bersalin. Maka ketika itu, boleh dilakukan pengguguran sebelum kandungan mencapai umur 120 hari daripada tarikh persenyawaan berlaku, atau 106 hari daripada hari terakhir haid.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa perancangan keluarga yang bersifat sementara atau bertempoh ini, misalnya pasangan tersebut belum lagi mahu anak buat masa sekarang tetapi mungkin selepas setahun setengah (seperti mana pertanyaan di atas) dan seumpamanya, adalah dibolehkan dengan syarat ia tidak melibatkan pemandulan kekal atau pengguguran anak. Sekalipun begitu, hukumnya adalah makruh jika tiada sebarang sebab mahupun alasan atas perbuatan tersebut sama ada kerana faktor pendidikan, kewangan, dan lain-lain.

Hal ini adalah sebagaimana dijelaskan oleh al-Bujairimi bahawa sesuatu yang melambatkan kehamilan untuk tempoh tertentu (sementara) dan tidak memutuskan kehamilan tersebut secara asalnya (keseluruhannya), maka ia tidaklah haram seperti mana yang zahir. Malah, jika perbuatan melambatkan kehamilan (yakni memperoleh anak itu) adanya sebab dan alasan (tertentu) seperti pendidikan anak, maka hukumnya juga tidak makruh. Sebaliknya jika tidak (yakni tanpa sebab dan alasan), maka hukumnya  adalah makruh. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi, 4/47).

Bahkan hal ini juga selari dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 1-6 Jumadil Akhir 1409 H bersamaan 15 Disember 1988 M, di mana mereka telah memutuskan, antara lain:

  1. Haramnya menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki ataupun wanita, seperti apa yang dikenali dengan pemandulan. Pengecualian diberikan dalam kes-kes darurat yang perlu ditimbang dengan kayu ukur yang Syar‘i.
  2. Dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh-tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh syara‘, berdasarkan persetujuan dan keredhaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan itu tidak mendatangkan mudharat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada. (Lihat Majallah al-Majma’ Siri 4, 1/73).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.fertilitysmarts.com/definition/childfree/. Diakses pada 26 Jun 2024.

[2] Lihat https://bukudrzulkifli.com/alinarah/?fbclid=IwZXh0bgNhZW0CMTAAAR2a1uYJnxSpg8gCIqcwW4-byrH5izKocqJPe2M-xvhNQpPol2l3Dp0JqLM_aem_34lEvs-lnJAjtruEQ0qHXQ. Diakses pada 15 Julai 2024.