#6339: Tentera Tabuk Melalui Kawasan Kaum Thamud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW semasa perjalanan ke Tabuk, pernah melalui kaum Thamud? Dan bagaimana sikap yang sepatutnya kita ambil?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ

Maksudnya: “Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)?”

(Surah al-Fajr: 9)

Firman Allah SWT:

 فَأَمَّا ثَمُودُ فَأُهْلِكُوا بِالطَّاغِيَةِ

Maksudnya: “Maka (masing-masing menerima azab dunianya) – adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya.”

(Surah al-Haqqah: 5)

Syeikh al-Sa’di berkata “Berkenaan dengan kaum Thamud, mereka dimusnahkan dengan kejadian yang luar biasa.” Maksudnya, dengan suara yang sangat kuat dan menakutkan, yang memecahkan hati mereka dan merampas nyawa mereka. Mereka kemudian menjadi mayat, dan yang tersisa hanyalah tempat tinggal dan mayat mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 886)

Menjawab persoalan di atas, tatkala Rasulullah bersama orang ramai melalui kawasan penduduk Hijr, Rasulullah SAW mendengar orang ramai menyeru supaya solat sedangkan Nabi memegang untanya seraya bersabda:

مَا تَدْخُلُونَ عَلَى قَوْمٍ غَضِبَ اللهُ عَلَيْهِمْ؟»، فناداه رجل منهم: نعجب منهم يا رسول الله، قال: «أَفَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَعْجَبَ مِنْ ذَلِكَ؟ رَجُلٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ يُنْبِئُكُمْ بِمَا كَانَ قَبْلَكُمْ، وَمَا هُوَ كَائِنٌ بَعْدَكُمْ، فَاسْتَقِيمُوا وَسَدِّدُوا، فَإِنَّ اللهَ لَا يَعْبَأُ بِعَذَابِكُمْ شَيْئًا، وَسَيَأْتِي قَوْمٌ لَا يَدْفَعُونَ عَنْ أَنْفُسِهِمْ بِشَيْءٍ

Maksudnya: “Kenapa kamu berani melangkah masuk kepada golongan yang telah dimurkai Allah?” Seorang lelaki daripada mereka berseru: “Kami ta’jub dengan mereka, wahai Rasulullah.” Baginda menjawab: “Tidakkah aku telah menceritakan kepada kamu tentang perkara yang lebih menakjubkan daripada itu? Ada seorang lelaki dari kalangan kamu sendiri yang akan menceritakan kepada kamu tentang apa yang telah berlaku sebelum kamu, dan apa yang akan berlaku selepas kamu. Oleh itu, berpeganglah dengan teguh dan beramallah dengan bersungguh-sungguh, kerana sesungguhnya Allah tidak peduli tentang azab yang menimpa kamu. Dan akan tiba suatu masa di mana akan muncul golongan yang tidak mampu mempertahankan diri mereka sendiri dengan apa-apa cara sekalipun.”

Riwayat Ahmad (18029), Ibn Abi al-Dunya dalam al-Uqubat (141) dan al-Tabarani (22/340). Isnadnya dha’if seperti disebut oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”