#6341: Cubaan Orang Munafik Membunuh Nabi SAW dalam Perang Tabuk

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah ada cubaan dari kalangan orang-orang munafik untuk membunuh Nabi SAW dalam perang Tabuk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara perangai orang munafik, selalu memperolok-olokkan Allah dan Rasul-Nya. Dalam satu riwayat, daripada Abdullah bin Umar katanya:

وَأَنَا رَأَيْتُهُ مُتَعَلِّقًا بحَقَب نَاقَةِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ تَنكُبُه الْحِجَارَةُ وَهُوَ يَقُولُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ. وَرَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَقُولُ: ﴿وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: “Aku sendiri menyaksikan dia bergantung pada belakang unta Rasulullah ﷺ yang sedang ditumbuk oleh batu, sambil berkata: ‘Ya Rasulullah, kami hanya sedang bersenda gurau.’ Namun, Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Andaikata kamu bertanya kepada mereka, mereka akan menjawab, kami hanya sedang bersenda gurau. Katakanlah, adakah kamu berolok-olok dengan Allah, ayat-ayat-Nya, dan Rasul-Nya?’” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/171)

Menjawab persoalan di atas, memang benar mereka merancang untuk membunuh Nabi SAW pada satu malam yang jumlah mereka beberapa belas orang sebagaimana Ibn Kathir menyebut: Daripada al-Dahhak yang menceritakan kisah orang munafik yang keluar bersama Rasulullah SAW, bilamana mereka berada sesama mereka, mereka memaki hamun Rasulullah dan sahabatnya serta menghina agamanya. Huzaifah R.A menyampaikan hal tersebut kepada Nabi SAW sehingga Nabi berkata kepada mereka: Wahai golongan Nifaq, apa yang telah sampai kepadaku tentangmu? Lantas mereka bersumpah bahawa mereka tidak berkata apa-apa sehingga Allah turun ayat tentang pembohongan mereka.

Firman Allah SWT:

يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ مَا قَالُوا وَلَقَدْ قَالُوا كَلِمَةَ الْكُفْرِ وَكَفَرُوا بَعْدَ إِسْلَامِهِمْ وَهَمُّوا بِمَا لَمْ يَنَالُوا وَمَا نَقَمُوا إِلَّا أَنْ أَغْنَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ مِنْ فَضْلِهِ فَإِنْ يَتُوبُوا يَكُ خَيْرًا لَهُمْ وَإِنْ يَتَوَلَّوْا يُعَذِّبْهُمُ اللَّهُ عَذَابًا أَلِيمًا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَا لَهُمْ فِي الْأَرْضِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Maksudnya: Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.

(Surah al-Taubah: 74)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”